Allah Taala telah merakamkan kisah semut dengan Nabi Sulaiman `alaih al-salam dalam 2 ayat, dalam surah yang dikenali sebagai surah al-Naml.
حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِ النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ (18)
Terjemahan: “(Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke lembah semut, berkatalah seekor semut betina: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, janganlah sampai Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.” (Al-Naml:18)
Menurut Abu Hayyan al-Andalusi, ucapan semut itu telah merangkumi segala perkara yang amat penting. Ringkasnya seperti berikut:-
a- Memanggil atau menyeru [يَا أَيُّهَا النَّمْلُ] “Wahai sekalian semut.”
Walaupun beberapa mufassir dahulu menyatakan suara semut itu boleh didengari sejauh 3 kilometer, tidak mustahil sebenarnya seruan itu disampaikan dalam masa yang pantas melalui kaedah komunikasi mereka.
Jika kemungkinan ini benar, ini menunjukkan kaedah komunikasi mereka sangat pantas. Sheikh Nasir al-Sa`di telah mengupas perbahasan ini di dalam tafsir beliau.
b- Memberikan arahan yang jelas yang tidak perlu difikir-fikirkan lagi [ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ] “Masuklah ke dalam sarang kamu masing-masing.”
Ini menunjukkan semut itu ada karakter kepemimpinan yang berkaliber dan tidak mementingkan diri sendiri.
c- Menyatakan bahaya jika tidak bertindak [لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ] “janganlah sampai Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu.”
Semut itu bukan sahaja memberikan arahan, malah menyatakan sebab mengapa arahan itu perlu dipatuhi.
d- Membentuk sangkaan yang baik dan tidak menyalahkan Nabi Sulaiman `alaih al-salam dan tentera-tentera baginda [وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ] “sedang mereka tidak menyedari.”
Semut ini bukan jenis suka menyalahkan orang, sebaliknya mengambil tindakan pantas untuk menyelamatkan diri.
Menariknya, Nabi Sulaiman `alaih al-salam juga telah memberikan empat arahan-garis panduan yang jelas kepada Hudhud.
ٱذۡهَب بِّكِتَٰبِي هَٰذَا فَأَلۡقِهۡ إِلَيۡهِمۡ ثُمَّ تَوَلَّ عَنۡهُمۡ فَٱنظُرۡ مَاذَا يَرۡجِعُونَ (28)
Terjemahan: “Pergilah bawa surat saya ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah daripada mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka”” (Al-Naml:28)
Pertama: Membawa surat untuk Ratu Bilqis.
Kedua: Berikan surat tersebut kepada mereka.
Ketiga: Berundur segera, jangan sampai ditangkap.
Keempat: Risik dan selidik.
Maha suci Allah Taala atas kehalusan maklumat yang amat mengujakan.
Wallah a`lam.
Kredit : Facebook Dzulkhairi Khairi