`Uthman bin `Affan radhiyallah `anh pernah mengajarkan kaedah mengambil wudhu yang paling sesuai dengan sunnah Nabi salla Allah `alaih wa sallam.
Selesai beliau menunjukkan kaedah tersebut secara praktikal, beliau memetik kata-kata baginda salla Allah `alaih wa sallam,
مَنْ تَوَضَّأَ نَحْوَ وُضُوئِي هَذَا ، ثُمَّ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ لَا يُحَدِّثُ فِيهِمَا نَفْسَهُ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Terjemahan: “Sesiapa yang berwudhu’ sebagaimana wudhu’ saya ini, kemudian dia mengerjakan solat dua rakaat dengan khusyuk, maka diampuni dosa-dosanya yang lepas. (Muslim, kitab al-Taharah, bab Sifah al-Wudhu’ wa Kamaluh)
Ulama membahaskan satu isu, adakah amalan-amalan yang kita kerjakan boleh berfungsi untuk menghapuskan dosa-dosa yang kita lakukan selama ini?
Supaya perbincangan ini tidak meleret dan panjang lebar, saya hanya akan berkongsi kupasan Maulana Shabbir al-`Uthmani di dalam kitab beliau, Fath al-Mulhim syarah Sahih Muslim.
Satu, hadith seperti ini dan beberapa hadith lain menunjukkan mana-mana dosa merangkumi dosa besar dan dosa kecil akan diampuni oleh Allah Taala sekiranya kita mengerjakan amal soleh.
Namun, majoriti ulama menyatakan hanya dosa kecil yang diampuni. Ini kerana dosa besar hanya terampun dengan taubat dan penyesalan.
Dua, menurut Ibn Hajar:-
a- Jika seseorang itu mempunyai dosa besar dan dosa kecil, maka amalan-amalan soleh boleh menghapuskan dosa-dosa kecil.
b- Jika seseorang itu hanya mempunyai dosa besar dan tidak mempunyai dosa kecil, maka dosa besar itu akan diringankan ke taraf dosa kecil.
c- Jika dia langsung tidak memiliki dosa, maka amalan kebaikan akan mengangkat darjatnya di sisi Allah Taala. (Rujuk Fath al-Bari)
Tiga, terdapat satu pernyataan menarik daripada Salman al-Farisi radhiyallah `anh seperti dinukilkan oleh Muhammad bin Nasr al-Marwazi, “Wudhu boleh menghapuskan dosa-dosa kecil. Berjalan kaki ke masjid boleh menghapuskan dosa yang lebih besar daripada itu. Dan solat boleh menghapuskan dosa yang lebih besar lagi.”
Sebagai penjelasan, “dosa yang lebih besar itu berkemungkinan masih termasuk dalam kategori dosa-dosa kecil.”
Empat, sekiranya kita mendakwa dosa besar boleh terhapus dengan amalan-amalan kebaikan, maka pasti tiada siapa kalangan kita yang berdosa besar; lantaran kita semua sentiasa berwudhu, solat dan membaca al-Quran di samping banyak lagi amal kebaikan yang lain.
Lima, terdapat petunjuk dalam hadith yang lain menyatakan, dosa-dosa kecil itu sebenarnya akan terhapus dengan dua sebab: amal-amal kebaikan dan meninggalkan dosa-dosa besar.
Ada dua perkara:-
a- Bermakna, amal-amal kebaikan tidak dapat menghapuskan dosa-dosa kecil selama mana kita tidak meninggalkan dosa besar.
b- Jika begitu, bagaimana amal boleh berfungsi menghapuskan dosa-dosa besar.
Enam, menurut Ibn Rajab, terdapat ulama berpandangan bahawa amalan-amalan kebaikan boleh menghapuskan dosa besar.
Antara ulama yang berpandangan demikian ialah Ibn Hazam al-Andalusi.
Bagaimana pun, ini merupakan pendapat minoriti ulama tanpa dokongan hujjah yang kuat.
Tujuh, Ibn Rajab telah memberikan penjelasan yang sangat menarik.
a- Mustahil amal-amal kebaikan boleh menghapuskan dosa-dosa besar.
b- Pun begitu, lain perkiraannya di akhirat kelak. Amal-amal kebaikan yang kita kerjakan boleh mengurangkan kadar dosa-dosa besar, namun ia menyebabkan pahala amalan-amalan itu akan terpadam daripada rekod.
Ertinya, dosa besarnya berkurang, dan dalam masa yang sama, pahalanya juga berkurang. Keadaan ini lebih baik berbanding dosa besar yang banyak.
Berkenaan berapa banyak kadar dosa besar dapat dihapuskan dan berapa banyak pahala digugurkan, itu terserah kepada Allah Taala yang Maha Pengasih dan Maha Adil.
Lapan, seingat saya, guru saya Maulana Asri hafizahullah pernah menyatakan bahawa amalan-amalan boleh menghapuskan dosa-dosa sekiranya amalan itu disertakan perasaan bertaubat.
Wallah a`lam.
Sumber : facebook, Dzulkhairi Khairi