Antara salah faham segelintir penuntut ilmu dan masyarakat, mereka hanya nampak Ahlul Hadis yang dimaksudkan sebagai Firqah An-Naajiah (kelompok yang selamat) adalah mereka yang berkecimpung dalam bidang hadis semata-mata, yang ada ijazah, master, dan PHD dalam ilmu hadis atau mereka yang banyak ijazah sanad hadisnya.
Mereka terlupa berapa ramai yang sibuk berkecimpung dalam ilmu hadis dan mendakwa mereka berpegang dengan manhaj ahli hadis namun terperangkap dalam lembah syubhat dan kesesatan ilmu kalam, menyeru kepada sikap ghuluw kepada orang soleh, beristighasah memohon kepada orang yang sudah mati, ta’til dan ilhad (menafikan dan menyelewengkan) sifat-sifat Allah Ta’ala, menolak autoriti hadis ahad dalam akidah, menolak autoriti ijmak, menyeru kepada bidaah dan lain-lain lagi penyelewengan dalam akidah dan syariat.
Benar kata Waki’ rahimahullah :
من طلب الحديث كما جاء فهو صاحب السنة، ومن طلبه ليقوي به رأيه،فهو صاحب بدعة
” Barangsiapa yang menuntut (ilmu) hadis sebagaimana ia datang maka dia ialah Ahli Sunnah, dan barangsiapa yang menuntutnya hanya untuk menguatkan pendapatnya maka dia ialah ahli bidaah “
[ Zammul Kalam Wa Ahlihi hlm 198, Cet.Dar Al-Imam Al-Awwal Riyadh 2012 ]
Kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah :
ونحن لا نعني بأهل الحديث المقتصرين على سماعه، أو كتابته أو روايته، بل نعني بهم: كل من كان أحق بحفظه ومعرفته وفهمه ظاهراً وباطناً، واتباعه باطناً وظاهراً
” Kami tidak memaksudkan Ahli Hadis itu hanya terhad kepada golongan yang hanya sibuk mendengarnya, menulisnya atau meriwayatkannya, bahkan yang kami maksudkan mereka itu ialah: Sesiapa sahaja yang paling berhak dalam menjaganya, mengenalinya dan memahaminya secara zahir dan batin dan mengikutinya secara batin dan zahir. “
[ Majmuk Al-Fatawa 4/95 ]
Sumber : Ust. Mohd Fashan