Antara kisah yang menunjukkan betapa hebatnya akhlak Rasulullah SAW ialah saat Baginda dikritik berkenaan isu pengagihan harta rampasan perang Hunain.
Seorang lelaki mengkritik pengagihan yang Baginda lakukan dengan katanya :
هَذِهِ القِسْمَةَ مَا عُدِلَ فِيهَا ، وَمَا أُريدَ بِهَا وَجْهُ اللهِ
Maksudnya : Pengagihan ini tidak dilakukan secara adil. Ia tidak dilakukan dengan niat untuk mendapatkan reda Allah.
Lalu kenyataan ini disampaikan kepada Rasulullah SAW. Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa Baginda begitu marah tatkala mendengarnya sehingga dapat dilihat kesan marah pada wajahnya.
Lalu Baginda berkata :
فَمَنْ يَعْدِل إِذا لمْ يَعْدِلِ اللهُ وَرَسُولُهُ ، رَحِمَ اللهُ مُوسَى قَدْ أوذِيَ بِأكثَرَ مِنْ هَذَا فَصَبَرَ
Maksudnya : Sekiranya Allah dan Rasul-Nya tidak bersifat adil, siapakah lagi yang berlaku adil ? Semoga Allah merahmati Musa, dia telah disakiti lebih banyak daripada ini namun dia kekal bersabar.
Riwayat Al-Bukhari (3150).
Inilah ketinggian akhlak Rasulullah SAW. Apabila Baginda berada dalam keadaan marah, kemarahan Baginda sama sekali tidak menatijahkan tutur kata yang tidak baik lagi dilarang. Bahkan sebaliknya Baginda tetap bersabar.
Benar seperti yang ibunda kita ‘A’isyah R.Anha sifatkan Rasulullah SAW dengan katanya :
كَانَ خُلُقُهُ القُرآن
Maksudnya : Akhlak Baginda ialah Al-Quran.
Dalam erti kata : Baginda beradab dengan adab Al-Quran, berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Apa yang Al-Quran puji, Baginda akan meredainya, dan apa yang Al-Quran cela, Baginda akan membencinya.
صَلَّى الله ُ عَلَيهِ وَسَلَّم
Sumber : Ust. Muhammad Fahmi Rusli