skip to Main Content

Terdapat sebuah hadis menyebutkan bahawa doa adalah ibadah.

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي قَوْلِهِ ‏:‏ ‏(‏وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ‏)‏
Daripada Al-Nu’man bin Basyir r.a, daripada Nabi s.a.w tentang firman Allah: “Tuhan kamu berkata: Mintalah kepada Aku, nescaya Aku akan memperkenankannya untuk kamu”. [Ghafir : 60].

قَالَ ‏”‏ الدُّعَاءُ هُوَ الْعِبَادَةُ ‏”‏ ‏.‏ وَقَرَأَ ‏:‌‏(‏ وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ‏)‏ إِلَى قَوْلِهِ ‏(‏ دَاخِرِينَ ‏)‏ ‏.
Baginda s.a.w bersabda: Doa adalah ibadah. Kemudian baginda membaca ayat: Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina [Ghafir 40: 60].
[Jami’ al-Tirmizi, Kitab Tafsir al-Quran, no: 3232. Al-Tirmizi berkata: Hadis Hasan Sahih].

Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menerangkan:

اعلم أن أصل الدعاء في اللغة : الطلب ، فهو استدعاء لما يطلبه الداعي ويؤثر حصوله ،
Ketahuilah bahawa asal kepada perkataan doa daripada sudut bahasa adalah: Permohonan. Ia adalah permintaan untuk apa yang dimohon oleh orang yang berdoa dan dia mahu agar ia diperolehi.

فتارة يكون الدعاء بالسؤال من الله عز وجل والابتهال إليه كقول الداعي : اللهم اغفر لي ، اللهم ارحمني ،
Kadang-kala doa dilakukan dalam bentuk meminta dengan penuh tunduk kepada Allah seperti ucapan orang yang berdoa: Ya Allah, ampuni saya, Ya Allah, rahmati saya.

وتارة يكون بالإتيان بالأسباب التي تقتضي حصول المطالب وهو الاشتغال بطاعة الله وذكره وما يجب من عبده أن يفعله وهذا هو حقيقة الإيمان
Kadang-kala doa dilakukan dengan melakukan sebab-sebab yang akan menyebabkan terhasilnya apa yang dikehendaki, iaitu dengan menyibukkan diri dalam mentaati Allah dan mengingatiNya, dan menunaikan apa yang wajib dilakukan oleh hambaNya. Ini adalah hakikat iman. [Ibnu Rajab, Fathul Bari, 1:18].

Bagi memudahkan kefahaman masyarakat umum, sebahagian ulama telah membahagikan doa kepada dua bentuk iaitu:

1- Doa permintaan- Iaitu seseorang meminta sesuatu kepada Allah dengan ucapan “Ya Allah, berikan aku itu dan ini”.
2- Doa ibadah- Iaitu seseorang mematuhi arahan Allah yang mana tujuan dia melakukannya adalah untuk mendapat pahala, menjauhi dosa, mendapat syurga, menjauhi neraka. Seseorang yang mentaati ibu bapa, secara automatik dia sedang berdoa kepada ibu bapa untuk mendapat ganjaran pahala dan syurga kerana mentaati ibu bapa, dan menjauhi dosa derhaka kepada ibu bapa. Begitulah jua dalam amal-amal yang lain.

 

 

Al-Shaikh Abdul Rahman Al-Sa’di menerangkan dalam asas 51 berkaitan tafsir al-Quran:

كلّما ورد في القرآن من الأمر بالدعاء، والنهي عن دعاء غير الله، والثناء على الداعين: يتناول دعاء المسألة، ودعاء العبادة
Setiap kali disebutkan dalam al-Quran tentang arahan berdoa, dan larangan daripada berdoa kepada selain Allah, dan pujian kepada orang-orang yang berdoa. Ia merangkumi doa permintaan dan doa ibadah.

وهذه قاعدة نافعة، فإن أكثر الناس إنما يتبادر لهم من لفظ الدعاء والدعوة: دعاء المسألة فقط، ولا يظنون دخول جميع العبادات في الدعاء.
Ini merupakan kaedah asas yang sangat bermanfaat. Sesungguhnya ramai manusia, yang terlintas di kepala mereka tentang maksud doa adalah doa permintaan sahaja. Mereka tidak terfikir untuk memasukkan semua ibadah di dalam kategori doa.

ويدل على عموم ذلك: قوله تعالى: {وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ} [غافر: من الآية60] ،
Ayat al-Quran yang menunjukkan keumuman ini adalah firman Allah: “Tuhan kamu berfirman: Mintalah kepada Aku nescaya Aku perkenankan. [Ghafir:60].

أي أستجب طلبكم، وأتقبل عملكم ثم قال تعالى: {إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ} ، [غافر: من الآية60] ،
Iaitu Aku akan memakbulkan permintaan kamu, dan Aku akan menerima amalan kamu. Kemudian Allah berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri daripada menyembah Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan yang hina”.

فسمى ذلك عبادة، وذلك لأن الداعي دعاء المسألة يطلب مسئوله بلسان المقال، والعابد يطلب من ربه القبول والثواب، ومغفرة ذنوبه بلسان الحال.
Allah menamakannya ibadah. Itu kerana seorang yang berdoa dengan doa permintaan, dia memohon permintaannya dengan lisan yang menyebutkan permintaannya, dan seorang yang beribadah pula memohon daripada Tuhannya penerimaan amal, pahala, dan keampunan daripada dosa dengan cara perbuatannya.

فلو سألت أي عابد مؤمن: ما قصدك بصلاتك وصيامك وحجك وأدائك لحقوق الله وحق الخلق؟ لكان قلب المؤمن ناطقاً ـ قبل أن يجيبك لسانه -: بأن قصدي من ذلك رضى ربي ونيل ثوابه والسلامة من عقابه، ولهذا كانت النية شرطاً لصحة الأعمال وقبولها، وإثمارها الثمرة الطيبة في الدنيا والآخرة.
Jika kamu bertanya kepada seorang ahli ibadah yang beriman: Apakah tujuan kamu mendirikan solat, berpuasa, mengerjakan haji, dan menunaikan hak-hak Allah? Nescaya hati orang beriman itu akan berkata-kata sebelum lisannya menjawab soalan kamu bahawa “Niat ku adalah untuk mendapatkan redha Tuhan ku, memperolehi pahala daripadaNya, selamat daripada hukumanNya”. Oleh kerana itu, niat merupakan syarat kepada sahnya sesuatu amal dan diterimanya amal itu. Hasil-hasil daripadanya ialah hasil yang baik di dunia dan akhirat. [Al-Sa’di, Al-Qawa’id Al-Hisan Li Tafsir al-Quran, 127].

Oleh itu pembahagian ulama bahawa doa ada dua bahagian iaitu doa permintaan dan doa ibadah, merupakan pembahagian teori untuk memudahkan kefahaman masyarakat agar tidak hanya melihat doa sekadar permintaan secara lisan. Hakikatnya, kedua-dua jenis doa adalah ibadah. Bahkan semua ibadah adalah doa! Saya lebih suka menukarkan pembahagian ini kepada doa permintaan, dan doa amali@perbuatan, agar dapat mengelakkan kekeliruan ini.

Ingat kesimpulan ini. Doa adalah ibadah. Ibadah adalah doa!

 


Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top