Mutakhir ini kita sering digemparkan dengan berita-berita yang kurang enak didengari khususnya berkaitan dengan penyelewengan dalam dana bantuan. Penyalahgunaan dana awam atas nama dakwah, atas nama kos pengurusan, atas nama bantuan kemanusiaan sering menjerat segelintir golongan ke dalam pelanggaran dan melampaui batas.
Nabi ﷺ telah memberi ancaman keras bagi perbuatan meminta-minta harta manusia dengan tujuan untuk bermewah, memenuhkan poket sendiri dan diminta dalam keadaan sudah cukup melepasi hajat yang sepatutnya.
Sabda Nabi ﷺ :
مَن سَأَلَ النَّاسَ أمْوالَهُمْ تَكَثُّرًا، فإنَّما يَسْأَلُ جَمْرًا فَلْيَسْتَقِلَّ، أوْ لِيَسْتَكْثِرْ.
Barangsiapa yang meminta kepada manusia harta benda mereka dengan banyak (dan tujuan memperbanyakkan lagi) maka sesungguhnya dia sedang meminta bara api. Maka (jika kamu tidak takut) mintalah sama ada sedikit atau banyak!
[ HR Muslim ]
Dalam riwayat Ibnu Majah datang dengan lafaz:
فَإِنَّمَا يَسْأَلُ جَمْرَ جَهَنَّمَ
Sesungguhnya dia sedang meminta bara api jahannam.
Kata Al-Sindi dalam Hasyiahnya terhadap Sunan Ibnu Majah :
أي ليكثر به ماله أو بطريق الإلحاح والمبالغة في السؤال. هو للتوبيخ مثل من شاء فليؤمن ومن شاء فليكفر لا للإذن والتخيير .
Iaitu perbuatan meminta-minta harta manusia dengan tujuan untuk memperbanyakkan hartanya sendiri dengan jalan mendesak (merayu-rayu) dan melampau dalam permintaan. Perkataan Nabi ﷺ ( Mintalah sedikit atau banyak ) ia adalah bentuk celaan seperti barangsiapa ingin beriman berimanlah, barangsiapa ingin kafir kafirlah ia bukan bermaksud keizinan atau pilihan.
Berwaspadalah dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Ta’ala menjauhkan kita dan menyelamatkan kita dari mengambil dan menjadi bara api neraka jahannam.
Sumber : Ustaz Muhammad Fashan Ahmad Ziadi