Sunnah s.a.w. menyarankan kita melazimi 3 Qul selepas solat. Ada 2 isu yang perlu diperhalusi lebih mendalam.
a- Adakah kita disunnahkan membaca 3 Qul sebanyak 3 kali selepas Solat Maghrib dan Subuh?
b- Hadith menyarankan kita membaca 3 Qul sebanyak 3 kali pada waktu pagi dan petang. Apakah petang itu, selepas Asar atau Maghrib?
Menurut pembacaan saya terhadap beberapa ulasan ulama, wallah a‘lam, inilah jawapannya.
Satu, hadith yang menyarankan kita membaca 3 Qul selepas solat dan pagi-petang merupakan 2 hadith yang berbeza.
حديث عبد الله بن خبيب رضي الله عنه أن النبي صلى الله عليه وسلم قال له : ( قُلْ : ” قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ” ، وَالمُعَوِّذَتَيْنِ ، حِينَ تُمْسِي وَتُصْبِحُ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ ، تَكْفِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ )
“Bacalah قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ dan al-Mu‘awwizatain pada petang dan pagi sebanyak 3 kali, segala urusan anda akan dicukupi.” (Jami‘ al-Tirmizi dan Sunan Abi Dawud)
Hadith ini dinilai sahih oleh Imam Nawawi dan dianggap Hasan oleh Ibn Hajar.
عقبة بن عامر رضي الله عنه قال : ( أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم ، أَنْ أَقْرَأَ بِالْمُعَوِّذَاتِ ، فِي دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ )
أخرجه أحمد في “المسند” (4/155) وأبو داود في “السنن” (1523) ، والنسائي في “السنن” (رقم/1336)
“Kata ‘Uqbah bin ‘Amir r.a.: Rasulullah s.a.w. memerintahkan saya membaca al-Mu‘awwizat setiap kali selepas solat.” (Musnad Ahmad; Sunan Abi Dawud; Sunan al-Nasa’i)
Dua, ada beza antara 2 istilah:
a- Istilah المُعَوِّذَتَيْنِ: Merujuk 2 Qul iaitu Surah al-Falaq dan al-Nas. Iaitu, 2 surah yang mengandungi kalimah أَعُوذُ.
b- Istilah الْمُعَوِّذَاتِ: Merujuk 3 Qul iaitu Surah al-Ikhlas, al-Falaq dan al-Nas. Meskipun Surah al-Ikhlas tidak mengandungi lafaz أَعُوذُ, ia dikira sekali menurut kupasan ulama termasuklah Ibn Hajar.
Tiga, secara asasnya, Nabi s.a.w. memerintahkan kita membaca 3 Qul hanya sekali setiap kali selepas solat. Dan hadith lain memerintahkan kita membaca 3 Qul sebanyak 3 kali setiap pagi dan petang.
Empat, ada beza antara zikir selepas solat dengan zikir pagi dan petang. Persoalannya, bolehkah disekalikan zikir pagi petang dengan zikir selepas solat?
Saya melihat ada 2 aliran ulama dalam memahami topik ini.
a- Boleh digabungkan. Antara ulama yang menyarankan demikian ialah Ibn Baz dan Sheikh ‘Abdul Rahman bin Nasir al-Barrak. Menurut Sheikh al-Barrak,
تتداخلُ قراءتُها بعدَ الصَّلاةِ تكفيكَ عن قراءتِها من أذكارِ الصَّباحِ، فالعباداتُ تتداخلُ إذا اتَّفقَ وقتُها وأداؤُها كركعتي الوضوءِ أو الرَّاتبة تكفيكَ عن تحيَّةِ المسجدِ .
“Bacaan selepas solat dikira sekali bacaan zikir Subuh. Ibadah ini boleh disekalikan jika bersamaan waktu dan kaedahnya, seperti solat 2 rakaat Wudhu’ dan Ratibah sudah mencukupi Solat Tahiyyah.”
Ibn Baz menjelaskan dalam fatwa beliau,
ثم تقرأ قل هو الله أحد والمعوذتين مرة واحدة بعد الظهر والعصر والعشاء، وثلاث مرات بعد المغرب والفجر
“Kemudian bacalah قل هو الله أحد dan al-Mu‘awwizatain sekali sahaja selepas Zohor, Asar dan Isyak, dan 3 kali selepas Maghrib dan Subuh.”
b- Diasingkan, kerana setiap zikir ada konsep, kaedah dan kelebihan tersendiri. Jadi, kita hanya membaca 3 Qul sekali setiap kali selepas solat termasuk Maghrib dan Subuh.
Kemudian, untuk zikir pagi dan petang pula, dibaca sebanyak 3 kali.
Secara peribadi saya lebih memilih pendapat kedua, kerana ia lebih cermat dan lebih berhati-hati dalam beramal.
Lima, sebenarnya, bilakah bermula zikir pagi dan petang? Terdapat khilaf besar kalangan ulama dalam perbahasan ini, kesimpulannya di peringkat saya ialah,
a- Zikir pagi bermula selepas Subuh dan berakhir apabila terbit matahari (shuruq). Namun masih boleh berzikir pagi sehinggalah matahari atas kepala; beberapa minit sebelum Zohor.
b- Zikir petang bermula selepas Asar sehingga terbenam matahari. Namun masih boleh meneruskan zikir petang sehinggalah pertengahan malam. Wallah a‘lam.
Ini bermakna, cadangan sebahagian ulama termasuk Ibn Baz rahimahullah agar membaca 3 Qul sebanyak 3 kali selepas Maghrib masih boleh dinilai dan diperbahaskan.
Adakah selepas Maghrib, atau selepas Asar? Wallah a‘lam. Kita boleh membuat pilihan masing-masing, apa lagi tiada hadith yang jelas memberikan jawapan tentang persoalan ini.
Rumusan:
a- Meskipun saya mencadangkan secara peribadi agar diasingkan zikir pagi petang dengan zikir selepas solat, namun jika kita mengalami kesukaran, kita gabungkan sahaja antara kedua-dua bentuk zikir tersebut.
Lebih baik kita membacanya daripada terus meninggalkannya kerana kesulitan yang dialami.
b- Meskipun saya memilih pandangan zikir petang bermula selepas Asar, namun sesiapa yang ingin beramal 3 Qul sebanyak 3 kali selepas Maghrib, tiada masalah.
Saya perhatikan, bukan Ibn Baz seorang yang menyarankan selepas Maghrib.
Hadith hanya menyatakan zikir petang. Biasanya, zikir petang bermula Asar.
c- Zikir pagi dan petang boleh sahaja dibaca sebelum Solat Subuh dan Maghrib. Seperti kita membacanya selepas mengerjakan Solat Sunat Subuh atau dalam perjalanan menuju Solat Asar.
Yang penting, waktunya sudah masuk.
Sumber : facebook Dzulkhairi Khairi