BERDIRI TANDA HORMAT KEPADA GURU ADALAH DILARANG?
Soalan
Assalamualaikum wrb, adakah berdiri tanda hormat kepada guru dilarang oleh Nabi SAW? sebab saya ada lihat satu video yang menjelaskan sedemikian. Mohon pencerahan.
Ringkasan Jawapan
Larangan dalam hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka” bukanlah disebabkan perbuatan berdiri itu tetapi larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya. Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi SAW memerintahkan para sahabat agar berdiri untuk Saʻad apabila beliau datang untuk membacakan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah. Walaupun begitu, perbuatan berdiri tersebut bukanlah kerana ingin mengagungkan individu tertentu tetapi mestilah kerana ingin menghormati dan memuliakannya sahaja atas faktor keilmuan, kewarakan atau kemuliaannya.
Mukadimah
Antara peranan ilmu hadis ialah menerangkan keaslian sesebuah hadis di samping membantu memahami makna hadis yang benar sesuai dengan isyarat daripada Nabi SAW. Pada hari ini seringkali mereka yang membaca hadis dalam keadaan gopoh terhadap sesuatu ungkapan yang dianggap menarik yang disandarkan kepada Nabi SAW. Lalu mereka berpegang dengan zahir hadis semata-mata tanpa melihat huraian ulama dalam memahami sesuatu hadis. Oleh itu, perbahasan kali ini akan menghuraikan berkenaan hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka”.
Huraian Jawapan
Hadis yang dimaksudkan ialah riwayat daripada Muʻawiyah RA bahawa dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يَمْثُلَ لَهُ الرِّجَالُ قِيَامًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.”[1]
Riwayat Abu Daud
Selain itu, dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda:
مَن سرَّهُ أن يتمثَّلَ لَهُ الرِّجالُ قيامًا فَليتَبوَّأ مَقعدَهُ منَ النَّارِ
Maksudnya: “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka.”[2]
Riwayat al-Tarmizi
Imam al-Tarmizi menghukumkan hadis ini sebagai hasan.[3] Bahkan, Imam Abu Daud tidak memberikan sebarang komentar terhadap hadis ini bermaksud hadis ini menurutnya adalah salih untuk diamalkan.[4] Oleh itu, umumnya hadis ini boleh dikategorikan sebagai hadis yang maqbul(diterima periwayatannya).
Hadis ini menunjukkan larangan bagi seseorang yang berdiri untuk mengagungkan individu tertentu.[5] Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menukilkan pandangan Imam al-Nawawi yang mengatakan bahawa makna hadis ini yang paling tepat (asah) ialah larangan untuk seseorang muslim merasa suka ketika orang lain berdiri untuk dirinya.[6]
Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi juga mengatakan bahawa larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya.[7] Namun sekiranya terdapat orang yang berdiri ataupun tidak untuk dirinya dan tidak terlintas dalam dirinya sedikit pun perasaan suka tersebut maka tidak mengapa. Berbeza kalau dia merasa suka apabila diperlakukan sedemikian maka hukumnya haram meskipun tidak ada sesiapa yang berdiri.[8]
Oleh itu, pemahaman mereka yang melarang perbuatan berdiri tanda hormat kepada seseorang disebabkan perbuatan berdiri itu sendiri adalah tidak tepat. Tetapi sebab larangan tersebut yang paling tepat adalah kerana perasaan suka tersebut semata-mata.[9]
6
Hal ini kerana terdapat hadis lain daripada Abu Saʻid al-Khudri RA beliau berkata: Sesungguhnya penduduk Quraizah apabila mereka bersetuju untuk menerima hukuman daripada Saʻad maka Nabi SAW menghantar beliau kepada mereka. Lalu beliau datang menaiki keldai lalu baginda Nabi SAW bersabda:
قُومُوا إِلَى سَيِّدِكُمْ
Maksudnya: Berdirilah kamu semua untuk tuan kamu.[10]
Riwayat Abu Daud
Mulla ‘Ali al-Qari menyebutkan bahawa hadis ini menunjukkan tentang perbuatan memuliakan golongan yang mempunyai kelebihan daripada aspek keilmuan, kewarakan atau kemuliaan dengan cara berdiri saat kehadiran mereka. Begitulah pandangan jumhur ulama ketika berinteraksi dengan hadis ini.[11]
Walaupun begitu, perlu dicermati hadis ini dengan baik dan teliti kerana keharusan yang disebutkan dalam hadis tersebut bukanlah bersifat mutlak kerana ia terikat dengan tujuan mereka yang melakukan amalan berdiri menyambut ketibaan seseorang tersebut. Hal ini kerana, jika berdiri itu bagi tujuan memuliakan dan menghormati maka dibolehkan. Namun jika tujuannya untuk mengagung-agungkan individu tertentu maka dilarang.
Perkara ini sebagaimana yang telah disebutkan oleh Imam al-Ghazali bahawa perbuatan berdiri adalah makruh jika bertujuan untuk mengagung-agungkan seseorang dan boleh untuk memuliakan.[12]
Kesimpulan
Larangan dalam hadis “Sesiapa yang suka seseorang berdiri untuknya, maka persiapkanlah tempat duduknya di neraka” bukanlah disebabkan perbuatan berdiri itu tetapi larangan tersebut adalah terhadap perasaan suka dalam diri seseorang apabila ada orang lain berdiri untuknya. Bahkan dalam hadis yang lain, Nabi SAW memerintahkan para sahabat untuk berdiri kepada Saʻad apabila beliau datang untuk membacakan hukuman kepada penduduk Bani Quraizah. Walaupun begitu, perbuatan berdiri tersebut bukanlah kerana ingin mengagungkan individu tertentu tetapi mestilah kerana ingin menghormati dan memuliakannya sahaja atas faktor keilmuan, kewarakan atau kemuliaannya.
Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid (Beirut: al-Maktabah al-‘Asriyyah, t.t.), no. hadis 5229, jld. 4: hlm. 358.
[2] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, Sunan al-Tarmizi, ed. Ibrahim ‘Atawwah ‘Awwadh (Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), no. hadis 2755, jld. 5: hlm. 90.
[3] Ibid.
[4] Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi, ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Daud, ed. ‘Abd al-Rahman ‘Imad (Kaherah: Syarikah al-Quds, 2011), jld. 1: hlm. 19.
وما لم أذكر فيه شيئا فهو صالح
[5] Ibid., jld. 11: hlm. 301.
[6] Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar al-Maʻrifah, 1379), jld. 11: hlm. 53.
وقال النووي في الجواب عن حديث معاوية إن الأصح والأولى بل الذي لا حاجة إلى ما سواه أن معناه زجر المكلف أن يحب قيام الناس له قال وليس فيه تعرض للقيام بمنهي ولا غيره وهذا متفق عليه
[7] Muhammad Asyraf al-‘Azim al-Abadi, ‘Aun al-Maʻbud Syarh Sunan Abi Daud, ed. ‘Abd al-Rahman ‘Imad, jld. 8: hlm. 301.
قَالَ وَالْمَنْهِيُّ عَنْهُ مَحَبَّةُ الْقِيَامِ
[8] Ibid.
فَلَوْ لَمْ يَخْطِرْ بِبَالِهِ فَقَامُوا لَهُ أَوْ لَمْ يَقُومُوا فَلَا لَوْمَ عَلَيْهِ فَإِنْ أَحَبَّ ارْتَكَبَ التَّحْرِيمَ سَوَاءً قَامُوا أَوْ لَمْ يَقُومُوا
[9] Ibid.
قَالَ فَلَا يَصِحُّ الِاحْتِجَاجُ بِهِ لِتَرْكِ الْقِيَامِ فَإِنْ قِيلَ فَالْقِيَامُ سَبَبٌ لِلْوُقُوعِ فِي الْمَنْهِيِّ عَنْهُ قُلْنَا هَذَا فَاسِدٌ لِأَنَّا قَدَّمْنَا أَنَّ الْوُقُوعَ فِي الْمَنْهِيِّ عَنْهُ يَتَعَلَّقُ بِالْمَحَبَّةِ خَاصَّةً انْتَهَى مُلَخَّصًا
[10] Abu Daud Sulaiman bin al-Asyʻath, Sunan Abi Daud, ed. Muhammad Muhyi al-Din ‘Abd al-Hamid, no. hadis 5215, jld. 4: hlm. 355.
[11] ‘Ali bin Muhammad al-Qari, Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih (Beirut: Dar al-Fikr, 2002), jld. 7: hlm. 2972.
وَقَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ: فِي الْحَدِيثِ إِكْرَامُ أَهْلِ الْفَضْلِ مِنْ عِلْمٍ أَوْ صَلَاحٍ أَوْ شَرَفٍ بِالْقِيَامِ لَهُمْ إِذَا أَقْبَلُوا، هَكَذَا احْتَجَّ بِالْحَدِيثِ جَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ.
[12] Ibid, jld. 7: hlm. 2973.
وَقَالَ الْإِمَامُ حُجَّةُ الْإِسْلَامِ: الْقِيَامُ مَكْرُوهٌ عَلَى سَبِيلِ الْإِعْظَامِ لَا عَلَى سَبِيلِ الْإِكْرَامِ، وَلَعَلَّهُ أَرَادَ بِالْإِكْرَاهِ الْقِيَامَ لِلتَّحِيَّةِ بِمَزِيدِ الْمَحَبَّةِ، كَمَا تَدُلُّ عَلَيْهِ الْمُصَافَحَةُ، وَبِالْإِعْظَامِ التَّمَثُّلَ لَهُ بِالْقِيَامِ وَهُوَ جَالِسٌ عَلَى عَادَةِ الْأُمَرَاءِ الْفِخَامِ، وَاللَّهُ أَعْلَمُ بِكُلِّ حَالٍ وَمَقَامٍ.