skip to Main Content

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah disyaratkan untuk mendapat pahala lailatul qadar mesti beribadah pada sepanjang malamnya? Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadar (1) Dan adakah kamu mengetahui akan kebesaran malam al-Qadar itu? (2) Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.”[1]

Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya.[2]

Bagi menjawab soalan di atas, pada asasnya tidak disyaratkan untuk mendapatkan ganjaran atau kemuliaan lailatul qadar mestilah mendirikan solat atau berqiyam sepanjang malam. Namun, ganjarannya dapat diraih meskipun hanya dengan beribadah pada sebahagian malamnya. Mengenai ini, Zainuddin al-‘Iraqi ada menyebutkan,  qiyam Ramadhan itu bukanlah bermaksud qiyam (yakni solat malam dan beribadah) pada keseluruhan malam, akan tetapi perkara tersebut boleh didapatkan dengan hanya qiyam pada sebahagian malamnya sebagaimana tahajjud, solat terawih bersama imam seperti mana kebiasaannya dan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah.[3] Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat daripada Uthman bin ‘Affan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَن صَلّى العِشاءَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما قامَ نِصْفَ اللَّيْلِ، وَمَن صَلّى الصُّبْحَ في جَماعَةٍ فَكَأنَّما صَلّى اللَّيْلَ كُلَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan solat Isyak secara berjemaah, maka seakan-akan dia mendirikan solat setengah malam, dan sesiapa yang mendirikan solat Subuh secara berjemaah, maka seakan-akan dia mendirikan solat pada malam keseluruhannya.”[4]

 

 

Begitu juga dalam sebuah riwayat daripada Abu Zar al-Ghifari, beliau berkata:

صُمنا معَ رسولِ اللَّهِ صلّى اللَّهُ عليْهِ وسلَّمَ في رمضانَ، فلم يقُم بنا، حتّى بقيَ سبعٌ منَ الشَّهرِ، فقامَ بنا حتّى ذَهبَ ثلُثُ اللَّيلِ ثمَّ لَم يقُم بنا في السّادسةِ فقامَ بنا في الخامِسةِ حتّى ذَهبَ شطرُ اللَّيلِ فقلتُ يا رسولَ اللَّهِ لو نفَّلتَنا بقيَّةَ ليلتِنا هذِهِ قالَ إنَّهُ من قامَ معَ الإمامِ حتّى ينصرِفَ كتبَ اللَّهُ لَهُ قيامَ ليلةٍ ثمَّ لم يصلِّ بنا ولم يقُم حتّى بقيَ ثلاثٌ منَ الشَّهرِ فقامَ بنا في الثّالثةِ وجمعَ أَهلَهُ ونساءَهُ حتّى تخوَّفنا أن يفوتَنا الفلاحُ، قلتُ: وما الفلاحُ؟ قالَ: السُّحورُ

Maksudnya: “Kami berpuasa bersama Rasulullah SAW pada bulan Ramadhan. Namun, Baginda tidak solat malam bersama kami sehinggalah berbaki tujuh hari daripada bulan Ramadhan. Lalu Baginda solat malam bersama kami sehingga berlalunya sepertiga malam. Kemudian Baginda tidak solat malam bersama kami pada malam keenam yang berbaki (yakni malam 24). Kemudian Baginda solat malam bersama kami pada malam kelima yang berbaki (yakni malam 25) sehingga berlalunya setengah malam. Lalu aku berkata: ‘Wahai Rasulullah, kalaulah engkau sempurnakan solat malam ini bersama kami pada malam-malam kami yang berbaki ini.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya sesiapa yang mendirikan solat bersama imam sehingga selesai, maka Allah akan tuliskan (kurniakan) baginya pahala qiyam satu malam — yakni seluruh malam tersebut.’ Kemudian Baginda tidak solat malam bersama kami mahupun berqiyam sehinggalah berbaki tiga hari daripada bulan Ramadhan. Baginda solat malam bersama kami, serta mengumpulkan ahli keluarga dan isteri-isteri Baginda bersama sehingga kami bimbang akan terlepasnya al-Falah. Aku bertanya: ‘Apakah itu al-Falah?’ Beliau menjawab: ‘Sahur.’[5]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak disyaratkan bagi meraih pahala atau ganjaran lailatul qadar mesti beribadah pada sepanjang malamnya. Justeru, sesiapa yang menghidupkan malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan ibadah sekalipun sebahagiannya sahaja dengan mendirikan solat terawih bersama imam sehingga selesai sebagaimana kebiasaannya, solat Isyak dan Subuh secara berjemaah, solat tahajjud, dan lain-lain daripada amal ibadah, akan mendapat ganjaran pahala daripadanya sebagaimana dijanjikan sesuai dengan kadar apa yang diusahakannya. Hal ini kerana sudah tentu ada perbezaannya, bagi mereka yang menghidupkan seluruh malam dengan ibadah dengan mereka yang hanya menghidupkannya sekadar setengah malam atau kurang daripada itu.

Kami juga mengambil kesempatan di sini mengajak semua, marilah kita sama-sama mencari dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mendapatkan kelebihan-kelebihan dan fadhilat-fadhilat yang berbaki pada akhir-akhir Ramadhan ini, terutamanya dalam mengejar lailatul qadar. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ القَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا، غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang berqiyam pada malam al-Qadar (lailatul qadar) dengan penuh keimanan dan penuh pengharapan, maka akan diampunkan baginya dosa yang telah lalu.”[6]

Bahkan terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْتَهِدُ فِيْ العَشْرِ الأَوَاخِرِ، مَا لَا يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain.”[7]

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita malam al-Qadar yang diisi dengan segala amal kebajikan, dan seterusnya melayakkan kita untuk mendapat keampunan daripada-Nya. Ameen.

Wallahua‘lam.

 

[1] Surah al-Qadr: 1-3

[2] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447.

[3] Lihat Tarh al-Tathrib, 4/161.

[4] Riwayat Muslim (656); Abu Daud (555)

[5] Riwayat al-Nasa’i (1605); Abu Daud (1375); al-Tirmizi (806); Ibn Majah (1327); Ahmad (21419)

[6] Riwayat al-Bukhari (1901)

[7] Riwayat Muslim (2009)

 


Sumber : Maktabah Al-Bakri (Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Back To Top