skip to Main Content

عَنِ المِقْدَامِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «مَا أَكَلَ أَحَدٌ طَعَامًا قَطُّ، خَيْرًا مِنْ أَنْ يَأْكُلَ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ، وَإِنَّ نَبِيَّ اللَّهِ دَاوُدَ عَلَيْهِ السَّلاَمُ، كَانَ يَأْكُلُ مِنْ عَمَلِ يَدِهِ»

Daripada Al-Miqdam r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: “Tidaklah seseorang makan makanan yang lebih baik daripada dia memakan hasil kerja tangannya sendiri. Sesungguhnya Nabi Allah, Daud a.s, makan daripada hasil kerja tangannya sendiri”. [Sahih al-Bukhari, no: 2072].

Imam Ibnu Hajar menyatakan kenapa disebutkan Nabi Daud a.s dalam hadis ini adalah kerana walaupun Nabi Daud a.s seorang pemimpin ketika itu, dia tetap makan hasil daripada usaha kerjanya sendiri, walaupun daripada sudut keperluannya, baginda tak perlu pun untuk bekerja mencari rezeki, sebab beliau seorang pemimpin.

Ini jua menunjukkan bahawa bekerja untuk mencari rezeki tidaklah merosakkan tawakkal seseorang kepada Allah. [Lihat
Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Bari, 4:306].

Al-Shaikh Al-Bassam menyebutkan perbezaan pendapat ulama tentang pekerjaan yang paling afdhal iaitu:

Imam al-Syafie berpendapat yang paling afdhal ialah berniaga.
Al-Mawardi pula berpendapat pertanian lebih afdhal kerana lebih dekat dengan tawakkal.

 


Imam al-Nawawi menyatakan yang lebih afdhal ialah pekerjaan dengan tangan sendiri sebagaimana umum disebutkan dalam hadis. Adapun begitu, pertanian adalah lebih afdhal kerana ia adalah pekerjaan dengan tangan sendiri, kerana tingginya tawakkal dalam bertani, kerana ia mendatangkan manfaat kepada masyarakat umum dan haiwan.

Shaikh al-Bassam menyebutkan bahawa mencari rezeki dengan apa sahaja cara yang harus, adalah lebih baik daripada meminta-minta. Adapun jenis pekerjaan itu, maka setiap insan berbeza-beza dengan apa yang sesuai dengan mereka. [Rujuk: Abdullah Al-Bassam, Tawdhih al-Ahkam Sharh Bulughul Maram, 3:412].


Sumber: Ust Mohd Masri Mohd Ramli 

Back To Top