skip to Main Content

Saya fikir, antara jasa besar Shaikh al-Albani kepada saya ialah saya dapat mengetahui banyak bacaan-bacaan doa dalam solat yang diajarkan Nabi s.a.w. Dalam Sifat Solat Nabi, beliau bawakan banyak bacaan doa iftitah. Antaranya doa di bawah:

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَسْكُتُ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَبَيْنَ الْقِرَاءَةِ إِسْكَاتَةً ، قَالَ : أَحْسِبُهُ ، قَالَ : هُنَيَّةً ،
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sering kali mendiamkan diri seketika di antara takbiratul Ihram dan bacaan al-Fatihah.

فَقُلْتُ بِأَبِي وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ إِسْكَاتُكَ بَيْنَ التَّكْبِيرِ وَالْقِرَاءَةِ مَا تَقُولُ ،
Aku (Abu Hurairah) berkata: Ya Rasulullah, demi ayah dan ibuku, apakah yang engkau baca ketika mendiamkan diri di antara takbir dan al-Fatihah.

قَالَ : أَقُولُ
Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: Aku membaca:

اللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِي وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ،
Ya Allah, jauhilah diriku dari kesalahanku sepertimana Engkau jauhkan antara timur dan barat;

اللَّهُمَّ نَقِّنِي مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ،
Ya Allah, bersihkanlah diriku dari kesalahanku sepertimana pakaian putih dibersihkan dari kotoran;

اللَّهُمَّ اغْسِلْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ ” .
Ya Allah cucikanlah diriku dari kesalahanku dengan air, salji dan ais.
[Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, hadis no: 744]

 

 

 

Para ulama menerangkan tentang hujung doa ini yang berbunyi ‘Ya Allah cucikanlah diriku dari kesalahanku dengan air, salji dan ais’.

Ia merupakan satu permintaan agar dosa kita dibersihkan dengan pelbagai jenis rahmat dan keampunan. Keampunan dosa bermaksud tiada dosa lagi. Akan tetapi kesan-kesan dosa itu masih ada pada diri seseorang. Maka ia perlu dibersihkan lagi sehingga tiada kesan yang tersisa.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa kerana dosa meninggalkan kesan penyesalan dan putus asa yang bersifat ‘panas’. Maka ia perlu dihapuskan dengan unsur yang sangat ‘sejuk’.

Al-Shaikh Ibnu Uthaimin menyebutkan dalam Sharh Riadussolihin:

ذكر الثلج والبرد لأنه بارد وذكر الماء لأن به النظافة والذنوب أجارنا الله وإياكم منها عقوبتها حارة فناسب أن يقرن مع الماء الثلج فيحصل بالماء التنظيف ويحصل بالثلج والبرد التبريد
Disebutkan salji dan ais, kerana keduanya penyejuk. Disebutkan pula air kerana ia membersihkan. Allah telah menjadikan dosa itu, antara hukumannya ialah kepanasan. Oleh itu sesuailah digandingkan air bersama dengan salji. Lalu dengan air itu, akan terhasillah kebersihan, dan dengan salji dan ais pula, akan terhasillah kesejukan.

Al-Shaikh ‘Athiyyah Muhammad Salim dalam Sharh Bulughul Maram menyebutkan:

إن الخطيئة عند المؤمن تسبب له الندم، والندم يجعل عند الإنسان حرارة، فإذا غسلت بالماء زال أثرها كما ينقى الثوب الأبيض من الدنس، لكن تبقى حرارتها فتغسل بالثلج فتذهب حرارة الخطيئة في نفسه، ويأتي البرد زيادة على ذلك
Dosa yang dimiliki seorang beriman akan menyebabkan penyesalan. Penyesalan akan menyebabkan seseorang dalam ‘kepanasan’. Apabila ia dicuci menggunakan air, maka hilanglah kesan dosa itu sebagaimana pakaian yang putih dibersihkan daripada kotoran. Akan tetapi ‘kepanasan’ dosa itu masih ada. Lalu ia dibasuh dengan salji, maka hilanglah kepanasan dosa itu daripada dirinya. Kemudian digunakan pula ais sebagai tambahan kepada itu.

Marilah kita baca, hafal, dan hayati doa ini.

 


 

Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top