Soalan: Adakah sahih kisah yang berlaku di antara Umar bin al-Khattab dan juga Ibn Abbas dalam menafsirkan ayat pertama daripada surah al-Nasr?
Ringkasan Jawapan: Hadith berkaitan tafsiran Ibn Abbas R.anhuma terhadap ayat pertama di dalam surah al-Nasr dengan hampirnya ajal Nabi SAW adalah hadith yang sahih dan hadith ini juga menunjuk kelebihan yang ada pada Ibn Abbas R.anhuma.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Abdullah bin Abbas R.anhuma merupakan sepupu kepada Nabi SAW kerana ayah kepada Ibn Abbas merupakan bapa saudara kepada Nabi SAW. Ibn Abbas R.anhuma lahir di Makkah tiga tahun sebelum daripada peristiwa hijrah dalam keadaan Nabi SAW dan para sahabatnya menghadapi tekanan ekonomi daripada kaum musyrikin. Nabi SAW pernah juga mendoakan kepada Ibn Abbas R.anhum ini dengan doa yang masyhur (sebagaimana di dalam riwayat Ahmad):
اللهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيلَ
Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada Ibn Abbas kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepadanya takwilan-takwilan.”
Umar al-Khattab RA sangat menyanjungi Ibn Abbas R.anhuma disebabkan keilmuan yang ada padanya serta daya fikir yang luas. Beliau wafat di Taif pada tahun 71 Hijrah dan telah dikebumikan di situ. [Lihat: al-Wafi, 397]
Berdasarkan soalan di atas, sememangnya terdapat banyak hadith yang meriwayatkan berkaitan peristiwa tersebut. Antaranya ia diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam al-Tirmizi:
- Daripada Ibn Abbas R.anhuma:
أَنَّ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، سَأَلَهُمْ عَنْ قَوْلِهِ تَعَالَى: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ} [النصر: 1]، قَالُوا: فَتْحُ المَدَائِنِ وَالقُصُورِ، قَالَ: مَا تَقُولُ يَا ابْنَ عَبَّاسٍ؟ قَالَ: أَجَلٌ، أَوْ مَثَلٌ ضُرِبَ لِمُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُعِيَتْ لَهُ نَفْسُهُ
Maksudnya: “Umar RA pernah bertanya kepada para sahabat (pembesar Badar) tentang tafsiran firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ
al-Nasr: 1
Maksudnya: “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu wahai Muhammad SAW berjaya menguasai negeri Makkah).”
Mereka menjawab: Maksudnya adalah penaklukan kota-kota dan istana-istana. Lalu Umar RA bertanya: Apa pendapat wahai Ibn Abbas? Jawab Ibn Abbas R.anhuma: Maksudnya adalah ajal (Nabi SAW) atau ia suatu perumpamaan yang diberikan untuk Nabi Muhammad SAW bagi menunjukkan hampirnya ajal Baginda SAW.” [Riwayat al-Bukhari (4969)]
- Daripada Ibn Abbas R.anhuma:
كَانَ عُمَرُ يَسْأَلُنِي مَعَ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ لَهُ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ: أَتَسْأَلُهُ وَلَنَا بَنُونَ مِثْلُهُ؟ فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: إِنَّهُ مِنْ حَيْثُ تَعْلَمُ، فَسَأَلَهُ عَنْ هَذِهِ الآيَةِ: {إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ} [النصر: 1] فَقُلْتُ: إِنَّمَا هُوَ أَجَلُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَعْلَمَهُ إِيَّاهُ، وَقَرَأَ السُّورَةَ إِلَى آخِرِهَا، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: وَاللَّهِ مَا أَعْلَمُ مِنْهَا إِلَّا مَا تَعْلَمُ
Maksudnya: “Umar RA pernah bertanya kepadaku dan bersamaku para sahabat Nabi SAW yang lain. Telah berkata Abd al-Rahman bin ‘Auf RA: Adakah kamu (Umar RA) ingin bertanya kepadanya (Ibn Abbas R.anhuma) sedangkan kami mempunyai anak seusia dengannya. Lalu Umar RA berkata kepadanya (Abd al-Rahman bin ‘Auf RA): Sesungguhnya dia (Ibn Abbas R.anhuma) mempunyai kelebihannya tersendiri sepertimana yang kamu juga tahu. Kemudian Umar RA bertanya kepadanya (Ibn Abbas R.anhuma) tentang maksud ayat ini:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالفَتْحُ
al-Nasr: 1
Maksudnya: “Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa kamu wahai Muhammad SAW berjaya menguasai negeri Makkah).”
Maka aku menjawab: Maksudnya adalah ajal Rasulullah SAW) sepertimana yang Allah beritahukan kepadanya. Dan dia membaca surah tersebut hingga ke akhirnya. Umar RA berkata kepadanya (Ibn Abbas R.anhuma): Demi Allah! Tidaklah aku ketahui daripada ayat ini melainkan apa yang kamu ketahui.” [Riwayat al-Bukhari (4430)][Riwayat al-Tirmizi (3362)][Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan sahih]
Melihat kepada beberapa riwayat di atas, maka hadith berkaitan tafsiran Ibn Abbas R.nhuma terhadap ayat pertama di dalam surah al-Nasr dengan hampirnya ajal Nabi SAW adalah hadith yang sahih. Ini merupakan salah satu daripada jenis di dalam kategori tafsir bi al-Ma’thur iaitu menafsirkan ayat al-Quran dengan hadith Nabi SAW. Di samping itu juga, di sana terdapat juga beberapa kitab yang khusus dalam menyusun tafsiran-tafsiran hadith terhadap ayat al-Quran seperti kitab Sahih al-Tafsir a-Nabawi Min al-Kutub al-Sittah dan banyak kitab-kitab yang lain seperti Tafsir al-Thobari, Tafsir Ibn Kathir dan lain-lain lagi.
Penutup
Kesimpulannya, hadith berkaitan tafsiran Ibn Abbas R.nhuma terhadap ayat pertama di dalam surah al-Nasr dengan hampirnya ajal Nabi SAW adalah hadith yang sahih dan hadith ini juga menunjuk kelebihan yang ada pada Ibn Abbas R.anhuma. Akhirnya, semoga dengan sedikit pencerahan ini dapat memberi sedikit kefahaman dan ilmu kepada kita berkaitan agama ini. Amin.
Wallahua’lam
Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-al-hadith/4557-irsyad-al-hadith-siri-ke-507-hadith-tafsiran-ibn-abbas-berkaitan-ajal-nabi-saw