Ayah saya dahulu, ketika saya maklumkan yuran talaqqi bulanan saya dengan seorang Syeikh hanya LE20, terus dia pesan: “cik bagi banyak sikit kat Syeikh, lepas tu beli apa-apa kat Syeikh”. Bermula detik itu, setiap bulan saya hadiahkan Syeikh bulanan LE50 beserta halawiyyah (manisan) sekitar LE20.
Di dalam Ar Risalah al Mufassolah li ahwal al Mu’alllimin, pengarangnya Al Imam Abu al Hasan Ali bin Muhammad Al Faqih (403H) yang terkenal dengan jolokan Al Qabisi (القابسى) ada menyebut tentang peranan bapa dalam mendidik anak membaca Al Quran. Dan antara isinya:
1- Penting bagi bapa mengajar anaknya Al Quran. Dan inilah apa yang dicontohkan generasi awal.
2- Jika dia tidak mampu, hendaklah dia carikan guru untuk mengajarkan anaknya Al Quran.
3- Beliau juga dengan terang mengkritik kaum bapa yang bakhil mengeluarkan wang untuk pengajian Al Quran anaknya.
Nas kata-kata beliau menyebut :
وَقَدْ مَضَى أَمْرُ الْمُسْلِمِينَ أَنَّهُمْ يَعَلِّمُونَ أَوْلَادَهُمْ الْقُرْآنِ وَ يَأْتُونَهُمْ بِالْمُعَلِّمِينَ وَيَجْتَهِدُونَ فِي ذَلِكَ وَهَذَا مِمَّا لَا يَمْتَنِعُ وَالِدٌ لِوَلَدِهِ وَهُوَ يَجِدُ إِلَيْهِ سَبِيلًا إِلَّا مُدَارَكَة شُحِّ نَفْسِهِ فَهَذَا لَا حَاجَةَ لَهُ قَالَ اللهُ وَاُحْضِرَتِ الْاَنْفُسُ الشُّحّ وَقَالَ اللهُ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ ٖ فَاُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ وَلَا يَدَعُ أَيْضًا هَذَا وَالِدٌ وَاحِدٌ تَهَاوُنًا وَاِسْتِخْفَافًا لِتَرْكِهِ إِلَّا وَالِدٌ جَافٍّ لَا رَغْبَةَ لَهُ فِي الْخَيْرِ فَمَنْ رَغِبَ إِلى رَبِّهِ أنْ يَجْعَلَ مِنْ ذَرِّيَّتِهِ قُرَّهَ عَيْنٍ لَمْ يَبْخَلْ عَلَى وَلَدٍ بِمَا يُنْفِقُ عَلَيْهِ فِى تَعْلِيمِهِ الْقُرْآنَ.
“Dan apa yang telah lalu dari urusan Muslimin, bahawa mereka mengajarkan anak-anak mereka Al-Quran dan membawa anak-anak mereka kepada para guru. Dan mereka berusaha dalam hal itu bahkan ini adalah sesuatu yang tidak ditolak oleh seorang bapapun untuk anaknya, selagi dia mampu melaksanakannya melainkan kerana tarikan kebakhilan dalam diri dan ini tiada keperluan padanya. Allah berfirman : “dan manusia itu menurut tabiatnya bakhilnya”. Allah juga berfirman : “Dan barangsiapa yang dipelihara dari kebakhilan dirinya, maka mereka itulah orang-orang yang beruntung”. Tidaklah seorang bapapun meninggalkan perkara ini hal keadaan meremehkan dan menganggap pengajaran Al Quran itu tidak penting, melainkan dia seorang bapa yang keras dan tidak punya keinginan melihat kebaikan.
Dan barangsiapa yang ingin Tuhannya menjadikan keturunannya penyejuk hati , dia pasti tidak akan bakhil mengeluarkan belanja demi pembelajaran Al-Quran anaknya.
Sumber : Ustaz Hanif Azmir Hassim