skip to Main Content

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Kalau dilihat dalam media sosial, ada sebahagian peniaga wanita yang mempromosikan barang mereka dengan cara yang cukup memalukan. Ada saya tengok siap berbogel lagi untuk promosi barang. Ada yang berpakaian tidak sopan, pakai bikini nak promosikan barang yang dia jual. Sungguh memalukan. Apa pandangan dan pendirian ustaz berkenaan perkara ini?

Ringkasan jawapan :

Perbuatan mempromosikan barangan dengan cara berbogel,berpakaian tidak sopan dan memalukan adalah perbuatan yang diharamkan. Tambahan pula ianya dianggap sebagai perbuatan berbangga dengan dosa. Ia juga merupakan perbuatan yang boleh mencemarkan kehormatan diri sebagai wanita apatah lagi jika dia adalah seorang Muslim.

Mempromosikan barang seharuskan menggunakan cara yang elok dan sopan serta tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara. Meskipun niat seseorang itu baik yang tujuan mencari rezeki, namun niat sebegini sama sekali tidak menghalalkan jalan promosi yang diharamkan oleh agama.

 

 

Huraian jawapan :

Allah memerintahkan hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita untuk menutup aurat dan tidak memperlihatkannya kepada umum.  Allah SWT berfirman :

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”[1]

Ayat ini terkandung perintah menutup aurat dan tidak mendedahkannya kepada umum terutama kepada yang bukan mahram. Bahkan dalam ayat ini juga terkandung perintah menjaga kehormatan diri.

Imam Al-Tabari menjelaskan ayat ini, kata beliau :

ويحفظن فروجهنَّ عن أن يراها من لا يحلّ له رؤيتها بلبس ما يسترها عن أبصارهم

“Para wanita perlu menjaga kemaluannya daripada dilihat oleh orang yang tidak halal untuk melihatnya dengan memakai (pakaian) yang menutup bahagian tersebut daripada pandangan para lelaki.”[2]

Imam Al-Baidawi menjelaskan tentang ayat ini dengan lebih terperinci mengapa setiap individu perlu menjaga matanya :

وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ بالتستر أو التحفظ عن الزنا، وتقديم الغض لأن النظر بريد الزنا. ‌وَلا ‌يُبْدِينَ ‌زِينَتَهُنَّ كالحلي والثياب والأصباغ فضلاً عن مواضعها لمن لا يحل أن تبدى له.

“Para wanita perlu menjaga kemaluan mereka dengan menutupnya dan menjaga dirinya daripada perlakuan zina. Perbuatan menundukkan pandangan disebutkan terlebih dahulu kerana pandangan itu adalah penyampai kepada zina. ‘Dan janganlah mereka mempamerkan perhiasan mereka’ seperti perhiasan,pakaian dan celupan apatahlagi tempat perhiasan tersebut. Tidak boleh mempamerkannya kepada orang yang tidak halal untuk dia dedahkannya.”[3]

Bahkan Nabi SAW pernah menegur Asma’ Binti Abu Bakar berkenaan dengan bahagian yang patut ditutup. Nabi SAW bersabda :

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma, sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh dilihat daripada anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”[4]

Ini menunjukkan bahawa tidak boleh sama sekali untuk mendedahkan aurat kerana ianya dianggap sebagai satu kehormatan yang perlu dipelihara. Sheikh Khalil Ahmad Al-Sahranfuri menyebut :

والمراد أن المرأة إذا بلغت لا يجوز لها أن تُظهر للأجانب إلَّا ما تحتاج إلى إظهاره للحاجة إلى معاملة أو شهادة إلَّا الوجه والكفين وهذا عند أمن الفتنة، وأما عند الخوف من الفتنة فلا.

“Yang dimaksudkan adalah apabila seorang perempuan  sudah mencapai umur baligh, tidak seharusnya mempamerkan(auratnya) kepada lelaki-lelaki asing (bukan mahram) melainkan ketika ada keperluan dalam urusan muamalat dan penyaksian, (tidak boleh dipamerkan) kecuali wajah dan kedua telapak tangan. Ini dibenarkan ketika aman daripada fitnah. Adapun ketika takut fitnah maka tidak boleh mendedahkannya sama sekali.”[5]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW melarang untuk melihat aurat antara lelaki dan wanita :

لاَ يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلاَ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki melihat aurat lelaki yang lain, dan seorang perempuan melihat aurat perempuan yang lain.”[6]

Menjelaskan hadis di atas, Imam Al-Nawawi berkata :

فَفِيهِ تَحْرِيمُ نَظَرِ الرَّجُلِ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ والمرأة إلى عورة المرأة وهذا لا خلاف فِيهِ وَكَذَلِكَ نَظَرُ الرَّجُلِ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةِ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ حَرَامٌ بِالْإِجْمَاعِ

“Menurut hadis tersebut, terdapat larangan lelaki untuk melihat aurat lelaki yang lain. Begitu juga larangan perempuan melihat aurat perempuan yang lain dan perkara ini tiada khilaf. Begitu juga haram secara ijmak seorang lelaki melihat aurat wanita dan wanita melihat aurat lelaki.”[7]

Secara jelas, Islam mengharamkan umatnya melihat aurat sesame jantina. Oleh yang demikian hukum seseorang melihat aurat individu yang berlainan jantina jauh lebih berat larangannya.

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, perbuatan mempromosikan barangan dengan cara berbogel,berpakaian tidak sopan dan memalukan adalah perbuatan yang diharamkan. Ia adalah perbuatan yang mendedahkan aurat secara terbuka.

Sikap berbangga diri seperti ini dilarang keras oleh Rasulullah SAW kerana ia mengundang kemurkaan Allah. Sabda Baginda :

كُلُّ أُمَّتِي مُعَافًى إِلاَّ الْمُجَاهِرِينَ، وَإِنَّ مِنَ الْمَجَانَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَقَدْ سَتَرَهُ اللَّهُ، فَيَقُولَ يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كَذَا وَكَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَيُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللَّهِ عَنْهُ

Maksudnya: “Setiap umatku diberikan kemaafan melainkan golongan al-mujahirin. Sesungguhnya di antara perbuatan mendedahkan dosa itu adalah, seorang lelaki itu melakukan perbuatan dosa pada satu malam. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan Allah telah menutup keaiban dirinya. Lalu dia menceritakan kepada orang lain dengan katanya: ‘’Wahai si fulan, semalam aku telah melakukan perbuatan dosa itu dan ini’’. Sedangkan dia telah tidur dalam keadaan Allah menutup keaiban dirinya, lalu dia bangun dan mendedahkan apa yang Allah tutupkan dari dirinya.”[8]

Kesimpulannya, perbuatan mempromosikan barangan dengan cara berbogel,berpakaian tidak sopan dan memalukan adalah perbuatan yang diharamkan. Tambahan pula ianya dianggap sebagai perbuatan berbangga dengan dosa. Ia juga merupakan perbuatan yang boleh mencemarkan kehormatan diri sebagai wanita apatah lagi jika dia adalah seorang Muslim. Mempromosikan barang seharuskan menggunakan cara yang elok dan sopan serta tidak melanggar batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Sesungguhnya niat tidak menghalalkan cara. Meskipun niat seseorang itu baik yang tujuan mencari rezeki, namun niat sebegini sama sekali tidak menghalalkan jalan promosi yang diharamkan oleh agama

 

Nota Hujung :

[1] Surah Al-Nur : 31

[2] Abu Ja’far Al-Tabari, Muhammad Bin Jarir, Jami’ Al-Bayan Fi Ta’wil Ayy Al-Quran, Dar Al-Tarbiyah Wa Al-Turath, Mekah, j.19 h.155

[3] Al-Baidhawi,Abdullah Bin Umar, Anwar Al-Tanzil Wa Asrar Al-Ta’wil,Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabiy, j.4 h.104

[4] Riwayat Abu Daud no 4104, Al-Baihaqi no 3218 dalam Al-Sunan Al-Kubra.

[5] Al-Sahranfuri,Khalil Ahmad, Bazl Al-Majhud Fi Hilli  Sunan Abi Daud, j.12 h.132

[6] Riwayat Muslim no 1136

[7] Al-Nawawi,Yahya Bin Syarf, Syarh Sahih Muslim,Dar Ihya’ Turath Al-Arabi, j.4 h.30.

[8] Riwayat Al-Bukhari no 6069

 


 

Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4821-irsyad-al-fatwa-siri-ke-575-hukum-mempromosikan-barangan-di-media-sosial-dengan-cara-memalukan

Back To Top