skip to Main Content
HUKUM MENCETAK AYAT AL-QURAN DI KEDAI NON-MUSLIM

Soalan

 Apakah hukum saya mencetak al-Quran dan juga bahan-bahan yang mempunyai ayat al-Quran seperti buku-buku agama yang mempunyai petikan ayat al-Quran di kedai non-muslim.


Jawapan

Bismillah, Alhamdulillah segala puji bagi Allah, selawat serta salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, seterusnya ahli keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat dan semua yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke hari akhirat.

Bagi memahami isu ini, beberapa perkara perlu untuk kita fahami bersama agar dapat bersama-sama merungkai permasalahan ini.

Definisi Mushaf

Mushaf membawa maksud lembaran-lembaran yang dihimpunkan di antara dua kulit buku. Lihat Lisan al-Arab (2/485). Manakala mushaf secara istilah membawa maksud lembaran-lembaran yang termaktub kalam Allah yang dihimpunkan di antara dua kulit buku. Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyah (38/5). Berdasarkan takrifan di atas, jelas menunjukkan bahawa mushaf adalah al-Quran yang lengkap yang tidak mengandungi terjemahan, atau sebarang tambahan lain. Hal ini dikuatkan lagi, melalui kenyataan Imam Nawawi yang menyebutkan:

وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ

Maksudnya: “Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah mushaf.” Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab (2/69).

 

Hukum Non-Muslim Terlibat dengan Percetakan Mushaf

Dalam masalah ini, mazhab Imam al-Syafie mengharamkan penglibatan non-muslim dalam urusan percetakan mushaf. Ini berdasarkan pendapat al-Qalyubi yang mengatakan:

“يَمْنَع الكَافِر مِن تَجْلِيد المُصْحَف وتَذهِيبِه”

Maksudnya: Dihalang (tidak dibenarkan) orang kafir daripada kerja tajlid (membuat kulit buku) untuk al-Quran dan melengkapkannyaLihat al-Qalyubi ala Syarh al-Minhaj (3/19) dan Mughni al-Muhtaj (1/38).

 

Hukum Non-Muslim Terlibat Dengan Percetakan Bahan Yang Bercampur Dengan Ayat Al-Quran

Dalam hal ini, kami melihat ada pengecualian yang dinyatakan ulama’ dalam urusan jual beli yang berkaitan dengan mushaf. Ulama mazhab Imam al-Syafie menyatakan dikecualikan pengharaman menjual mushaf kepada non-muslim di dalam beberapa perkara seperti menjual bangunan yang dihiasi dengan ayat al-Quran pada dinding atau bumbung. Selain itu, wang dirham dan dinar yang terdapat ayat al-Quran. Pengecualian ini disebabkan akan menjadi kesukaran pada kebiasaan untuk mengharamkan jual beli perkara tersebut. Rujuk Hasyiah al-Jamal (3/19).

Maka, dalam hal ini kami melihat mempunyai persamaan dalam urusan untuk membuat cetakan, salinan atau sebagainya yang berkait dengan percetakan bahan-bahan yang bercampur dengan al-Quran. Maka, tidak diharamkan untuk membuat percetakan, salinan bahan-bahan yang bercampur dengan ayat al-Quran.

 

Akta Percetakan Teks Al-Quran

Menurut akta percetakan teks al-Quran 1986, pindaan 1 Januari 2006, di bawah seksyen 5 (1) menyatakan:

“Tiada seorangpun boleh mencetak atau membantu dalam pencetakan, atau menerbitkan atau membantu dalam penerbitan, sesuatu teks al-Quran tanpa suatu lesen yang dikeluarkan oleh Lembaga, dan Lembaga boleh, menurut budi bicara mutlaknya, memberikan lesen itu, enggan memberikan lesen itu, atau membatalkan lesen itu, atau memberikan lesen itu tertakluk kepada syarat-syarat yang diendorskan pada lesen itu”.

 

Kesimpulan

Berdasarkan apa yang dibincangkan di atas:

  • Mushaf adalah al-Quran yang lengkap tanpa mengandungi terjemahan atau tafsir.
  • Sebarang aktiviti percetakan Mushaf perlu mendapat lesen terlebih dahulu mengikut akta yang disebutkan di atas.
  • Membuat cetakan mushaf atau melibatkan non-muslim dalam urusan percetakan mushaf adalah haram
  • Membuat salinan bahan yang bercampur dengan al-Quran di kedai non-muslim tidak diharamkan kerana akan menyebabkan kesusahan dalam urusan seharian secara umumnya kepada masyarakat.

Untuk maklumat yang berkaitan isu ini boleh juga rujuk Irsyad al-Fatwa Siri Ke-216: Memberi Hadiah al-Quran dan Terjemahan Kepada Non Muslim[1]

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman untuk mengamalkan syariatnya. Amin.

Back To Top