skip to Main Content

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya nak tanya, bolehkah baca Al-Quran dan meniatkan sedekah untuk beberapa orang pada masa sama? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad ﷺ, ke atas Ahli Bait, serta Para Sahabat baginda, dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

 

Ringkasan Jawapan:

Hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada lebih daripada seorang daripada kalangan orang yang telah meninggal dunia dalam satu masa adalah diharuskan.

 

Huraian Jawapan:

Hukum menyedekah pahala bacaan al-Quran kepada orang mati telah kami huraikan beberapa kali sebelum ini. Rujuk:

Kesimpulannya, amalan menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada orang mati adalah diharuskan, dalam bentuk doa kepada Allah ﷻ agar menyampaikan pahala bacaan kepada si mati, seperti mana yang ditahqiq oleh Imam al-Nawawi.

Apabila kita menerima perbuatan tersebut sebagai doa, maka antara salah satu daripada adab berdoa ialah membacanya dalam bentuk umum atau ta`mim. Berkata Imam Ibn Hajar al-Haitami:

“Disunatkan untuk berdoa secara umum berdasarkan khabar al-Mustaghfiri: Tiadalah doa yang lebih disukai Allah melainkan doa seorang hamba, “Ya Allah aku bermohon agar Engkau ampunkan doa umat Muhammad dengan pengampunan yang menyeluruh.” Dalam riwayat lain: “Bahawa baginda ﷺ mendengar seorang lelaki berkata, “Ya Allah aku bermohon agar Engkau ampuni aku,” lalu baginda bersabda, “Celakalah kamu. Kalaulah kamu mengumumkan doamu nescaya akan dimustajabkan doamu.” Dalam riwayat lain, bahawa baginda memukul bahu orang yang berdoa, “Ampunkan aku dan rahmati aku,” kemudian bersabda kepadanya, “Hendaklah kamu umumkan pada doamu. Sesungguhnya antara doa yang khusus dan umum itu beza seperti langit dan bumi.”

(Rujuk Tuhfah al-Muhtaj , 2/88)

 

 

Manakala al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (13/20-21), para pengarang menyebut bahawa para ulama telah bersepakat tentang mengumumkan ketika berdoa adalah sunat, berdasarkan firman Allah Taala:


وَاسْتَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: “…dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan…”

(Surah Muhammad : 19)

Dan berdasarkan khabar:

مَا مِنْ دُعَاءٍ  أَحَبُّ إِلَى اللَّهِ مِنْ أَنْ يَقُول الْعَبْدُ: اللَّهُمَّ ارْحَمْ أُمَّةَ مُحَمَّدٍ رَحْمَةً عَامَّةً

Maksudnya: “Ya Allah aku bermohon agar Engkau ampunkan doa umat Muhammad dengan pengampunan yang menyeluruh.”

Riwayat Abu Hurairah dan dikeluarkan oleh al-Khatib dalam Tarikh-nya (6/157) dan Ibn Adi dalam al-Kamil (4/1621) dan Ibn Adi mengatakan ia mungkar.

Dan berdasarkan hadis orang A`rabi yang berkata:

اللَّهُمَّ ارْحَمْنِي وَمُحَمَّدًا، وَلاَ تَرْحَمْ مَعَنَا أَحَدًا

Maksudnya: “Ya Allah aku bermohon aku Engkau rahmati aku dan Muhammad, dan jangan Engkau rahmati orang lain selain kami.”

Lalu baginda bersabda:

لَقَدْ حَجَّرْتَ وَاسِعًا

Maksudnya: “Engkau telah menyempitkan perkara yang luas.”

Riwayat al-Bukhari (6010)

 

 

Kesimpulan

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami berpendapat bahawa hukum menyedekahkan pahala bacaan al-Quran kepada lebih daripada seorang daripada kalangan orang yang sudah mati adalah diharuskan, kerana mengambil hukum hakam berdoa yang mengharuskan bahkan menggalakkan lafaz doa dibacakan secara umum, yakni meliputi orang-orang beriman yang lain. Sekiranya berdoa untuk keseluruhan umat Islam dibenarkan, maka berdoa untuk beberapa orang itu juga dibenarkan secara qias. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada pihak yang bertanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ menggolongkan kita semua dalam kalangan mereka yang mendapat keampunan dan rahmat dari sisi-Nya. Amin.

Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4572-al-kafi-1742-hukum-menyedekahkan-bacaan-al-quran-kepada-lebih-daripada-seorang

Back To Top