
Soalan: Apakah benar perkataan “ Kenali diri sendiri sebelum kenali Allah”? Jika benar apakah maksudnya?
Jawapan:
Asal perkataan “Kenali diri sendiri sebelum kenali Allah” dalam bahasa arabnya اعرف نفسك تعرف ربك Kenali dirimu nescaya kamu akan ketahui Tuhanmu
Dalam lafaz lain:
من عرف نفسه عرف ربه
Barangsiapa mengenali dirinya dia akan mengenali Tuhannya
Tidak ada setakat pengetahuan saya perkataan kenali dirimu sebelum tuhanmu
Perkara penting yang perlu difahami berkenaan perkataan di atas:
1. Perkataan ini sebagaimana disebutkan oleh Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah dalam Majmuk Fatawa 16/349 bukanlah bersumber atau berasal daripada hadis Nabi ia kemungkinan bersumber dari kitab-kitab terdahulu (Ahli Kitab), Al-Sam’ani, Al-Zarqani dalam Mukhtasar Al-Maqasid, Mulla Ali Al-Qari dalam Al-Asrar Al-Marfu’ah juga menyebutkan ia bukan hadis Nabi, Imam Ibnul Qayyim juga menyebutkan ia bukan berasal dari hadis Nabi. Dikatakan ia adalah perkataan Yahya bin Muaz seorang ahli tasawwuf Sunni (wft lebih kurang 258H-bukan tasawwuf bid’i, falsafi, batini mcm zaman sekarang-), ada juga yang menafikannya wallahu’alam.
2. Maksud perkataan di atas ada diulas oleh Imam Ibnul Qayyim rahimahullah dalam Kitabnya Madaarij Al-Saalikin 1/426-427 dengan tiga maksud:
1) Barangsiapa yang sedar dan kenali kelemahan dirinya maka dia akan tahu kekuatan Allah, barangsiapa yang tahu dirinya hina maka dia akan tahu Allah itu sangat agung lagi mulia, barangsiapa yang sedar dan tahu kejahilan dirinya maka di akan sedar akan kesempurnaan Ilmu Allah sebagai Tuhannya. Maksudnya semakin kita sedar kelemahan dan kekurangan diri kita semakin bertambah keyakinan diri kita akan kesempurnaan sifat-sifat Allah SWT.
2) Barangsiapa menyedari kelebihan berupa nikmat yang Allah kurniakan kepadanya berupa kepandaian, kekayaan, kecantikan atau kelebihan-kelebihan lain berupa ilmu, kekuatan, hikmah, kesabaran dan lain-lain maka dia akan sedar bahawa kesemua itu adalah kurniaan Allah dan Allah lebih utama memiliki segala sifat-sifat kesempurnaan berbanding apa yang ada pada makhluk. Ini dipanggil Qiyas Awla. Maksudnya: Kalau kita diberi Allah ilmu ketahuilah Ilmu Allah lebih sempurna dari setiap sudut, kalau kita diberi kecantikan, Allah lebih cantik baik nama dan sifat-sifatNya, kalau kita diberi kekayaan Allah Maha Kaya dan tidak memerlukan kepada sesiapa pun
3) Barangsiapa yang tidak mengenali hakikat dirinya sendiri secara menyeluruh (baik dari sudut penciptaan dan sebagainya) bagaimana mungkin dia mampu untuk mencapai hakikat zat, sifat dan nama-nama Tuhannya yang tak mampu dicapai oleh akalnya.
Wallahu’alam.
Sumber : Ust. Muhammad Fashan