Kenapa manusia dipanggil ‘basyar’ بشر?
Dalam al-Quran, antara perkataan yang membawa maksud manusia adalah بشر.
Antaranya firman Allah:
إِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِنْ طِينٍ
Apabila Tuhan kamu berkata kepada para malaikat: Sesungguhnya Aku adalah Pencipta manusia daripada tanah. [Shad : 71].
Orang-orang kafir ketika menolak dakwah para rasul juga antara alasannya ialah rasul adalah manusia بشر seperti mereka:
قَالُوا مَا أَنْتُمْ إِلَّا بَشَرٌ مِثْلُنَا
Mereka berkata: Tidaklah kamu ini melainkan manusia seperti kami. [Yasin : 15].
Begitulah banyak sekali ayat al-Quran yang menggunakan perkataan ‘basyar’ yang mana ia bermaksud manusia.
Al-Raghib Al-Ashfahani menyatakan bahawa perkataan البَشَرَة Al-Basyarah bermaksud kulit luar, manakala الأَدَمَة pula bermaksud kulit bahagian dalam.
Manusia disebut sebagai Al-Basyar kerana kulitnya yang lebih kelihatan berbanding bulu romanya. Ini berbeza dengan binatang yang mana kulit mereka ditutupi oleh oleh bulu yang tebal.
Oleh kerana itu perkataan yang digunakan bagi hubungan seksual antara suami isteri dalam al-Qur’an ialah المباشرة yang membawa maksud ‘menyatukan dua kulit luar’. Ia merupakan kiasan kepada jima’. Ini sebagaimana firman Allah:
فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ
Oleh itu sekarang, gaulilah mereka (iaitu isteri-isteri kamu). [Al-Baqarah: 187].
Perkataan berita gembira juga berasal daripada perkataan ‘basyar’.
Misalnya firman Allah:
قَالُوا لَا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ عَلِيمٍ
Mereka (iaitu para malaikat itu) berkata (kepada Nabi Ibrahim) : Janganlah kamu takut. Sesungguhnya kami mahu memberi berita gembira kepada kamu tentang (kelahiran) seorang anak lelaki yang berilmu. [Al-Hijr: 53].
Dinamakan khabar gembira dengan perkataan ‘bayhar’ kerana apabila seseorang bergembira, akan mengalirlah darah ke seluruh bahagian kulitnya sebagaimana mengalirnya air pada dalam pokok yang dapat dilihat daripada perubahan pada wajahnya.
Wallahua’lam.
Rujukan:
Al-Raghib Al-Ashfahani, Al-Mufradat Fi Gharib al-Qur’an, 124-126.
Edisi terjemahan: Kamus al-Qur’an, 1: 185-194.
Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli