skip to Main Content

Rasulullah ﷺ bersabda:

مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً.
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendatangi tukang tilik, solatnya selama 40 hari tidak diterima.” (Hadis Riwayat Muslim, no: 2230)

Dek kejahilan manusia tentang ilmu aqidah, masih ada yang membaca zodiak malah mempercayainya.

Kata Syeikh Soleh Alu Syeikh hafizahullah:

“Termasuk ilmu nujum yang tampak jelas pada zaman ini -yang manusia anggap remeh- ialah zodiak yang banyak terdapat di majalah-majalah. Dikhaskan satu halaman atau kurang daripada itu dalam akhbar-akhbar. Lalu dilukis bentuk-bentuk bintang yang mewakili tahun, umpama bintang singa (leo), bintang kala jengking (scorpius), bintang lembu jantan (taurus) dan lain-lain lagi.

Bersama setiap bintang itu diletakkan apa yang bakal terjadi sekiranya seseorang lelaki atau wanita lahir dalam kumpulan bintang tersebut seperti apa yang engkau akan peroleh jika lahir pada bulan tersebut.

 

 

Ini termasuk dalam ilmu nujum yang juga mempercayai berupaya memberi kesan kepada hidup seseorang. Pengunaan zodiak untuk meramal kejadian di bumi termasuk dalam bentuk tilikan/ramalan. Kewujudan zodiak ini di dada akhbar dan majalah umpama kewujudan tukang tilik dalamnya. Perkara ini wajib diingkari umpama pengingkaran terhadap syirik dek dakwaan mengetahui perkara ghaib, sihir dan ilmu nujum. Hal ini kerana ilmu nujum termasuk dalam sihir dan wajib diingkari dari segenap aspek.”

Selanjutnya syeikh menyebutkan:

“Wajib jua bagi setiap muslim untuk tidak membawanya ke rumah, membacanya dan mengambil peduli akannya kerana sikap mengambil peduli akannya (walau sekadar ingin tahu) termasuk dalam larangan dari sudut seseorang itu mendatangi tukang tilik tanpa pengingkaran terhadapnya.
Jika seseorang itu membaca zodiak tersebut yang dia dilahirkan pada bulan tersebut atau cocok dengannya, seolah dia telah bertanya kepada tukang tilik. Justeru solatnya tidak akan diterima selama 40 hari. Jika dia memperakui zodiak tersebut pula, maka dia telah kufur akan apa yang telah diturunkan kepada nabi Muhammad ﷺ.”

(At-Tamhid Li Syarh Kitab At-Tauhid, m/s: 348-349)

Amalan ini masih berlegar di kalangan masyarakat kita. Jika kita ke ruangan laman sosial twitter, perkara ini masih dikongsi dek kejahilan akan ilmu aqidah. Moga Allah pelihara kita dari dosa syirik.

Wallahua’lam.

 


 

Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top