skip to Main Content

Saudara Lepat masih lagi mengulang hujah golongan anti-hadis yang beranggapan cukuplah dengan al-Quran sebagai pegangan.

Ini apa yang dikatakan oleh saudara Lepat di dalam rakaman ini:

“YAHUDI MANA AJAR HANGPA NI SEBENARNYA? MASA RASULULLAH MASIH HIDUP, ADA HADIS DAH KA? DIA TAKDA, BARU (HADIS) ADA. SIAPA YANG CATIT? DIA SURUH CATIT KA? AL-QURAN TU TAK CUKUP LAGI KA?”.

Subhanallah! Sekiranya saudara Lepat faham apa yang dimaksudkan dengan hadis dan proses periwayatan hadis, kata-kata berat sebegini tidak akan diungkapkan olehnya!

Beliau menggunakan ayat kedua dari surah al-Baqarah ini sebagai hujah bahawa memadai al-Quran sebagai petunjuk:

ذَٲلِكَ ٱلۡڪِتَـٰبُ لَا رَيۡبَ‌ۛ فِيهِ‌ۛ هُدً۬ى لِّلۡمُتَّقِينَ
“Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang keraguan padanya, ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang bertakwa”.

Saudara Lepat, ayat al-Quran jangan ambil sekerat-sekerat. Banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang memerintahkan kita untuk mentaati Rasulullah ﷺ dan berpegang dengan petunjuknya.

Cukuplah saya sebut sebahagian darinya:

i) Allah ﷻ berfirman:

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu, maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangnya kamu dari melakukannya, maka patuhilah larangannya dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang yang melanggar perintah-Nya)” [al-Hasyr: 7].

ii) Antara firman Allah ﷻ yang paling jelas adalah:

وَأَنزَلۡنَآ إِلَيۡكَ ٱلذِّڪۡرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيۡہِمۡ
“Dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau terangkan kepada manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka” [al-Nahl: 44].

Saudara Lepat, Allah ﷻ telah perintahkan kepada Rasulullah ﷺ untuk perjelaskan isi al-Quran. Bagaimana untuk kita mengetahui dan memahami apa yang diperjelaskan oleh Baginda tentang agama dan wahyu sekiranya kita tidak kembali kepada hadis dan sunnah Baginda??

Jika saudara Lepat benar-benar ingin berpegang dengan al-Quran, saudara Lepat tidak boleh mengenepikan hadis Baginda.

Kemudian saudara Lepat ada persoalkan, siapa yang suruh hadis Rasulullah ﷺ dicatat?

Saya jawab, bukan Yahudi saudara, bahkan Rasulullah ﷺ sendiri yang pernah menyuruh beberapa orang para Sahabat untuk mencatat sunnah Baginda yang mereka dengar atau lihat, antaranya:

i) Rasulullah SAW memerintahkan sebahagian Sahabat untuk menuliskan hadis kepada Abu Syah tentang khutbah Baginda ketika pembukaan kota Makkah [riwayat al-Bukhari].
ii) Ketika Baginda sakit, baginda bersabda: “Bawakan kepadaku sebuah lembaran untuk aku tuliskan sesuatu yang tidak akan membuatkan kamu sesat selepasnya” [riwayat al-Bukhari].
iii) Ketika ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As datang bertemu Baginda, Baginda mengatakan kepadanya: “Tulislah! Demi jiwaku yang berada di tangan-Nya, tidak keluar dari (mulut)ku ini melainkan yang hak!” [riwayat Ahmad].
Justeru terdapat banyak catatan para Sahabat yang merekodkan hadis Baginda ditemui, antaranya:
i) Catatan Abu Bakr RA.
ii) Catatan ‘Ali bin Abu Talib RA.
iii) Catatan ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As.
iv) Catatan ‘Abdullah bin Abu Awfa RA.
v) Catatan Abu Musa al-Asy’ari RA.
vi) Catatan Jabir bin ‘Abdullah RA.

Saya khuatir saudara Lepat termasuk dalam kalangan orang yang telah disabdakan oleh Baginda ini:

ألا إني أوتيت القرآن ومثله معه، ألا يوشك رجل شبعان على أريكته يقول: عليكم بهذا القرآن، فما وجدتم فيه من حرام فحرموه، وإن ما حرم رسول الله كما حرم الله!
“Ketahuilah, aku telah diberikan al-Quran dan yang serupa dengannya bersamanya (iaitu sunnahku). Ketahuilah, hampir datang zamannya seseorang yang kekenyangan duduk di tempat tidurnya dan (selamba) berkata: Memadailah dengan al-Quran! Apa yang kalian dapati di dalamnya berupa hal yang diharamkan maka haramkanlah!

(Baginda bersabda:) Sesungguhnya apa yang diharamkan oleh Rasulullah itu seperti apa yang diharamkan oleh Allah!” [riwayat Abu Dawud].

Semoga Allah memberi kita semua tawfiq-Nya.

 

 


Sumber : Dr Kamilin Jamilin

 

Back To Top