skip to Main Content

Ramai daripada kita mahu membantu saudara-saudara kita yang ditimpa musibah, tetapi adakalanya ia di luar kemampuan mereka, terdapat halangan dan lain-lain.

.

Pertamanya, tahniah kepada pemilik twit ini yang mempunyai niat untuk melakukan kebaikan. Sesungguhnya keazaman untuk melakukan kebaikan itu sendiri satu kebaikan. Jika benar datang daripada hati yang ikhlas, Allah menjanjikan pahala untuk keazaman melakukan kebaikan.

.

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِيمَا يَرْوِي عَنْ رَبِّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَالَ قَالَ ‏ “‏ إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ الْحَسَنَاتِ وَالسَّيِّئَاتِ، ثُمَّ بَيَّنَ ذَلِكَ فَمَنْ هَمَّ بِحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً،

Ibn ‘Abbas radiallahu ‘anhuma meriwayatkan Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam berkata: Allah berfirman: Sesungguhnya Allah telah menulis kebaikan dan kejahatan. Kemudian Dia menerangkannya. Sesiapa yang berazam melakukan kebaikan, tetapi tidak melakukannya. Maka Allah menulis untuknya satu kebaikan yang sempurna.

.

 فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَنَاتٍ إِلَى سَبْعِمِائَةِ ضِعْفٍ إِلَى أَضْعَافٍ كَثِيرَةٍ،

Seandainya dia berazam melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka Allah menulis untuknya sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda dan sehingga gandaaan yang sangat banyak.

.

 وَمَنْ هَمَّ بِسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ عِنْدَهُ حَسَنَةً كَامِلَةً، فَإِنْ هُوَ هَمَّ بِهَا فَعَمِلَهَا كَتَبَهَا اللَّهُ لَهُ سَيِّئَةً وَاحِدَةً

Sesiapa yang berazam melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya. Allah telah menulis untuknya satu kebaikan yang sempurna. Seandainya dia berazam melakukan kejahatan lalu dia melakukannya, maka Allah menulis untuknya satu kejahatan.

[Sahih al-Bukhari, Kitab ar-Riqaq, hadis no: 6491]

.

Kedua:

Sesungguhnya Allah Maha Adil, membukakan pintu melakukan kebaikan untuk semua manusia, mengikut kapasiti kemampuan manusia itu sendiri. Pintu kebaikan itu bukan hanya 1. Dalam konteks yang lebih spesifik, jalan untuk membantu mangsa banjir bukan hanya 1, kita pilihlah jalan yang dalam kemampuan kita. 

.

Nabi s.a.w pernah bersabda:

.

عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ صَدَقَةٌ ‏”‌‏.‏ فَقَالُوا يَا نَبِيَّ اللَّهِ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ

Setiap Muslim hendaklah memberikan sedekah. Para sahabat bertanya: Wahai Nabi Allah, bagaimana pula dengan orang yang tidak ada apa-apa (untuk bersedekah)?

.

 قَالَ ‏”‏ يَعْمَلُ بِيَدِهِ فَيَنْفَعُ نَفْسَهُ وَيَتَصَدَّقُ ‏”‌‏.

Baginda menjawab: Dia hendaklah bekerja dengan tangannya agar dapat memberikan manfaat kepada dirinya, dan dia dapat bersedekah.

.

‏ قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ قَالَ ‏”‏ يُعِينُ ذَا الْحَاجَةِ الْمَلْهُوفَ ‏”‌‏.

Para sahabat bertanya: Bagaimana jika dia tidak ada apa-apa jua (untuk disedekahkan)? Baginda menjawab: Dia hendaklah membantu orang yang memerlukan.

 

 

قَالُوا فَإِنْ لَمْ يَجِدْ‏.‏ قَالَ ‏”‏ فَلْيَعْمَلْ بِالْمَعْرُوفِ، وَلْيُمْسِكْ عَنِ الشَّرِّ فَإِنَّهَا لَهُ صَدَقَةٌ ‏”‌‏.‏

Para sahabat bertanya lagi: Bagaimana jika dia tak mampu jua? Baginda menjawab: Hendaklah dia melakukan kebaikan, dan menahan dirinya daripada kejahatan. Sesungguhnya itulah sedekahnya. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Zakat, no: 1445].

.

Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa pintu kebaikan sangat banyak untuk kita, sesuai dengan perbezaan kemampuan setiap manusia.

.

Imam Malik berkata:

.

إن الله عز وجل قسم الأعمال كما قسم الأرزاق 

Sesungguhnya Allah telah membahagi-bahagikan amalan sebagaimana Dia membahagikan rezeki. [Ibn Abdil Barr, At-Tamhid, 7:185]

.

Pintu kebaikan ketika musim banjir ini sangat banyak. Membantu dengan harta benda, fizikal, doa, menyebarkan poster-poster untuk sumbangan banjir, memberikan motivasi kepada mangsa, dan semisalnya.

 

Jika masih tak mampu melakukan semua itu. Tinggal satu yang berbaki. JANGAN buat kejahatan. Jangan jadi penyebar aib rumah tangga orang, jangan jadi pengutip derma yang guna wang derma untuk kepentingan diri, jangan jadi pemimpin yang menyusahkan rakyat, jangan jadi orang yang halang orang lain buat kebaikan, jangan jadi peminta dan pemberi rasuah, jangan jadi manusia yang leka dengan benda-benda lalai ketika musibah menimpa, jangan buat perkara yang menyusahkan orang, jangan tinggal solat, jangan buka aurat, dan 1001 dosa lagi.

.

Nasihat sebelum tidur. Jika terdetik esok untuk melakukan kejahatan di kala musibah sedang menimpa. Renungilah kata-kata ini:

.

عَنِ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ الْأَنْصَارِيِّ، ” أَنَّهُ قَالَ وَهُوَ يَخْطُبُ النَّاسَ فِي حِمْصٍ: إِنَّ الْهَلَكَةَ كُلَّ الْهَلَكَةِ أَنْ تَعْمَلَ السَّيِّئَاتِ فِي زَمَانِ الْبَلَاءِ “

Al-Nu’man bin Bashir al-Ansori ketika berkhutbah di Homs berkata: Sesungguhnya seteruk-teruk kemusnahan ialah engkau melakukan dosa-dosa di zaman musibah”.

[Abu Bakar Abdullah bin Muhammad Ibn Abi Al-Dunya, Al-Uquubaat, ed. Muhammad Khair Ramadhan Yusuf, (Beirut: Dar Ibn Hazm, 1996m), 209].

 


Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli 

Back To Top