Abdullah bin Mas’ud r.a pernah berkata:
.وَمَا مِنْكُمْ إِلَّا وَلَهُ مَسْجِدٌ فِي بَيْتِهِ، وَلَوْ صَلَّيْتُمْ فِي بُيُوتِكُمْ، كَمَا يُصَلِّي هَذَا الْمُتَخَلِّفُ فِي بَيْتِهِ، لَتَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ، وَلَوْ تَرَكْتُمْ سُنَّةَ نَبِيِّكُمْ لَضَلَلْتُمْ،
Setiap daripada kamu mempunyai masjid di rumahnya. Jika kamu solat di rumah kamu sebagaimana solatnya orang yang tidak ke masjid ini di rumahnya, nescaya kamu akan meninggalkan sunnah nabi kamu. Jika kamu meninggalkan sunnah nabi kamu, nescaya kamu akan sesat. [Musnad Ahmad, no: 3623].
Daripada ‘Itban radiallahu ‘anhu (beliau seorang buta), beliau berkata:
يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ السُّيُولَ تَحُولُ بَيْنِي وَبَيْنَ مَسْجِدِ قَوْمِي فَأُحِبُّ أَنْ تَأْتِيَنِي فَتُصَلِّيَ فِي مَكَانٍ فِي بَيْتِي أَتَّخِذُهُ مَسْجِدًا،
Wahai Rasulullah, sesungguhnya air banjir berada di antara tempat saya dan masjid kaum saya. Saya suka jika kamu datang ke tempat saya, dan solat di satu tempat di dalam rumah saya yang saya mahu jadikannya sebagai masjid.
فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” سَنَفْعَلُ “، قَالَ: فَلَمَّا أَصْبَحَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَدَا عَلَى أَبِي بَكْرٍ فَاسْتَتْبَعَهُ، فَلَمَّا دَخَلَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: ” أَيْنَ تُرِيدُ؟ “، فَأَشَرْتُ لَهُ إِلَى نَاحِيَةٍ مِنَ الْبَيْتِ، فَقَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصُفِفْنَا خَلْفَهُ، فَصَلَّى بِنَا رَكْعَتَيْنِ
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam pun menjawab: Kami akan datang. Pada pagi keesokannya, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam meminta Abu Bakar mengikuti baginda. Apabila baginda masuk (ke rumah ‘Itban), baginda bertanya: Di mana kamu mahu (kami solat)?. Beliau memberikan isyarat kepada satu sudut di rumahnya. Lalu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat, dan kami membuat saf di belakang baginda. Baginda mengimami kami solat dua rakaat. [Musnad Ahmad, no: 16482].
Ini menunjukkan kewujudan ‘masjid’ di dalam rumah seseorang.
Apakah fungsi masjid di dalam rumah?
Ia adalah sebagai tempat khusus solat dan ibadah di rumah, khususnya solat sunat atau apabila kita tidak dapat menunaikan solat fardhu di masjid.
Daripada Zaid bin Tsabit radhiallahu’ anhu yang menyebutkan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
«فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاَةِ صَلاَةُ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةَ.«
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali solat fardu”. [Sahih Al-Bukhari, Kitab Al-‘I’tisom, hadis no: 7290].
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ “ اجْعَلُوا فِي بُيُوتِكُمْ مِنْ صَلاَتِكُمْ، وَلاَ تَتَّخِذُوهَا قُبُورًا ”.
Daripada Ibnu ‘Umar, Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jadikanlah sebahagian daripada solat kamu di rumah kamu, jangan jadikan rumah kamu sebagai kubur”. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Solat, hadis no: 432].
Berbeza dengan kaum lelaki, wanita tidak diberatkan untuk pergi menunaikan solat jemaah fardhu 5 waktu di masjid, sebaliknya solat di rumah lebih baik untuk mereka.
عَنِ ابْنِ عُمَرَ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «لاَ تَمْنَعُوا نِسَاءَكُمُ الْمَسَاجِدَ وَبُيُوتُهُنَّ خَيْرٌ لَهُنَّ».
Maksudnya: Daripada Ibnu ‘Umar radiallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: “Janganlah kalian menghalang wanita kalian daripada pergi ke masjid. Akan tetapi rumah mereka lebih baik untuk mereka”. [Sunan Abi Daud, Kitab As-Solat, Bab Ma Jaa Fi Khuruj An-Nisa’ Ila Al-Masjid, hadis no: 567].
Oleh itu, marilah kita semua sediakan satu ruangan khas untuk solat di rumah kita, di mana kita akan solat di situ. Tidak semestinya bilik yang khas. Cukup dikhususkan satu ruang yang sesuai di dalam rumah kita, di mana kita akan solat di situ.
Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli