skip to Main Content

 

Melihat ramai imam membaca al-Fātiḥah semasa berdoa selepas solat, saya tertanya-tanya dari manakah amalan ini datang. Adakah ia berpunca daripada hadis, athar, atau amalan ulama? Saya tidak tahu dan gagal menemui jawapannya. Namun, terdapat fatwa yang dikeluarkan oleh Dā’irah al-Iftā’ Jordan yang saya kira menyentuh perkara ini dapat membantu memberikan jawapan.

Menjawab soalan “adakah harus kita membaca al-Fātiḥah dan mengatakan selepas berdoa, ‘dengan niat agar dimakbulkan dan dengan rahsia surah al-Fātiḥah’,” fatwa itu mengatakan, “membaca al-Fātiḥah – selepas doa dan sebelumnya – dengan niat tawassul supaya dimustajabkan doa adalah amalan yang disyariatkan dan tiada masalah,” dengan alasan ia adalah tawassul dengan al-Quran al-Karīm yang merupakan sifat Allah dan tawassul dengan membaca al-Fātiḥah yang merupakan amalan soleh.

Kiranya tiada riwayat daripada sunnah berhubung perkara ini dan demikianlah yang dijazamkan oleh ulama-ulama aliran Salafī. Kata Syeikh Muḥammad b. Ṣāliḥ al-‘Uthaymīn, “membaca al-Fātiḥah di permulaan doa dan di akhir doa termasuk dalam bidaah, kerana tidak datang daripada Nabi SAW riwayat mengatakan baginda membuka doa dengan membaca al-Fātiḥah atau menutup doa dengan al-Fātiḥah. Setiap amalan yang dilakukan sebagai ibadat yang tidak datang daripada Nabi SAW maka mengada-adakannya adalah bidaah.”

Begitulah lazimnya yang berlaku apabila sesuatu amalan itu tidak mempunyai sandaran daripada sunnah. Sebahagian ulama menggalakkan atas dasar tiada larangan dan mengaitkannya dengan amalan-amalan tertentu dan dalil-dalil umum, manakala sebahagian lagi melarang atas dasar ibadat bersifat tawqīfī dan tidak ada nas yang menganjurkannya secara khusus.

 

 

Manhaj yang menolak amalan-amalan yang tidak ada dalil mengkhususinya bukanlah manhaj yang salah, tidak seperti yang digembar-gemburkan di sekeliling kita pada hari ini. Dalam kitab-kitab majoriti aliran yang menisbahkan diri kepada Ahl al-Sunnah wa-al-Jamā‘ah, kita akan mendapati banyak amalan yang tiada dalil yang melarang ditolak oleh sebahagian ulama muktabar di sisi aliran masing-masing.

Yang terbaru saya jumpa ialah amalan membaca al-Fātiḥah ketika hendak bersurai atau keluar dari majlis. Syeikh ‘Abd al-Raḥmān al-Tājūrī al-Mālikī apabila diminta membaca al-Fātiḥah ketika hendak pergi, mengatakan “perkara ini tidak datang daripada satu riwayat pun daripada Nabi SAW.” Cerita ini sampai kepada al-Sha‘rānī lalu katanya, “perkara ini mudah. Kalau dia membaca al-Fātiḥah pun Allah tidak akan menghukumnya kerana perkara itu.”

Kemudian, al-Sha‘rānī bermimpi berjumpa Nabi SAW. Kata baginda, “hendaklah kamu melihat pendapat-pendapat imam negeri hijrahku dan berhenti di sisinya, kerana dia menyaksikan kesan peninggalanku.” Kata al-Sha‘rānī, “maka aku tahu bahawa tawaqqufnya Sīdī ‘Abd al-Raḥmān daripada membaca kerana tidak satu riwayat pun mengenainya lebih afdal daripada mengada-adakan, walaupun ia dianggap baik oleh ulama.”

Kata ulama yang digelar al-Quṭb al-Rabbānī itu, “dan mimpi ini seperti keramat untuk Syeikh ‘Abd al-Raḥmān, kerana baginda membelanya ke atasku.” Demikian sebagaimana yang dinukilkan oleh Syeikh Sīdī al-Mahdī al-Wazzānī (1342 H) dalam al-Mi‘yār al-Jadīd daripada Lawāqiḥ al-Anwār al-Qudsiyyah fī Manāqib al-‘Ulamā’ wa-al-Ṣūfiyyah oleh al-Sha‘rānī, namun saya tidak menemuinya di dalam kitab itu.


Sumber : Ust. Muhammad Izzat Al-Kutawi

Back To Top