skip to Main Content

 

Salah Faham

Terdapat golongan tertentu yang mengkafirkan pemerintah kerana didakwa tidak berhukum dengan hukum Allah SWT, lalu bertindak menghalalkan darah dan mengisytiharkan perang ke atas mereka. Bagaimanakah pendirian kita terhadap pemikiran sebegini?

 

Pencerahan

Pada hakikatnya, kita tidak mengetahui alasan lain yang digunakan oleh golongan yang memerangi pemerintah kecuali dengan mendakwa pemerintah telah kafir dalam erti terkeluar daripada Islam. Punca terkeluar daripada Islam pula adalah kerana tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. Bagi menjawab persoalan ini, dua perkara yang perlu dijelaskan adalah seperti:

  • Siapakah yang dimaksudkan dengan pemerintah Muslim
  • Apakah sandaran yang digunakan untuk mengkafirkan pemerintah Muslim

 

Pertama, pemerintah Muslim adalah orang yang tidak melakukan kekufuran yang nyata atau menyeru kepadanya. Selagi mana dia tidak melakukan sedemikian, maka dia berhak untuk mendapat ketaatan daripada rakyatnya. Begitu juga nasihat daripada ahli ilmu dan golongan pakar. Dia juga berhak mendapat hak-haknya berdasarkan undang-undang atau perlembagaan sesebuah negara sebagaimana yang telah dipersetujui bersama oleh pemerintah dan rakyat.

Banyak nas syarak yang menjelaskan kewajipan mentaati pemerintah dan larangan memerangi mereka. Antaranya adalah hadith-hadith berikut:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

Riwayat al-Bukhari (7144)

Hadith di atas jelas menunjukkan, jika seseorang pemerintah itu menyuruh kepada kemaksiatan sekalipun, rakyat masih tidak dibenarkan untuk memerangi mereka. Tetapi cukup dengan tidak mentaati perintah tersebut. Ini sebagaimana dalam hadith yang lain, Baginda SAW bersabda:

خِيَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُحِبُّونَهُمْ وَيُحِبُّونَكُمْ، وَيُصَلُّونَ عَلَيْكُمْ وَتُصَلُّونَ عَلَيْهِمْ، وَشِرَارُ أَئِمَّتِكُمُ الَّذِينَ تُبْغِضُونَهُمْ وَيُبْغِضُونَكُمْ، وَتَلْعَنُونَهُمْ وَيَلْعَنُونَكُمْ»، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللهِ، أَفَلَا نُنَابِذُهُمْ بِالسَّيْفِ؟ فَقَالَ: «لَا، مَا أَقَامُوا فِيكُمُ الصَّلَاةَ، وَإِذَا رَأَيْتُمْ مِنْ وُلَاتِكُمْ شَيْئًا تَكْرَهُونَهُ، فَاكْرَهُوا عَمَلَهُ، وَلَا تَنْزِعُوا يَدًا مِنْ طَاعَةٍ

Maksudnya: “Sebaik-baik pemimpin kamu adalah mereka yang kamu cintai dan mereka meyintai kamu, mereka mendoakan kamu dan kamu mendoakan mereka. Manakala seburuk-buruk pemimpin adalah mereka yang kamu benci dan mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka dan mereka melaknat kamu. Lalu baginda ditanya: Wahai Rasulullah! Tidakkah kita boleh memerangi mereka dengan pedang? Baginda bersabda: Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat bersama kamu. Jika kamu melihat sesuatu yang kamu benci daripada pemimpin kamu, maka bencilah perbuatannya, dan jangan meninggalkan ketaatan (kepadanya).”

Riwayat Muslim (65)

 

 

Bahkan sememangnya Rasulullah SAW telah memberikan perkhabaran agar umat Islam bersiap sedia untuk menerima pelbagai ragam pemerintah. Termasuk mereka yang zalim dan bergelumang melakukan maksiat. Sabda Rasulullah SAW:

يَكُونُ بَعْدِي أَئِمَّةٌ لَا يَهْتَدُونَ بِهُدَايَ، وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي، وَسَيَقُومُ فِيهِمْ رِجَالٌ قُلُوبُهُمْ قُلُوبُ الشَّيَاطِينِ فِي جُثْمَانِ إِنْسٍ»، قَالَ: قُلْتُ: كَيْفَ أَصْنَعُ يَا رَسُولَ اللهِ، إِنْ أَدْرَكْتُ ذَلِكَ؟ قَالَ: «تَسْمَعُ وَتُطِيعُ لِلْأَمِيرِ، وَإِنْ ضُرِبَ ظَهْرُكَ، وَأُخِذَ مَالُكَ، فَاسْمَعْ وَأَطِعْ.

 Maksudnya: “Akan datang selepasku, para pemimpin yang tidak mengambil petunjuk dengan petunjukku, tidak mengambil sunnah dengan sunnahku. Akan ada kalangan mereka pemerintah-pemerintah yang hati mereka bagaikan hati para syaitan dalam jasad seorang manusia. Dia (Huzaifah bin al-Yaman) bertanya: Bagaimana aku perlu lakukan jika aku sempat melalui demikian itu wahai Rasulullah? Baginda bersabda: Dengar dan taat kepada pemerintah walaupun dipukul belakangmu dan dirampas hartamu, maka dengarlah dan taatlah.

Riwayat Muslim (52)

Dalam menjelaskan hadith-hadith di atas, al-Nawawi mengatakan perbuatan memberontak terhadap pemerintah itu haram secara ijmak. Walaupun mereka terdiri dari kalangan golongan yang fasiq lagi zalim. Bahkan Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah ijmak bahawa seseorang pemerintah tidak boleh dilucutkan dengan sebab kefasiqan. Al-Nawawi menolak pendapat sesetengah para ulama fiqh yang mengatakan pemerintah boleh dijatuhkan bahkan menganggap ia pendapat yang silap dan menyalahi ijmak. Beliau menegaskan pengharaman tersebut berdasarkan akibat terhadap perbuatan tersebut yang boleh membawa kepada fitnah, pertumpahan darah dan perpecahan sehingga mudaratnya menjadi lebih besar berbanding kekalnya mereka di tampuk pemerintahan. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 12/229)

Ini menunjukkan bagaimana Syarak melihat kepada fiqh implikasi atau risiko daripada perbuatan memberontak dan memerangi pemerintah. Ketiadaan pemerintah akan menjadikan negara huru hara tanpa sistem. Ini bukan bermakna kita mengatakan pemerintah boleh melakukan apa sahaja mengikut hawa nafsunya, bahkan pemerintah itu sendiri hendaklah terikat dengan sistem pengawalan berdasarkan institusi keadilan dan penguatkuasaan sedia ada.

Adapun hujah akalnya, ia bermaksud untuk mengelakkan fitnah dan menjamin keamanan rakyat. Hujah ini berdalilkan hadith ‘Ubadah bin al-Samit R.A:

أَنْ بَايَعَنَا عَلَى السَّمْعِ وَالطَّاعَةِ، فِي مَنْشَطِنَا وَمَكْرَهِنَا، وَعُسْرِنَا وَيُسْرِنَا وَأَثَرَةً عَلَيْنَا، وَأَنْ لاَ نُنَازِعَ الأَمْرَ أَهْلَهُ، إِلَّا أَنْ تَرَوْا كُفْرًا بَوَاحًا، عِنْدَكُمْ مِنَ اللَّهِ فِيهِ بُرْهَانٌ

Maksudnya: “Di antara baiat yang Baginda ambil daripada kami adalah kami berbai’at untuk mendengar dan taat, baik saat semangat atau lesu, sulit atau lapang dan mengalahkan kepentingan kami serta tidak menggulingkan pemerintahan daripada pemiliknya. Baginda berkata, ‘Kecuali jika kalian melihat kekufuran yang jelas telah kalian dapat buktinya dari Allah SWT.”

Riwayat al-Bukhari (7056)

Demikian Rasulullah SAW daripada awal cuba memadamkan bibit-bibit kemunculan kumpulan pelampau sebegini yang pada hari ini didalangi oleh kumpulan pengganas antarabangsa. Mereka ini sentiasa mencari-cari peluang untuk meniupkan fitnah ke dalam penganut agama ini agar melakukan tindakan yang di luar batas agama dan kemanusiaan.

 

Kedua, golongan tersebut menyandarkan hujah kekufuran para pemerintah adalah berpunca daripada tindakan mereka yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT. Ia berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَن لَّمْ يَحْكُم بِمَا أَنزَلَ اللَّـهُ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir.”

(Surah al-Ma’idah: 44)

Hujah mereka ini adalah batil berasaskan dua sebab berikut:

Pertama, pengkafiran tersebut dilakukan secara mutlak tanpa mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan kekufuran. Ia juga dilakukan tanpa melihat sama ada ia bertepatan dengan Maqasid Syariah ataupun tidak. Maka segala hukum yang ditetapkan oleh golongan ini dilakukan tanpa ilmu dan penyelidikan. Mereka terjebak dalam mengkafirkan sesuatu perbuatan yang hanya menyalahi keutamaan (khilaf awla), atau pendapat yang tidak kuat (ra’yun marjuh) yang dipilih disebabkan oleh maslahah tertentu yang tidak difahami oleh mereka. Sedangkan dengan maslahah tersebut mungkin menjadikan pendapat yang marjuh itu rajih dan pendapat yang rajih itu marjuh, tertakluk kepada perubahan masa, tempat dan situasi.

Bagi mereka, hanya dengan berhukum dengan hukuman yang menyalahi syariat Allah SWT, maka ia dihukumkan kafir. Padahal maksud ayat tersebut tidak boleh difahami secara literal dan simplistik sedemikian. Seseorang yang beriktikad bahawa hukum Islam adalah yang terbaik, namun disebabkan situasi dan keadaan yang tidak mengizinkan, memaksa ia berhukum dengan selainnya, maka ini tidak menjadikan ia kafir. Sebagaimana situasi darurat boleh berlaku kepada individu, demikian juga darurat boleh berlaku kepada sesebuah kerajaan yang memerintah.

Kedua, dalam membahaskan surah al-Ma’idah ayat 44 di atas, ia perlu dirujuk kepada perbahasan ulama dan tidak boleh difahami secara literal. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Ibn ‘Abbas:

وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir.” (Surah al-Ma’idah :44), bukannya kekafiran pada Allah, para malaikat, kitab-kitab, dan para rasul“. (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355)

Riwayat lain dari beliau tentang ayat ini:

لَيْسَ بِالْكُفْرِ الَّذِي يَذْهَبُونَ إِلَيْهِ إِنَّهُ لَيْسَ كُفْرًا يَنْقِلُ عَنِ الْمِلَّةِ {وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَئِكَ هُمُ الْكَافِرُونَ} [المائدة: 44] كُفْرٌ دُونَ كُفْرٍ “

Maksudnya: “Itu bukan kekafiran yang mereka fahami, itu bukan kekafiran yang mengeluarkan dari Islam, kekafiran yang bukan kekafiran (akbar)”. (Lihat al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain, 2/342 (No. 3219).

 

 

Ibn Kathir menukilkan dalam Tafsirnya dari al-Hakim, bahawa beliau berkata: “Sahih memenuhi syarat Syaikhain“. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/109)

Pada riwayat lain dari beliau, melalui riwayat ‘Ali bin Abi Thalhah dari Ibn ‘Abbas, berkata: “Siapa yang menentang apa yang diturunkan Allah maka dia telah kafir, sedangkan siapa yang mengakuinya tetapi tidak berhukum dengannya maka dia zalim lagi fasiq“. (Lihat Tafsir al-Tabari, 10/355)

Menurut al-Syanqiti, para ulama berkhilaf mengenai kepada siapakah ayat ini ditujukan. Adakah ditujukan kepada orang Islam atau orang kafir? Diriwayatkan daripada al-Sya’bi ia diturunkan kepada orang Islam. Daripada beliau juga terdapat riwayat ia diturunkan kepada Yahudi. Daripada Tawus pula meriwayatkan ia diturunkan kepada orang Islam. Tetapi yang dimaksudkan dengan kufur bukan kufur yang mengeluarkan daripada Islam. Demikian juga seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abbas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407)

Al-Qurtubi berpandangan semua ayat 44, 45 dan 47 dari surah al-Ma’idah turun kepada orang kafir. Ini sebagaimana yang sabit dalam hadith al-Bara’ yang diriwayatkan oleh Muslim. Adapun orang Islam, maka ia tidak menjadi kafir walaupun melakukan dosa besar. Dikatakan pada ayat tersebut diandaikan; sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah kerana menolak al-Qur’an, dan membantah kata-kata Rasulullah SAW, maka ia kafir. Ini pendapat yang dikemukakan oleh Ibn ‘Abbas dan Mujahid. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/190)

Menurut Ibn Mas’ud dan al-Hasan, ayat tersebut turun secara umum ke atas setiap orang yang tidak berhukum dengan hukum Allah sama ada orang Islam, Yahudi dan golongan kafir yang lain, yakni disertai dengan iktikad dan mengharuskannya. Adapun mana-mana orang Islam yang melakukannya tetapi kekal beriktikad akan keharamannya, maka ia termasuk dalam kalangan orang yang fasiq. Mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT sama ada diazab atau diampunkan. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 6/190)

Secara kesimpulannya, al-Syanqiti menyimpulkan, ketiga-tiga ungkapan iaitu kufur, zalim dan fasiq dilafazkan oleh syarak dengan membawa dua maksud. Adakala ia memberi maksud maksiat dan di tempat lain ia memberi maksud kufur yang terkeluar daripada Islam. (Lihat Adhwa’ al-Bayan fi Idhah al-Qur’an bi al-Qur’an, 407)

  

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, jelas menunjukkan tidak boleh sama sekali sewenang-wenangnya mengkafirkan pemerintah secara semberono. Apatah lagi untuk menghukum darah mereka halal hingga boleh dibunuh. Ini berdasarkan dalil-dalil yang jelas melarang kita daripada memerangi pemerintah hanya disebabkan kefasiqan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh mereka. Demikian juga, nas-nas al-Qur’an yang menyebutkan tentang kekafiran golongan yang tidak berhukum dengan hukum Allah SWT tidak boleh diambil secara literal tetapi mestilah difahami dalam konteksnya sebagaimana yang telah dijelaskan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefahaman Islam yang benar dan menjauhkan kita daripada sikap melampau dan ekstrem yang meruntuhkan agama. Wallahu a’lam.

Back To Top