Apabila ada di kalangan muslim yang menegur perbuatan sebahagian maksiat yang disebarkan atau dinormalisasikan dalam khalayak akan ada yang akan terasa dengan menjawab: ” Kamu jangan rasa kamu itu baik sangat!”, “. ” Macamlah kamu tidak pernah buat! “, ” Kamu jangan rasa kamu suci!”. Mereka menjadikan maksiat itu sebagai perkara normal dan dianggap baik dan mulia manakala orang yang menegur itu pada kedudukan yang jahat dan hina.
Semoga Allah menjauhkan dan selamatkan kita dari mereka yang ucapan dan tutur katanya persis seperti ucapan kaum Luth ke atas Nabi mereka dan orang-orang yang beriman :
فَما كانَ جَوابَ قَومِهِ إِلّا أَن قالوا أَخرِجوا ءالَ لوطٍ مِن قَريَتِكُم ۖ إِنَّهُم أُناسٌ يَتَطَهَّرونَ
Maka kaumnya tidak menjawab selain dari berkata: usirlah Luth dan pengikut-pengikutnya dari bandar kamu ini; sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mendakwakan dirinya BERSIH SUCI.
[ An-Naml:56 ]
Kata Qatadah:
عابوهم بغير عيب وذمُّوهم بغير ذَمّ
” Kaum Luth mengaibkan mereka (Nabi dan orang beriman) pada perkara yang bukan menjadi keaiban (iaitu nasihat dan teguran terhadap maksiat) dan mencela mereka pada perkara yang bukan celaan. [ Tafsir Al-Tabari ]
Ulama Tafsir juga menjelaskan maksud perkataan kaum Luth itu adalah untuk memperlekehkan dan merendah-rendahkan Nabi Luth dan orang-orang beriman.
Kata Imam Al-Si’di rahimahullah:
أي: يتنزهون عن اللواط وأدبار الذكور. فقبحهم الله جعلوا أفضل الحسنات بمنزلة أقبح السيئات، ولم يكتفوا بمعصيتهم لنبيهم فيما وعظهم به حتى وصلوا إلى إخراجه، والبلاء موكل بالمنطق فهم
{ أَخْرِجُوهُمْ مِنْ قَرْيَتِكُمْ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ْ}
ومفهوم هذا الكلام: ” وأنتم متلوثون بالخبث والقذارة المقتضي لنزول
العقوبة بقريتكم ونجاة من خرج منها
Iaitu mereka mendakwa Nabi Luth dan orang beriman bersih daripada perbuatan Liwat orang-orang lelaki. Semoga Allah menghodohkan mereka, mereka menjadikan sebaik-baik kebaikan pada kedudukan seburuk-buruk keburukan, mereka tidak hanya bermaksiat kepada Nabi mereka (dengan pengingkaran dan ejekan) terhadap nasihat teguran Nabi mereka bahkan mereka sampai tahap menghalaunya, bala’ (bencana) diwakilkan (turun disebabkan) perkataan mereka (( Usirlah Luth dan pengikutnya dari bandar ini sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwa dirinya BERSIH SUCI ))
Mafhum (mukhalafah) perkataan ini: ” Kamulah yang sebenarnya menodai diri kamu dengan kekejian dan kekotoran yang menuntut turunnya hukuman ke atas tempatmu dan keselamatan akan diberikan kepada mereka yang keluar darinya”
[ Rujuk Taysir Al-Karim Al-Rahman ]
Semoga Allah menjauhkan kita dan masyarakat kita dari menyerupai ucapan golongan yang dimurkai oleh Allah SWT ini.
Sumber : Ust. Mohd Fashan