skip to Main Content

Dari Umar bin al-Khaththab radhiyallahu ‘anhu, ia berkata: 

Bersabda Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam (terjemahannya berbunyi…), 

“Tatkala Adam melakukan kesalahan, dia berkata: “Yaa Rabb, aku memohon kepada-Mu DENGAN HAQ MUHAMMAD agar Engkau mengampuniku.” 

Lalu berfirman Allah – dan Allah Maha mengetahui dan Yang mengajarkan kita- : “Wahai Adam, bagaimana kamu mengenal Muhammad sedang Aku belum menciptakannya (sebagai manusia) ?” 

Adam menjawab: “Yaa Rabb, tatkala Engkau menciptakanku dengan Tangan-Mu dan meniupkan ruh-Mu ke dalam diriku, maka Engkau Mengangkat kepalaku, lalu aku melihat di atas KAKI-KAKI ARSY TERTULIS  ‘Laa Ilaaha illallaah MUHAMMADUR RASULULLAH’ sehingga aku tahu bahwa Engkau tidak menambahkan ke dalam Nama-Mu kecuali MAKHLUK YANG PALING ENGKAU CINTAI.” 

Lalu Allah Berfirman: “Benar engkau wahai Adam, sesungguhnya Muhammad adalah MAKHLUK YANG PALING AKU CINTAI, BERDOALAH KEPADAKU DENGAN HAQ DIA, maka sungguh Aku Mengampunimu. SEKIRANYA TIDAK ADA MUHAMMAD, MAKA AKU TIDAK MENCIPTAKANMU.” 

[HR. Al-Hakim dalam Al-Mustadrak no.4228, dan beliau mengatakan shahih. Juga Al-Baihaqi R.A dalam Dalailun Nubuwwah V:488-489]

Jawapan:

Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Thabarani dalam Al-Mu’jam Al-Saghir (992), Al-Mu’jam Al-Awsath (6502), beliau berkata: Muhammad bin Daud al-Misriy telah menyampaikan kepada kami, Ahmad bin Sa’id al-Madaniy al-Fihriy telah menyampaikan kepada kami, ‘Abdullah bin Ismail al-Madaniy telah menyampaikan kepada kami, daripada ‘Abdullah bin Zaid bin Aslam, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada Umar al-Khattab.

Hadis ini jua diriwayatkan oleh Al-Hakim dalam Al-Mustadrak (4228), beliau berkata: Abu ‘Said ‘Amru bin Muhammad bin Mansur menyampaikan kepada kami, Abu al-Hasan Muhammad bin Ishaq bin Ibrahim al-Hanzoliy menyampaikan kepada kami, Abu al-Harits ‘Abdullah bin Muslim al-Fihriy menyampaikan kepada kami, Ismail bin Maslamah menyampaikan kepada kami, daripada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam, seperti sanad sebelumnya. Al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah (2251) meriwayatkan dengan sanad al-Hakim.

Madar hadis ini adalah pada Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam. Para ulama hadis mendhaifkannya.

Kata Imam Ahmad: Dhaif.

Yahya bin Ma’in berkata: Laisa Hadisuhu bi syai’, dhaif.

Abu Hatim berkata: Hadisnya tidak kuat. Dirinya orang yang soleh akan tetapi hadisnya lemah.

Ali al-Madini sangat mendhaifkannya.

Abu Zur’ah: Dhaif al-Hadis.

Ibnu Hibban: Dia menunggangterbalikkan riwayat dalam keadaan dia tidak tahu sehingga menjadi banyak riwayat yang mursal, mauquf yang dia marfu’kan. Dia berhak ditinggalkan.

Oleh itu sungguh menghairankan perkataan Imam al-Hakim selepas meriwayatkan hadis ini, beliau berkata:

هذا حديث صحيح الإسناد و هو أول حديث ذكرته لعبد الرحمن بن زيد بن أسلم في هذا الكتاب 

Hadis ini sahih isnadnya, ia merupakan hadis pertama Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam yang saya sebutkan di dalam kitab ini.

Ini kerana Imam al-Hakim sendiri dalam kitabnya Al-Madkhal Ila Al-Sahih menyebutkan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam dalam senarai kalangan pendusta. Beliau menyebutkan:

 عبد الرحمن بن زيد بن أسلم روى عن أبيه أحاديث موضوعة لا يخفى على من تأملها من أهل الصنعة أن الحمل فيها عليه 

Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada ayahnya hadis-hadis palsu. Tidaklah tersembunyi daripada sesiapa yang mengkajinya daripada ahli ilmu bahawa beliau adalah yang bertanggungjawab atas pemalsuan hadis ini. [Al-Madkhal Ila al-Sahih, 154].

Al-Hafiz Ibnu Hajar mengkritik pensahihan Imam Al-Hakim ke atas hadis ini.

ومن العجيب ما وقع للحاكم أنه أخرج لعبد الرحمن بن زيد بن أسلم. وقال بعد روايته : “هذا صحيح الإسناد، وهو أول حديث ذكرته لعبد الرحمن”. مع أنه قال في كتابه الذي جمعه في الضعفاء : “عبد الرحمن بن زيد بن أسلم روى عن أبيه أحاديث موضوعة لا يخفى على من تأملها من أهل الصنعة أن الحمل فيها عليه”.


Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top