skip to Main Content

“Koyak” (كُوْيَقْ) ialah carik, rabak, sobek.

Ia seperti baju yang koyak kerana terkait pada sebatang paku di dinding. Koyak rabak pula merujuk pada koyak-koyak yang panjang atau lebar. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

Seandainya ini merujuk kepada satu keadaan yang awalnya bersatu, kemudian bercerai berai tanpa boleh dicantumkan lagi, maka salah satu kalimah yang menghampiri makna itu dalam bahasa Arab ialah ma-za-qa (مَزَقَ) iaitu مزَق الثّوبَ ونحوَه :خرقَه وشقَّه.

Al-Quran ada menggunakan kalimah ini ketika menjelaskan kesudahan empayar kaum Saba’ yang dahulunya digeruni dan dilafazkan sendiri pimpinan mereka sebagai أُوْلُوا قُوَّةٍ وَأُوْلُوا بَأْسٍ شَدِيدٍ .

Firman Allah SWT :

وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ

Tafsir Pimpinan al-Rahman : “… Lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta Kami PECAH-BELAHKAN MEREKA BERKECAI-KECAI.” (Saba’, 34 : 19 )

Ayat penuhnya ialah :

وَجَعَلْنَا بَيْنَهُمْ وَبَيْنَ الْقُرَى الَّتِي بَارَكْنَا فِيهَا قُرًى ظَاهِرَةً وَقَدَّرْنَا فِيهَا السَّيْرَ سِيرُوا فِيهَا لَيَالِيَ وَأَيَّامًا آمِنِينَ

Dan – di antara tempat tinggal mereka (di negeri Yaman) dengan bandar-bandar (di daerah negeri Syam) yang Kami limpahkan berkat kepadanya (dengan kemakmuran), – Kami adakan beberapa buah bandar yang jelas kelihatan (kepada orang-orang yang melalui jalan itu), dan Kami tentukan jarak perjalanan di antaranya (sekadar yang dapat dijadikan tempat-tempat persinggahan), (serta dikatakan kepada mereka): ” Berjalanlah kamu di bandar-bandar itu pada bila-bila masa yang kamu suka, malam dan siang, dalam keadaan yang aman”. (Saba’, 34 : 18)

فَقَالُوا رَبَّنَا بَاعِدْ بَيْنَ أَسْفَارِنَا وَظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ فَجَعَلْنَاهُمْ أَحَادِيثَ وَمَزَّقْنَاهُمْ كُلَّ مُمَزَّقٍ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّكُلِّ صَبَّارٍ شَكُورٍ

(Maka kemakmuran dan kemudahan itu menjadikan mereka sombong dan kufur) lalu berkata: “Wahai Tuhan kami, jauhkanlah jarak perjalanan kami (di antara sebuah bandar dengan yang lain)”, dan mereka berlaku zalim kepada diri mereka sendiri; lalu Kami jadikan (kisah perbuatan derhaka) mereka: buah mulut orang ramai, serta Kami PECAH BELAHKAN MEREKA BERKECAI-KECAI. Sesungguhnya kisah mereka yang tersebut mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. (Saba’, 34 : 19)

 

 

Penulis tafsir al-Azhar, HAMKA ada menjelaskan nikmat yang dikurniakan Allah SWT pada penduduk Saba’ pada ayat 18 di atas. Dahulunya, musafir dari selatan ke utara semenanjung tanah Arab itu tidak wujud sebarang hentian berdekatan atau perbandaran yang boleh disinggahi. Namun, antara barakah yang Allah beri kepada pemerintah tanah suci Palestin waktu itu, Nabi Sulaiman عليه السلام ialah wujudnya kemajuan dan keamanan perjalanan para pedagang dengan wujudnya banyak bandar-bandar baru yang menjadi persinggahan mereka yang bermusafir.

Para pedagang tidak perlu berjalan berhari-hari, berpekan-pekan baru akan sampai ke tempat hentian. Sangat mudah pada waktu itu untuk menemui oasis atau lembah berair, yang ada kehidupan, peradaban dan manusia yang hidup mengembala haiwan ternakan.

Seseorang yang mahu bermusafir dari Yaman menuju ke Baitulmaqdis dan negeri yang diberkati sekitarnya iaitu tanah Syam, kini sudah nyata dalam fikiran mereka di mana mereka akan berhenti rehat, sudah dalam jangkauan kekuatan mereka bahawa nanti mereka akan bermalam di mana, esoknya di kampung mana, lusanya di mana, semuanya sudah jelas terancang. Malam atau siang mereka bermusafir, mereka tidak khuatir bahaya di tengah jalan kerana di setiap jalan adanya jaminan keamanan.

Namun, pada ayat 19, kaum Saba’ mula kufur nikmat, melakukan perangai yang sama dilakukan Bani Israil terhadap makanan al-Mann dan al-Salwa di tengah padang Tih. Penduduk Saba’ menjadi bosan dengan nikmat kemajuan dan keamanan sesama mereka. Setiap daerah sudah tidak mahu saling memberi kemudahan. Setiap kabilah lebih mengharapkan nikmat yang mereka perolehi di daerah masing-masing, hanya untuk dinikmati dan dimonopoli penduduk daerah sahaja, jangan dikongsikan atau diberitahu kepada orang asing yang datang singgah atau berdagang.

Lalu menjadilah 10 kabilah dalam negara Saba’ yang ditimpa penyakit kepuakan itu saling menjatuhkan sehingga setiap suku berpecah belah, berperang sesama sendiri dan berakhir dengan masing-masing membawa diri ke tempat lain, tiada perhubungan lagi antara satu sama lain. Inilah padah negara dikoyakrabakkan oleh Tuhan sendiri kerana kekufuran mereka.

Ibnu Asyur dalam tafsirnya, al-Tahrir wa al-Tanwir menjelaskan istilah “ma-za-qa” itu sebagai perumpamaan dari al-Quran kepada berpisahnya setiap kaum antara satu sama lain seumpama koyakan atau pisahan kain-kain dari satu pakaian, tidak boleh dijahit dan disatukan lagi sama sekali.

Bahkan Abu al-A’la al-Maududi dalam tafsirnya, Tafhim al-Quran menambah bahawa menjadi metafora yang kerap dalam pertuturan dan syair-syair Arab apabila mengungkapkan isu perpecahan, mereka akan mengaitkan dan membawa tamsilannya dengan apa yang menimpa bangsa Saba’.

Semoga Allah SWT MENGOYAK-NGOYAK negara haram regim Zionis itu atas kekufuran mereka pada ajaran asal Nabi Sulaiman AS, sifat ‘uluww dan fasad telah mereka telah lakukan dari dahulu hingga ke detik ini.

تَحْسَبُهُمْ جَمِيعًا وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لّا يَعْقِلُونَ

“…Engkau menyangka mereka bersatu padu, sedang hati mereka BERPECAH BELAH. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami.” (Al-Hasyr, 59 : 14)

Wallahu a’lam

 


Sumber : facebook Syaari Ab Rahman

Back To Top