skip to Main Content

 

Imam Fakhruddin al-Razi menghuraikan beberapa prinsip adab dan ta’dib berguru menerusi dialog Nabi Musa dan Kheider di dalam al-Quran, firman Allah Taala :

قالَ لَهُ موسىٰ هَل أَتَّبِعُكَ عَلىٰ أَن تُعَلِّمَنِ مِمّا عُلِّمتَ رُشدًا

Nabi Musa berkata kepadanya (Kheidir) :

” Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajarku dari apa yang telah diajarkan oleh Allah kepadamu, ilmu yang menjadi petunjuk bagiku ?”. Surah al-Kahfi (66).

Antara ringkasan tadabbur beliau :

1) Musa menganggap dirinya sebagai pengikut ilmu (هل أتبعك) kepada Kheidir.
2) Musa meminta izin Kheidir untuk menyandarkan keperguruan tersebut (المتابعة), ini adalah kemuncak sebuah tawadhuk.
3) Musa mengakui kejahilan pada dirinya, dan mengiktiraf keilmuan sang guru (على أن تعلمن).
4) Rendah diri Musa tatkala beliau berkata (مما علمت), bahawa dia hanya meminta diajarkan sebahagian dari ilmu yang telah diberikan Allah kepada Kheidir, tidak menunjukkan mahu setanding keseluruhan ilmu sang guru.
5) Kata Musa (مما علمت) juga adalah iktiraf bahawa Allah yang mengajarkan ilmu kepada Kheidir.
6) Menyifatkan ilmu yang mahu diwarisi itu adalah bersifat petunjuk (رشدا).
7) Musa menzahirkan kemahuan agar method ilmu yang beliau kehendaki itu seumpama cara bagaimana Allah mengurniakan nikmat ilmu kepada Kheidir.
8) Menyandarkan diri sebagai mengikut orang lain (هل أتبعك), menunjukkan adab pelajar untuk menyerahkan segalanya kepada sang guru ketika awal pengajian, tanpa gopoh membantah.
9) Musa akui dahulu bahawa dirinya hanyalah pengikut yang sedia berkhidmat (هل أتبعك), kemudian barulah memohon untuk belajar (أن تعلمن).
10) Musa tidak punya kepentingan lain disebalik menyandarkan keperguruan seperti mahukan termasuk harta dan kedudukan, melainkan hanya mahu menuntut ilmu.

Baba Nuha,

Ringkasan daripada nukilan Syaikh Muhammad ‘Awwamah di dalam kitab Adab al-Ikhtilaf di Masail al-‘Ilmi wa al-Din.

Sumber facebook : Mursyid Al-Amien


Back To Top