skip to Main Content

TAJUK: HIKMAH DI SEBALIK COVID-19

Khutbah Pertama

WAHAI AHLI KELUARGAKU YANG DIRAHMATI ALLAH,

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keampunan Allah.

Alhamdulillah segala puji bagi Allah, setelah sebulan kita berpuasa di bulan Ramadhan, hari ini 1 Syawal kita meraikan hari raya Aidilfitri sebagai tanda kemenangan, memuji dan mengagungkan kebesaran Allah S.W.T.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

Dalam kegembiraan kita merayakan Idul Fitri yang penuh keberkatan ini,  ketahuilah kita sebenarnya masih lagi diuji dengan wabak COVID-19 yang masih melanda negara.

Dalam Surah al-Mulk, Ayat 2, Allah mengingatkan bahawa setiap manusia pasti diuji untuk melihat kualiti amalan yang dikerjakannya.

Firman Allah:

Maksudnya:

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)”

AHLI KELUARGAKU YANG DIKASIHI,

Tindakan kerajaan menetapkan PKP dan PKPB adalah sebagai satu ikhtiar untuk membendung penularan COVID-19 yang lebih serius dalam masyarakat. Oleh itu hendaklah kita mematuhi setiap langkah yang disarankan oleh Kerajaan Malaysia bagi memastikan wabak ini dapat dibendung sepenuhnya.

Dalam sejarah Islam, tindakan seperti ini pernah direkodkan apabila pandemik penyakit pernah melanda Mekah, Iraq, Palestin dan Sham yang menyebabkan beberapa kawasan ditutup termasuklah masjid yang langsung tidak dapat didirikan solat berjemaah.

Namun selepas itu, keadaan kembali seperti biasa dan masyarakat dapat menjalankan kehidupan harian seperti sediakala.

Kita perlu ingat bahawa ujian ini menjadi rahmat kepada insan bersabar dan memberikan tindak balas yang betul dalam menghadapinya.

IBU AYAH, ABANG, KAKAK DAN ADIK-ADIK SEKALIAN (*boleh diubah mengikut kesesuaian)

 

Pandemik COVID-19 ini memberi ruang lebih besar kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ujian yang melanda ini merupakan satu hikmah bagi kita sekeluarga. Terdapat banyak hikmah yang boleh dijadikan teladan dan pengajaran;

Pertama: Hendaklah kita sentiasa menjaga kebersihan yang baik di kalangan keluarga sama ada di rumah ataupun luar rumah.

Kedua: PKP/PKPB juga memberi peluang kepada kita untuk memanfaatkan masa di rumah bersama keluarga dengan lebih bermakna. Kita dapat solat bertarawih berjemaah, berbuka puasa bersama-sama dan tolong menolong sesama kita.

Ketiga: Kita juga dalam menjalankan banyak aktiviti kekeluargaan yang lain secara bersama termasuklah belajar, membaca, menonton TV dan berbual bersama yang dapat merapatkan hubungan sesama kita.

AHLI KELUARGAKU YANG DISAYANGI,

Kita sudah hampir menang melawan wabak COVID-19, oleh itu hendaklah sama-sama kita terus membantu barisan hadapan negara dengan duduk di rumah dan selalu mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau bahan pencuci tangan (hand sanitizer).

Bermaksud : Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

 

Selepas habis khutbah pertama* khatib hendaklah duduk sebentar. Bagi khatib yang membaca khutbah dalam keadaan duduk hendaklah diam buat seketika

 

Khutbah Kedua

AHLI KELUARGAKU SEKALIAN,

“Marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketakwaan kita kehadrat Allah S.W.T, mudah-mudahan kita beroleh rahmat daripadaNYA.

Bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) : “(Tuhanku) ialah Allah yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapa pun yang serupa denganNya.

 

Marilah sama-sama kita menadah tangan dan berdoa;

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim”,

“Engkau ampunilah dosa-doa kami”,

“Engkau rahmatilah diri kami, keluarga kami, negara kami serta seluruh umat Islam di dunia”.

“Ya Allah selamatkan kami semua dari Corona Virus. Ya Allah selamatkan kami semua di dunia dan akhirat.”

“Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

“Engkau berilah kekuatan, kecekalan dan kesabaran kepada kami untuk menghadapi dugaan-Mu yang berat ini,

“Kami bermohon kepada-Mu Ya Allah “Lindungilah kami “Selamatkanlah kami “Sejahterakanlah hidup kami.”

Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

– TAMAT –

*Selesailah khutbah hari raya yang penuh bermakna ini.

 

Teks khutbah ini disediakan oleh Dr Basri Husin.

 

Back To Top