skip to Main Content

 

Nama sebenar beliau ialah Zubaidah binti Ja’far. Beliau adalah seorang permaisuri kepada pemerintah Kerajaan Abbasiyyah yang kelima iaitu Khalifah Harun Al-Rasyid.

Datuknya, Abu Ja’far Mansur membuat perancangan yang teliti untuk pendidikannya. Hanya guru dan ilmuwan yang layak dan berwibawa sahaja yang diambil untuk mengajar. Zubaidah juga adalah seorang pelajar yang bijak dan mempunyai kecerdasan yang tinggi.

Beliau tekun menuntut ilmu dan mempunyai ikatan yang sangat erat dengan Al-Quran dan Hadis. Beliau cemerlang dalam sastera Arab begitu juga bidang ilmu yang lain dalam masa yang sama mampu bersaing dengan ilmuwan lain yang sezaman dengannya.

Ketika zaman pemerintahan Harun Al-Rasyid, Empayar Abbasiyyah muncul sebagai zaman keemasan yang termaju di rantau itu. Sebagai seorang permaisuri, kehidupan Zubaidah juga dilimpahi kemewahan, namun beliau juga hanya seorang wanita Islam seperti yang lain. Kemewahan yang dimiliki digunakan ke jalan kebaikan.

Dikatakan bahawa beliau akan mengupah seratus orang hamba wanita yang akan mengalunkan bacaan Al-Quran berterusan dan suara bacaan mereka akan bergema di istana tersebut. Beliau juga seorang yang sangat mementingkan waktu solat dan puasa. Beberapa kali beliau mengerjakan haji dan pernah sekali beliau hanya berjalan kaki ke Mekah untuk menunaikan haji.

Zubaidah juga seorang yang sangat prihatin dengan kebajikan masyarakat dan murah hati membelanjakan duit untuk kegunaan mereka. Beliau membina rumah penginapan di sepanjang jalan dari Iraq ke Mekah, telaga untuk jemaah haji dan juga pengembara.

Dari semasa ke semasa, jalan tersebut biasanya akan dilitupi debu setiap kali ribut pasir melanda dan para pengembara tidak dapat menemui jalannya. Beliau lalu mengarahkan supaya dibina tembok batu di kanan dan kiri jalan supaya dapat menghalang ribut dan belanja projek tersebut memakan ratus ribu dinar.

 

 

Beliau juga terlibat dalam usaha membina terowong bersejarah yang membekalkan air ke tanah Mekah. Dikatakan sebelum pemerintahan Khalifah Harun Ar-Rasyid lagi, masyarakat selalu menghadapai kesukaran untuk mendapatkan air. Apabila masalah tersebut diajukan kepadanya, beliau lantas mengarahkan jurutera yang pakar dalam ilmu kejuruteraan hidro serta arkitek untuk mencari punca air yang dapat dibekalkan ke tanah Mekah.

Setelah beberapa bulan mengkaji, akhirnya dua punca mata air dijumpai. Satu menghala ke Taif, lebih kurang 25 kilometer dari Mekah dan satu lagi terletak di puncak Bukit Kara. Namun tugasan tersebut bukan suatu yang mudah. Projek tersebut memakan masa tiga tahun, dengan melibatkan ribuan pekerja. Mereka akhirnya berjaya membina terusan yang menembusi gunung dan air berjaya disalurkan kepada penduduk Mekah.

Apabila rekod belanjawan dikemukakan kepada Zubaidah, ketika itu beliau berada di kawasan istana berdekatan dengan Sungai Tigris. Beliau langsung tidak memandang dokumen tersebut dan mengarahkan ianya dicampak ke Sungai Tigris, lalu berkata;

Aku telah menyerahkan urusan belanjawan ini pada Hari Perhitungan. Segala yang telah aku lakukan hanyalah untuk mendapat kebaikan dari Allah. Jika ada sejumlah wang yang aku berhutang, aku bersedia untuk membayarnya, dan jika ada yang berhutang kepada aku, maka aku tidak akan mengiranya

Terowong tersebut akhirnya dinamakan “Terowong Zubaidah” sempena namanya.

 


 

Sumber : https://tzkrh.com/zubaidah-permata-kerajaan-abbasiyah/

Back To Top