skip to Main Content

Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan dalam kitabnya Al-Daa’ wa Al-Dawaa’:

Aku pernah mendengar Shaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah berkata: Sebagaimana sebaik-baik manusia adalah para nabi, maka seburuk-buruk manusia adalah yang menyerupai mereka, dan disangka mereka adalah nabi sedangkan dia bukan nabi. Sebaik-baik manusia selepas mereka ialah ulama, syuhada, orang-orang yang jujur, orang-orang yang ikhlas. Seburuk-buruk manusia adalah yang menyerupai mereka dan disangka mereka adalah daripada kalangan mereka (iaitu orang-orang yang baik tersebut) sedangkan dia bukan daripada mereka.

Imam Ibnu al-Qayyim menukilkan kalam gurunya di atas selepas membawakan hadis berikut:

Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata:

Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: Sesungguhnya manusia pertama yang akan diadili pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang mati syahid. Beliau akan dibawa dan Allah menunjukkan kepadanya nikmat-nikmat Nya, dan lelaki itu mengakuinya. Lalu Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab : Aku telah berperang di jalan Mu sehingga aku mati syahid. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau berperang agar engkau dipanggil pahlawan! Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka. 



(kemudian giliran) seorang lelaki yang mempelajari ilmu, mengajarkan ia, dan membaca al-Quran. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab : Aku telah mempelajari ilmu, mengajarkan ilmu dan membaca al-Quran kerana Mu. Allah menjawab: Engkau bohong ! Sebaliknya engkau menuntut ilmu untuk dipanggil orang alim, dan engkau membaca al-Quran untuk dipanggil Qari’. Sesungguhnya engkau telah dipanggil dengan gelaran itu. Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi, kemudian dilempar ke dalam neraka.

 (kemudian giliran) seorang lelaki yang Allah telah meluaskan kepadanya harta, dan dia memberikan hartanya kesemuanya kepada orang yang berhak. Dia dibawa dan Allah menunjukkan nikmatNya kepada lelaki itu, dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya : Apa yang telah engkau lakukan dengannya? Lelaki itu menjawab: Tidak aku tinggalkan sedikit pun jalan yang mana Engkau suka untuk harta dibelanjakan padanya melainkan aku membelanjakan harta aku pada jalan itu untuk Mu. Allah menjawab: Engkau bohong! Sebaliknya engkau melakukan hal itu untuk dipanggil dermawan. Engkau telah mendapat gelaran itu Kemudian lelaki itu diarahkan untuk diseret dengan wajahnya di atas muka bumi. Kemudian dia dilempar ke dalam neraka.

[Sahih Muslim, Kitab al-Imarah, , hadis no : 1905]

Dapatkan buku Ad-Daa’ wa Ad-Dawaa’ karya Imam Ibnu al-Qayyim, 545 m.s, RM74 sahaja. Klik sini -> wa.me/60132506391

 


Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top