skip to Main Content

 

Soalan:

Dalam situasi kuaratin musim covid-19 sekarang, tular dalam masyarakat kita untuk membahagikan bacaan al-quran mengikut juzuk. Kebiasaannya akan dibuat satu group samada group whatsapp atau lain-lain untuk membahagikan bacaan al-Quran mengikut juzuk masing-masing. Situasi ini juga sering berlaku pada bulan Ramadhan, kemudiannya setelah habis (sorang sejuzuk) mereka akan buat majlis khatam Al-Quran. Soalan saya, apa hukum membahagi bacaan juzuk al-Quran seperti di atas? Adakah ia telah dikira sebagai khatam Al-Quran dan mendapat fadhilat khatam Al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membudayakan pembacaan al-Quran adalah suatu amalan yang sangat dituntut. Allah S.W.T menjanjikan kepada orang yang membaca al-Quran ini dengan pelbagai ganjaran dan darjat yang tinggi. Antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa, Baginda S.A.W bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَالأُتْرُجَّةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَرِيحُهَا طَيِّبٌ، وَالَّذِي لاَ يَقْرَأُ كَالتَّمْرَةِ، طَعْمُهَا طَيِّبٌ وَلاَ رِيحَ لَهَا، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الرَّيْحَانَةِ، رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ، وَمَثَلُ الْفَاجِرِ الَّذِي لاَ يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ، طَعْمُهَا مُرٌّ وَلاَ رِيحَ لَهَا ‏”‏‏.

‏Maksudnya: “Perumpamaan orang yang beriman yang membaca al-Qur’an ialah seperti buah Utrujah (buah limau) , yang baik rasanya dan baik baunya. Dan perumpamaan orang yang beriman yang tidak membaca Al-Quran adalah seperti buah tamar (kurma), mempunyai rasa yang baik tetapi tidak berbau. Dan perumpamaan orang munafik yang membaca Al-Qur’an ialah seperti buah Raihana (kemangi), yang baik baunya tetapi pahit rasanya. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca Al-Qur’an adalah seperti buah Hanzalah (labu pahit), pahit rasanya dan tiada apa-apa bau. “

Riwayat al-Bukhari (7560)

 

 

Maksud Khatam Al-Quran

Khatam berasal dari kalimah bahasa arab (ختم) yang bererti menutup (Rujuk: Kamus al-Ma’ani), maka khatam Al-Quran bermaksud menghabiskan bacaan Al-Quran 30 juzuk samada secara bacaan atau melalui hafazan.

Majlis Khatam Al-Quran

Sesungguhnya, majlis Khatam Al-Quran memiliki Fadhilat yang sangat banyak dan kelebihannya tersendiri. Antaranya ialah diturunkan rahmat dan dimustajabkan doa ketika majlis tersebut, ia berdasarkan Athar daripada Anas bin Malik R.A:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ، جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهْلَ بَيْتِهِ فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: “Adapun Anas apabila beliau mengkhatamkan al-Quran, beliau akan menghimpunkan anaknya serta ahli keluarganya lalu berdoa bersama mereka.” 

Riwayat al-Darimi (3517)

Diriwayatkan juga daripada amalan para salaf, bahawasanya Abdullah bin Mubarak apabila beliau mengkhatamkan Al-Quran, beliau akan memperbanyakkan doa kepada kaum muslimin (Rujuk: Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 160)

Imam al-Nawawi mengatakan sunat muakkad hukumnya menghadiri majlis khatam al-Quran. (Rujuk: Al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 159). Hukum sunat menghadiri majlis khatam al-Quran ada juga disebutkan oleh Syeikh al-Humaidhi di dalam kitabnya. (Rujuk: Jamal al-Qurra’, hlm. 149)

Boleh rujuk artikel kami yang berkaitan untuk pembacaan lebih lanjut:

Berhimpun ketika majlis khatam al-Quran –  https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/3448-irsyad-al-hadith-siri-ke-377-berhimpun-ketika-majlis-khatam-al-quran

Selain itu, majlis seperti ini juga disebut sebagai majlis zikir kerana terkandung di dalamnya bacaan al-Quran secara berjemaah, dengan dibaca juga beberapa zikir-zikir tertentu mengikut kaifiat dan tatacara tertentu yang telah disebut oleh para ulama’ dalam kitab mereka. Majlis seperti ini juga disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Baginda S.A.W bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul diantara rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari diantara mereka. Kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, dan diberikan rahmat serta malaikat akan menaunginya. Dan mereka akan diingat disisi Allah.”

Riwayat Muslim (2699)

 

 

Hukum Membahagikan Juzuk Al-Quran

Rasulullah S.A.W tidak menentukan kaifiat atau cara khusus untuk mengkhatamkan Al-Quran. Maka, umat Islam bebas melakukan apa-apa sahaja kaifiat dan cara untuk mengkhatamkan al-Quran kerana ia termasuk perkara yang boleh diijtihadkan.

Umumnya kita mengetahui bahawa orang yang membaca Al-Quran memperoleh pahala yang sangat besar, antaranya berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لاَ أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلاَمٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Riwayat al-Tirmizi ( 3158)

Terdapat beberapa Hadis yang membicarakan berkenaan khatam Al-Quran ini, antaranya:

عن عبدِ اللَّهِ بنِ عمرٍو أنَّهُ قالَ: يا رسولَ اللَّهِ! في كم أقرأُ القرآنَ؟ قالَ: في شَهرٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِكَ، يردِّدُ الْكلامَ أبو موسى وتناقصَهُ حتَّى قالَ: اقرأْهُ في سبعٍ. قالَ: إني أقوى من ذلِك. قالَ: لاَ يفقَهُ من قرأَهُ في أقلَّ من ثلاثٍ

Maksudnya: “Daripada Abdullah bin Amr bertanya kepada Nabi S.A.W: Berapa hari saya harus menyelesaikan pembacaan seluruh Al-Qur’an, Ya Rasulallah? Baginda menjawab: Dalam satu bulan. Beliau berkata: Saya lebih bertenaga untuk menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada ini. Beliau (Abdullah) terus mengulangi kata-kata ini dan meminta dikurangkan tempoh sehingga baginda berkata: Lengkapkan pembacaannya dalam tujuh hari. Beliau sekali lagi berkata: Saya lebih bertenaga untuk melengkapkannya dalam tempoh yang kurang daripada ini. Nabi S.A.W bersabda: Barangsiapa yang mengakhiri pembacaan Al-Quran dalam waktu kurang dari tiga hari maka dia tidak akan mengerti”

Riwayat Abu Daud (476)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan bahawa pembaca Al-Quran tidak boleh terlalu gopoh dan terlalu cepat mengkhatamkan Al-Quran iaitu kurang daripada 3 hari. Seharusnya pembaca memfokuskan kepada kualiti bacaan dengan meraikan hukum tajwid dan tadabbur iaitu memahami dan menghayati makna Al-Quran itu sendiri.

Namun begitu, Imam al-Zarkasyi menyebut di dalam kitabnya: “Pandangan yang terpilih ialah perkara tersebut (yakni tidak boleh khatam Al-Quran kurang daripada 3 hari) adalah berbeza mengikut keadaan seseorang iaitu (dilihat) dari segi kesungguhannya, kekurangannya, tadabburnya, dan kelalaiannya dalam bacaan. Hal ini kerana, diriwayatkan bahawa Saidina Uthman R.A telah mengkhatamkan Al-Quran dalam satu malam.” (Rujuk: Al-Burhan fi Ulum al-Quran, 1/471)

Kesimpulannya, tiada halangan untuk membahagikan bacaan Al-Quran samada sejuzuk seorang atau selainnya. Dalam hal ini, ia merupakan salah satu ikhtiar para alim ulama’ untuk menggalakkan masyarakat agar memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan pelbagai cara dan kaifiat.

Justeru, kita dapat lihat ada yang mencadangkan agar dikhatamkan al-Quran sebulan sekali iaitu dengan membaca sejuzuk sehari, atau dengan cara membaca 4 muka surat setiap kali selepas solat fardhu agar dapat mencapai 1 juzuk sehari dan sebagainya. Perkara ini terpulang kepada kebijaksanaan dan kreativiti masing-masing.

Kesimpulan

Tuntasnya, amalan membahagi-bahagikan bacaan Al-Quran seperti yang diamalkan dalam masyarakat hari ini merupakan suatu amalan yang baik dan dituntut. Hal ini kerana Nabi S.A.W tidak menetapkan kaedah tertentu dan terpulang pada kita untuk membacanya dengan apa cara sekalipun. Tambahan pula, ia dapat menggalakkan orang ramai memperbanyakkan bacaan Al-Quran. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia.

 

 

Namun begitu, seseorang itu hanya diiktibar khatam Al-Quran apabila dia berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk secara penuh (iaitu dari juzuk 1 hingga juzuk 30) atau dia mendengar bacaan 30 juzuk secara bertadarrus iaitu saling memperdengarkan bacaan masing-masing sesama ahli tadarus. Sekiranya dia membaca bahagiannya atau juzuk tertentu sahaja, dan tidak pula membaca atau mendengar bacaan daripada juzuk-juzuk berbaki maka hal itu tidak dianggap sebagai khatam al-quran.

Bagi majlis khatam Al-Quran pula:

–           Sekiranya terdapat salah seorang daripada ahli kumpulan tersebut berjaya mengkhatamkan Al-Quran dengan bacaan penuh, maka fadhilat majlis khatam al-quran itu akan diperoleh oleh semua orang yang menghadirinya. Ia berdasarkan kepada athar daripada Anas bin Malik R.A yang telah disebutkan sebelum ini.

–           Namun, sekiranya tiada dalam kalangan ahli kumpulan tersebut yang berjaya mengkhatamkan Al-Quran secara penuh, maka ahli kumpulan tersebut tidak mendapat fadhilat khusus majlis khatam al-quran. Akan tetapi mereka tetap mendapat kelebihan majlis zikir yang juga dihadiri oleh para Malaikat. Wallahu a’lam.

Semoga Allah S.W.T memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.

Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/4376-irsyad-al-fatwa-siri-ke-471-hukum-membahagikan-bacaan-al-quran-mengikut-juzuk

Back To Top