skip to Main Content
ADAKAH BOLEH BAGI ORANG YANG SOLAT QADA MENJADI IMAM BAGI ORANG YANG SOLAT FARDHU?

Soalan:

Assalamualaikum datuk mufti, saya ingin bertanya. Adakah boleh orang yang qadha solat mengimamkan orang yang solat fardhu? Jazaakallahu khairan..

Ringkasan Jawapan:

Harus bagi orang yang qada solat mengimami orang yang solat fardhu bahkan solat Jemaah itu adalah sah selagi mana perbuatan zahir solat itu sama di antara imam dan makmum. Oleh itu, tidak sah solat bagi orang yang solat fardhu dengan orang yang solat jenazah dan solat sunat gerhana kerana berbeza dari segi perbuatan zahir solat tersebut.

                                                                  

Huraian Jawapan:

Mengerjakan solat qada bagi orang yang meninggalkan solat fardhu adalah wajib ke atas setiap umat islam yang mukallaf samada solat fardhu tersebut ditinggalkan secara sengaja atau tidak. Bahkan, perbuatan qada solat ini perlu disegerakan setelah kita mengingatinya. Hal ini kerana, berdasarkan dengan Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Jabir R.Anhu:   

مَنْ نَسِيَ صَلَاةً، فَلْيُصَلِّهَا إِذَا ذَكَرَهَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang lupa mengerjakan solat, maka hendaklah dia solat apabila mengingatinya.”[1]

(Riwayat Bukhari: 597)

 

 

Berbalik kepada persoalan di atas, iaitu adakah dibolehkan bagi orang yang qada solat mengimami orang yang ingin solat fardhu? Permasalahan ini berkait rapat dengan syarat qudwah (mengikut imam) di dalam solat. Secara asasnya, fungsi imam di dalam solat jemaah adalah untuk dituruti dan diikuti oleh makmum. Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّمَا جُعِلَ الْإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا

Maksudnya: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti, maka apabila dia mengangkat takbir maka bertakbirlah, dan apabila dia (imam) sujud maka sujudlah kalian.”[2]

(Riwayat Muslim: 411)

 

Di dalam mazhab Syafie, dibolehkan bagi orang yang solat qada menjadi imam kepada orang yang  mengerjakan solat fardhu kerana antara syarat sah qudwah ialah makmum dan imam perlu sama pada perbuatan solat. Menurut al Khatib al Syirbini di dalam kitabnya Mughni al Muhtaj:

مِنْ شُرُوطِ الِاقْتِدَاءِ تَوَافُقُ نَظْمِ الصَّلَاتَيْنِ فِي الْأَفْعَالِ الظَّاهِرَةِ كَالرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ

Maksudnya: “Di antara syarat-syarat mengikut imam ialah menyerupai perbuatan kedua-dua solat pada perbuatan zahir seperti rukuk dan sujud. ”[3]

(Rujuk mughni al muhtaj: 1/504)

Meskipun terdapat perbezaan dari sudut niat solat di antara imam dan makmum, solat tersebut tetap sah selagi mana tatacara atau perbuatan zahir solat itu menyerupai di antara kedua-duanya. Sheikh al Mawardi juga telah datangkan pandangan Imam Syafie R.H di dalam bab perbezaan niat antara imam dan makmum:

وَإِذَا صَلَّى الْإِمَامُ بِقَوْمٍ الظُّهْرَ فِي وَقْتِ الْعَصْرِ وَجَاءَ قَوْمٌ فَصَلَّوْا خَلْفَهُ يَنْوُونَ الْعَصْرَ أَجْزَأَتْهُمُ الصَّلَاةُ جَمِيعًا

Maksudnya: “Apabila seorang Imam mendirikan solat zohor bersama sekumpulan jemaah (kaum) dalam waktu asar lalu datang satu kaum dan mereka solat dibelakangnya dengan niat solat asar, maka sah solat mereka semuanya”.”[4]

(lihat al Hawi al Kabir: 2/316)

Selain itu, Imam an Nawawi juga telah menyatakan bahawa sah solat jemaah bagi orang yang solat qada dengan orang yang solat fardhu begitu juga orang yang solat fardhu berimamkan orang yang solat sunat. seperti mana di dalam karyanya:

وتصح قدوة المؤدي بالقاضي والمفترض بالمتنفل وفي الظهر بالعصر وبالعكوس

Maksudnya: “Sah mengikut imam orang yang mendirikan solat secara tunai dengan orang yang menqadakan solatnya, dan orang yang solat fardhu dengan orang yang mengerjakan solat sunat, dan solat pada waktu zohor dengan mendirikan solat asar dan sebaliknya”.[5]

(lihat Minhaj al-Tolibin wa Umdatul Mufti: 1/42)

Walaubagaimanapun,  tidak sah pula untuk berimamkan orang yang mengerjakan solat gerhana dan solat jenazah bagi solat yang lain kerana dari sudut tatacara kedua-dua solat ini berbeza tatacara dan bentuknya berbanding solat fardhu. Perkara ini juga telah dijelaskan oleh syeikh Khatib Syirbini di dalam karangannya :   

(فَإِنْ اخْتَلَفَ فِعْلُهُمَا) أَيْ الصَّلَاتَيْنِ (كَمَكْتُوبَةٍ وَكُسُوفٍ أَوْ) مَكْتُوبَةٍ، وَ (جِنَازَةٍ لَمْ تَصِحَّ) الْقُدْوَةُ فِيهِمَا

Maksudnya: “(Sekiranya berbeza perbuatan  kedua-duanya) iaitu solat, (seperti solat fardhu dengan solat gerhana) atau solat fardhu dengan (solat jenazah), maka tidak sah mengikuti imam pada keduanya.”[6]

(lihat Mughni al Muhtaj: 1/504)

 

 

Kesimpulannya, harus bagi orang yang qada solat mengimami orang yang solat fardhu bahkan solat Jemaah itu adalah sah selagi mana perbuatan zahir solat itu sama di antara imam dan makmum. Oleh itu, tidak sah solat bagi orang yang solat fardhu dengan orang yang solat jenazah dan solat sunat gerhana kerana berbeza dari segi perbuatan zahir solat tersebut.

Wallahu a’lam…

 

Nota Hujung:

[1] Muhammad Bin Ismail Abu Abdullah al-Bukhari. 1422H.  Sohih al-Bukhari, Tahqiq: Muhammad Zahir Bin Nasir a-Nasir, Dar Tuq an-Najah, j1 h122 no:597[2] Muslim Bin al-Hajaj Abu al-Hasan al Qusyairi an-Naisaburi. Tiada tahun. Sohih Muslim, Tahqiq: Muhammad Fuad Bin Abdul Baqi, Dar Ihya’ at-Turath al ‘Arabi: Beirut. J1 h308 no;411.[3] Syamsuddin, Muhammad Bin Ahmad al Khotib as Syirbini as Syafie. 1415H/1994M.   Mughni al Muhtaj Ila Makrifati Alfaz al Minhaj, Dar al-Kutub al Ilmiah. Cetakan 1: J1 h504[4] Abu al-Hasan Ali Bin Muhammad Bin Muhammad Bin Habib al-Basari al-Baghdadi. 1419H/1999M. al-Hawi al-Kabir Fi Fiqh al-Mazhab al-Imam as-Syafie. Dar al Kutub al Ilmiah al ‘Arabi: Beirut, j2 h316.[5] Abu Zakaria Muhyiddin Yahya Bin Sharaf an-Nawawi. 1425H/2005M.  Minhaj al-Tolibin wa ‘Umdatul Muftin, Thaqiq: ‘Iwad Qasim Ahmad ‘Iwad, Dar al-Fikr, h42.[6]   Mughni al Muhtaj Ila Makrifati Alfaz al Minhaj, j1h504.

 


Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4706-al-kafi-1772-adakah-boleh-bagi-orang-yang-solat-qada-menjadi-imam-bagi-orang-yang-solat-fardhu

Back To Top


Experience the unforgetable Experience


Copyright © BIZMILLA TRAVEL & TOURS [F]