skip to Main Content

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum memberikan duit raya? Benarkah ia ada unsur menyerupai (tasyabbuh) amalan memberi ang pow dalam kalangan masyarakat cina?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Dalam menjawab persoalan di atas, amalan memberi duit raya sama ada kepada kanak-kanak, ibu bapa, saudara-mara, kaum kerabat dan seumpamanya adalah bertepatan dengan konsep amalan memberi sedekah dalam Islam.

Malahan, bagi mereka yang bersedekah kepada ibu bapa, ia akan menghasilkan tiga bentuk ganjaran pahala amalan soleh iaitu, ganjaran pahala bersedekah itu sendiri, ganjaran berbuat baik kepada ibu bapa serta ganjaran mengeratkan silaturrahim. Begitu juga, jika pemberian itu adalah kepada sanak saudara, kaum kerabat dan seumpamanya. Orang yang memberi akan turut memperoleh dua ganjaran iaitu ganjaran pahala kerana bersedekah dan ganjaran kerana menghubungkan silaturrahim.

Dalam sebuah hadith daripada Sa’ad bin Abi Waqqas R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

‎إِنَّكَ لَنْ تُنْفِقَ نَفَقَةً تَبْتَغِي بِهَا وَجْهَ اللَّهِ إِلَّا أُجِرْتَ عَلَيْهَا حَتَّى مَا تَجْعَلُ فِي فَمِ امْرَأَتِكَ

Maksudnya: “Sesungguhnya engkau tidaklah memberikan nafkah yang dengannya engkau mengharapkan wajah Allah kecuali pasti diberi pahala atasnya, sehinggakan makanan yang engkau suapkan ke mulut isterimu.” [1]

Imam al-Nawawi menyebut: “Sesungguhnya perbuatan mubah (harus), jika dimaksudkan dengannya untuk mengharapkan wajah Allah SWT, maka ia akan berubah menjadi suatu bentuk ketaatan dan memperoleh balasan (ganjaran pahala).” [2]

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ فِي رَقَبَةٍ وَدِينَارٌ تَصَدَّقْتَ بِهِ عَلَى مِسْكِينٍ وَدِينَارٌ أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ أَعْظَمُهَا أَجْرًا الَّذِي أَنْفَقْتَهُ عَلَى أَهْلِكَ

Maksudnya: “Dinar (harta) yang engkau nafkahkan di jalan Allah, dinar yang engkau nafkahkan untuk membebaskan hamba, dinar yang engkau sedekahkan untuk orang miskin, dan dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu; maka yang paling besar pahalanya adalah yang engkau nafkahkan untuk keluargamu.”[3]

Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa memberi sedekah kepada ahli keluarga adalah lebih afdal (lebih baik) berbanding memberi kepada orang asing (yang tidak mempunyai pertalian keluarga) jika mereka (ahli keluarga) berhajat kepadanya. Tambahan pula, ahli keluarga perlu diraikan hak mereka berdasarkan pertalian silaturrahim walaupun pertalian tersebut jauh. Ini kerana, Nabi SAW memerintahkan kepada Abu Talhah untuk memberikan sedekahnya kepada ahli keluarganya maka beliau memberikannya kepada Ubaiy bin Ka’ab dan Hassan bin Thabit. Kedua sahabat ini berhimpun pada nasab datuk yang ke-7. [4]

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Daripada hadith Abu Qilabah, daripada Asma, daripada Thauban sampai kepada Rasulullah:

أَفْضَل دِينَار يُنْفِقهُ الرَّجُل دِينَار يُنْفِقهُ عَلَى عِيَاله , وَدِينَار يُنْفِقهُ عَلَى دَابَّته فِي سَبِيل اللَّه , وَدِينَار يُنْفِقهُ عَلَى أَصْحَابه فِي سَبِيل اللَّه

Maksudnya: “Sebaik-baik dinar yang diinfaqkan oleh seseorang adalah yang diinfaqkan kepada keluarganya, dan dinar yang diinfaqkan untuk haiwannya di jalan Allah, dan dinar yang diinfaqkan kepada orang-orang yang berjuang di jalan Allah.”

Abu Qilabah berkata: “Dimulakan dengan keluarga. Tidak ada orang yang lebih agung pahalanya dibandingkan dengan orang yang menginfaqkan kepada keluarganya, dapat menjaga mereka dan bermanfaat bagi mereka.”

Al-Tabari mengatakan, “Memulakan infaq dari keluarga, termasuk juga dirinya. Kerana diri seseorang adalah termasuk keluarganya. Bahkan ia merupakan hak terbesar dibandingkan keluarga lainnya. Tidak boleh seseorang menghidupkan orang lain dengan membinasakan dirinya. Kemudian infaq kepada keluarganya juga.” [5]

 

 

 

 

Selain itu, terdapat juga perintah agar berbuat baik kepada jiran tetangga. Hal ini dapat dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A, bahawa sabda Rasulullah SAW:

مَا زَالَ جِبْرِيلُ يُوصِينِي بِالْجَارِ، حَتَّى ظَنَنْتُ أَنَّهُ سَيُوَرِّثُهُ

Maksudnya: “Jibril sentiasa berwasiat kepadaku agar berlaku baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu akan mewarisi hartaku.” [6]

Imam al-Nawawi menukilkan kata-kata daripada al-Qadi ‘Iyadh bahawa makna hadis ini adalah sesiapa yang beriltizam dengan syariat Islam maka wajib ke atasnya untuk memuliakan atau berlaku baik kepada jiran dan tetamunya. Setiap perkara ini menunjukkan kepentingan hak berjiran serta galakan memeliharanya. Ini kerana, Allah SWT telah berpesan atau mewasiatkan agar berlaku baik kepada mereka melalui firman-Nya di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi SAW. [7]

Berkenaan persoalan di mana dikatakan amalan memberi duit raya ada unsur menyerupai (tasyabbuh) dengan amalan memberi ang pow dalam tradisi masyarakat cina, maka kami melihat bahawa tidak sebarang unsur penyerupaan (tasyabbuh) antara kedua-dua amalan tersebut.

Hal ini sepertimana dijelaskan di atas, bahawa amalan duit raya mempunyai asas yang kukuh di dalam Islam, iaitu bertitik tolak daripada amalan bersedekah yang sangat dianjurkan, bahkan sunat hukumnya.

Manakala berkenaan persoalan memberi duit raya menggunakan sampul pula, ia tidaklah menjadi satu isu kerana kaedah fiqh menyebut:

‎الأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap sesuatu (yang bukan ibadah) adalah harus.” [8]

Kaedah ini merupakan satu kaedah untuk menentukan bahawa sesuatu perkara yang tidak disebutkan dalilnya adalah halal. Hal ini juga berdasarkan pandangan Imam al-Syafie bahawa perkara yang halal ialah sesuatu perkara yang tiada dalil menunjukkan pengharamannya. [9]

Kami tegaskan sekali lagi bahawa amalan memberi duit raya adalah termasuk amalan atau budaya yang terpuji kerana ia mengandungi elemen-elemen sedekah atau hadiah, di mana kedua-duanya adalah baik di sisi agama. Daripada Abu Hurairah R.A sabda Nabi SAW:

تَهَادُوا تَحَابُّوا

Maksudnya: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah. Nescaya, kamu akan saling mengasihi dan mencintai.”[10]

Selain itu, Rasulullah SAW juga akan membalas hadiah yang diberikan kepadanya. Aisyah R.Anha meriwayatkan, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقْبَلُ الْهَدِيَّةَ وَيُثِيْبُ عَلَيْهَا.

Maksudnya: “Rasulullah SAW menerima hadiah dan Baginda membalasnya.”[11]

Amalan sedekah pula sepertimana sedia maklum adalah termasuk dalam amalan kebajikan yang digalakkan dalam Islam. Sedekah itu bermaksud pemberian hak milik ketika hidup tanpa mengharapkan pembalasan bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT. [12]

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.[13]

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut: Gambaran infaq mereka ini sama ada yang banyak mahupun sedikit adalah bagaikan kebun yang memiliki tanah yang baik dan subur. Pepohondan tumbuhannya berkembang dengan baik. Kebun ini terletak di dataran yang tinggi, yang memperoleh sinar matahari dan pengudaraan yang baik serta disirami oleh hujan yang lebat sehingga tumbuh-tumbuhannya menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding yang lain. Jika kebun itu disirami oleh hujan gerimis, maka hal itu pun sudah mencukupi dan mampu menjadikan pohon-pohonnya tumbuh dengan baik dan tetap menghasilkan buah yang melimpah. Hal ini disebabkan tanahnya yang subur dan kedudukannya yang strategik. Manakala sebab kenapa kebun yang dijadikan perumpamaan di sini adalah kebun yang berada di rabwah (dataran tinggi), kerana pohon dan tumbuhan yang ada di kawasan tinggi lebih baik dan buah yang dihasilkannya juga lebih baik.

Allah SWT dengan kemurahan-Nya mengembangkan infaq yang dikeluarkan oleh orang-orang yang ikhlas dan memberi mereka balasan yang lebih banyak seperti sebuah kebun yang menghasilkan buah dua kali ganda lebih banyak berbanding buah yang dihasilkan kebun-kebun yang lain. Hal ini bertujuan memujuk hati dan fikiran kita. [14]

Selain dari itu, sebarang bentuk sedekah yang diberikan kerana Allah SWT tidak mendatangkan kerugian kepada pelakunya, sebaliknya mendapat ganjaran balas yang menguntungkan. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَمَا أَنفَقْتُم مِّن شَيْءٍ فَهُوَ يُخْلِفُهُ وَهُوَ خَيْرُ الرَّازِقِينَ

Maksudnya: “Dan apa sahaja yang kamu belanjakan dari sesuatu maka Allah lah yang menggantikannya dan Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.”[15]

Al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini berkata: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan wahai sekalian manusia pada jalan ketaatan kepada Allah, maka sesungguhnya Allah akan menggantikannya kepada kamu. [16]

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak, kaum keluarga, saudara-mara, dan jiran tetangga adalah sunat kerana ia termasuk dalam amalan sedekah atau hadiah yang dianjurkan.

Wallahu a’lam.

 

[1] Riwayat al-Bukhari (56) dan Muslim (1628)

[2] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 6/16

[3] Riwayat Muslim (995), Ahmad (9769) dan al-Baihaqi (7/467)

[4] Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/856

[5] Lihat Fath al-Bari, 9/499

[6] Riwayat al-Bukhari (6015)

[7] Rujuk al-Minhaj ‘ala Syarh Sahih Muslim, 18/2

[8] Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, hlm.60

[9] Lihat al-Mantsur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, Imam al-Zarkasyi, 2/70-71

[10] Riwayat al-Baihaqi (6/169), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (7240), dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (594). Hadith ini isnadnya dinilai hasan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Talkhis al-Habir (3/1047)

[11] Riwayat Abu Daud (3536). Syeikh Syu’aib al-Arnaut menyatakan isnadnya hasan.

[12] Lihat al-Majmu’ syarah al-Muhazzab, 15/370 dan al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 26/323

[13] Surah al-Baqarah: 261

[14] Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/80

[15] Surah Saba’: 39

[16] Lihat Jami’ al-Bayan, 20/413

 


 

Sumber : Maktabah Al-Bakri (Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri)

Back To Top