skip to Main Content

Antara perkara yang sangat popular sebagai amalan ‘menarik rezeki’ ialah membanyakkan istighfar dan taubat. Di sana sini, dalam mana-mana latihan atau sesi motivasi, sering dikongsikan untuk membanyakkan istighfar sebagai salah satu usaha menarik rezeki.

Elok rasanya kita melihat perihal istighfar dan taubat, dan kenapa dan bagaimana ia berfungsi seperti yang disebut-sebut ‘menarik rezeki’.

ISTIGHFAR DAN TAUBAT

Dalil-dalilnya:

1- Surah Nuh: 10-12
فَقُلْتُ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ إِنَّهُ كَانَ غَفَّارًا
«”Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun(10)»

يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا
«”(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;(11)»

وَيُمْدِدْكُمْ بِأَمْوَالٍ وَبَنِينَ وَيَجْعَلْ لَكُمْ جَنَّاتٍ وَيَجْعَلْ لَكُمْ أَنْهَارًا [نوح: 10-12]
«”Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya)(12)»

2- Surah Hud: 52

وَيَا قَوْمِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُرْسِلِ السَّمَاءَ عَلَيْكُمْ مِدْرَارًا وَيَزِدْكُمْ قُوَّةً إِلَى قُوَّتِكُمْ وَلَا تَتَوَلَّوْا مُجْرِمِينَ [هود: 52]
«Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!(52)»

Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang menunjukkan bahawa istigfar dan taubat itu merupakan kunci untuk kita memperolehi rezeki daripada Allah.

Dr. Faḍl Ilāhī menerangkan:

“Ramai orang menyangka bahawa istighfār dan taubat hanyalah dengan lisan. Sebahagian manusia berkata: Saya memohon keampunan Allah (istighfar) dan bertaubat kepadanya. Akan tetapi tidak terdapat kesan daripada perkataan ini di hatinya, sebagaimana tidak terlihat jua kesannya kepada anggota tubuhnya. Sesungguhnya istighfar dan taubat seperti ini adalah perbuatan orang-orang yang pendusta”.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa syarat taubat ialah:

1- Meninggalkan maksiat tersebut ikhlas kerana Allah.
2- Menyesal di atas dosa yang telah dilakukan.
3- Berazam untuk tidak mengulanginya.
4- Jika dosa itu berkaitan dengan manusia, hendaklah dipulangkan haknya, atau memohon maaf daripadanya.

Imam al-Raghib al-Asfahani menyatakan tentang istighfar:

Memohon (keampunan) dengan perkataan dan perbuatan. Firman Allah: . Manusia tidaklah disuruh untuk memohon keampunan dengan lidah sahaja. Bahkan mereka perlu memohon keampunan dengan lisan dan perbuatan mereka. Disebutkan bahawa: Istighfar dengan lisan tanpa melaksanakannya dengan perbuatan, adalah perilaku golongan pendusta.

[Ringkasan daripada kitab Dr. Faḍl Ilahī bertajuk Mafātīh al-Rizq Fī Ḍaw’i al-Qurān wa al-Sunnah]

 

 

Perihal istighfar dan taubat sebagai pembuka pintu rezeki berkaitan dengan dua aspek iaitu:

1- Antara bentuk hukuman yang mungkin diberikan kepada maksiat yang kita lakukan ialah disempitkan rezeki.
2- Antara tips doa mustajab ialah menjauhi dosa.

Kesannya dosa atau maksiat kepada doa kita disebutkan dalam sebuah hadis yang sahih.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا ،
Abu Hurairah radiallahu ‘anhu berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Baik, dan tidak menerima kecuali sesuatu yang baik jua.

وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ ، فَقَالَ : يَأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ سورة المؤمنون آية 51 ،
Sesungguhnya Allah menyuruh orang beriman dengan apa yang pernah disuruh kepada para rasul. Allah berfirman: Wahai para rasul. Makanlah daripada makanan yang baik-baik. Lakukanlah amal soleh. Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang kalian lakukan. [Al-Mukminun: 51].

وَقَالَ : يَأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ سورة البقرة آية 172 ،
Firman Allah lagi: Wahai orang beriman, makanlah daripada makanan yang baik yang telah kami kurniakan kepada kalian. [Al-Baqarah : 172].

ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ يَا رَبِّ يَا رَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ ” .
Kemudian baginda menyebutkan tentang seorang lelaki yang bermusafir jauh. Keadaanya kusut masai dan diselaputi debu. Dia menadah tangannya ke langit dan menyebut ‘ Wahai tuhan, wahai Tuhan’, sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram. Lalu bagaimana mahu diterima (doanya) disebabkan keadaannya itu?
[Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, hadis no: 1692]

Imam al-Bukhari, dengan nikmat genius yang Allah berikan kepadanya, meletakkan dalam Sahih al-Bukhari, pada Kitab ad-Da’awat (Doa), sebuah bab yang bertajuk Bab at-Taubat.

Persoalannya, kenapakah Imam al-Bukhari membawakan Bab at-Taubat dalam Kitab yang berkaitan dengan doa.

Antara hikmahnya ialah (dipetik daripada Fathul Bari):

– Dengan bertaubat kepada Allah, ia akan memudahkan atau mempercepatkan lagi untuk doa kita dijawab oleh Allah. [Rujuk hadis berkaitan orang yang berdoa, tetapi makanannya haram, pakaiannya haram etc]

– Ibnu Hajar menukilkan kalam Ibnu Jauzi yang sangat indah:

الثوب الوسخ أحوج إلى الصابون من البخور
Pakaian kotor lebih memerlukan kepada sabun berbanding bukhur/wangian.

 

 

Akan tetapi perlu diingat, jangan kita mudah bersikap ‘judgemental’ kepada orang lain apabila mereka miskin, perniagaan mereka rugi dan semisalnya. Jangan mudah-mudah menyatakan ‘engkau miskin, bisnes rugi ni, mesti sebab kau banyak dosa, baik kau taubat dan istighfar’.

Begitu jua, jangan kita rasa apabila perniagaan seseorang maju, untung, kaya, maka itu petanda bahawa perniagaan itu diredhai Allah.

Sesungguhnya ini merupakan pemikiran ‘simplistik’ yang telah ditegur oleh Allah di dalam al-Quran. FirmanNya:

فَأَمَّا الْإِنْسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ (15)
Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.(15)

وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ (16)
Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata: “Tuhanku menghinakanku”(16) [Al-Fajr : 15-16].

Dr. Wahbah al-Zuhaily berkata:

ليس إكرامُ اللَّهِ تعالى وإهانتُه كذلِكَ ، وإنما ذلك ابتلاءٌ فَحَقُّ من ابتلي بالغنى أن يشكرَ ويطيعَ ، ومَنْ ابْتُلِيَ بالفَقْرِ أن يشكرَ ويصبرَ ، وأما إكرامُ اللَّه فهو بالتقوى وإهانَتُهُ فبالمعصيةِ
Bukanlah penghormatan Allah dan penghinaanNya begitu. Sesungguhnya itu hanyalah ujia, maka orang yang duji dengan kekayaan, hendaklah bersyukur kepada Allah dan mentaati Allah. Sesiapa yang diuji dengan kemiskinan, hendaklah dia bersyukur dan bersabar. Adapun penghormatan daripada Allah adalah ketaqwaan, dan penghinaanNya adalah kemaksiatan. [Al-Tafsir Al-Munir, 4:250].

Taubat dan istighfar yang akan membuka pintu rezeki adalah taubat yang sebenar-benarnya.

Apabila kita bertaubat dan memohon keampunan dengan sebenar-benar taubat dan keampunan, maka pasti, ia akan diterima Allah.

Ini kerana taubat dan istighfar yang benar-benar itu sendiri satu rezeki daripada Allah. Kemudian pengampunan yang diperolehi daripada taubat dan istighfar itu sendiri sudah satu rezeki. Kemudian, terbukanya pintu rezeki yang adakalanya tanpa kita sedari dan tidak disangka-sangka.

Fudhail bin ‘Iyadh berkata:
استغفارٌ بلا إقلاع توبةُ الكذّابين
Istighfar tanpa meninggalkan maksiat, adalah taubat golongan pendusta!

Rabi’atul ‘Adawiyah berkata:
استغفارُنا يحتاجُ إلى استغفار كثير
Istighfar kami memerlukan kepada membanyakkan istighfar lagi. [Dinukilkan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Azkar].

 


Sumber : Ust. Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top