skip to Main Content
BENARKAH BERLAKU PENAMBAHAN PADA AL-QURAN AL-KARIM?

Soalan:
Assalamualaikum. Benarkah berlaku penambahan dalam al-Quran al-Karim?


Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan takrif al-Quran al-Karim. Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab. Al-Quran ditulis dalam mashaf yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi secara mutawatir dan mendapat pahala bagi sesiapa yang membacanya. Ia dimulakan dengan surah al-Fatihah dan berakhir dengan surah al-Nas. (Lihat Mabahith fi Ulum al-Quran, hlm. 17)

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami nukilkan dari al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah yang menyebut bahawa al-Quran al-Karim adalah kalam Allah yang mukjizat, diturunkannya kepada rasul-Nya SAW dan dipelihara daripada sebarang penambahan dan kekurangan. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

MaksudnyaSesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.

Surah al-Hijr (9)

Ibn Kathir berkata: Kemudian Allah SWT menetapkan bahawa Dia lah yang menurunkan al-Zikr (الذِّكْر) yakni al-Quran dan Dia lah Pemeliharanya dari sebarang pindaan dan perubahan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/527)

Justeru, perkataan al-Zikr adalah al-Quran al-Karim mengikut kebanyakan ulama’ tafsir. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, 24/78-79)

Muhammad Quraisy Syihab berkata: Dari hari ke hari, bertambah jelas bukti-bukti kebenaran janji tersebut, berkat kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi yang digunakan dalam pemeliharaannya. Dahulu ketika turunnya ayat ini, pernyataan tersebut baru merupakan janji sebagaimana difahami dari bentuk kata “لَحَافِظُونَ”, tetapi kini setelah berlalu lebih daripada seribu lima ratus tahun, janji itu telah menjadi kenyataan walaupun sekian banyak upaya yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk mengubah atau menghapusnya, dan walaupun upaya tersebut dilaksanakan pada masa-masa umat Islam dalam keadaan lemah dan dijajah. Orang-orang Yahudi yang memiliki pengalaman dan keahlian dalam mengubah dan memalsukan kitab suci, walaupun berhasil memalsukan ribuan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW serta memutarbalikkan sejarah Islam, tetapi sedikit pun mereka tidak berhasil melakukan perubahan terhadap al-Quran. Ini semua adalah bukti kebenaran janji Allah SWT itu. (Lihat Tafsir al-Misbah7/99)

Ayat ini menunjukkan bahawa al-Quran itu selamat daripada ditambah atau dikurangkan. Qatadah dan Thabit al-Banani berkata: Allah memeliharanya daripada ditambahkan oleh syaitan secara kebatilan atau dikurangkannya dari kebenaran. Maka Allah SWT memeliharanya dan sentiasa dalam keadaan terpelihara. Firman Allah SWT:

بِمَا اسْتُحْفِظُوا مِن كِتَابِ اللَّـهِ

Maksudnya: “Sebab mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari Kitab Allah itu”

Surah al-Ma’idah (44)

Maka Allah lah yang memeliharanya kepada mereka, kemudian mereka (Ahlul Kitab) telah mengubah dan memindanya. Kemudian Allah SWT menyifatkan al-Quran sebagai Aziz (mulia) iaitu selamat daripada manusia untuk berkata seumpamanya sebagaimana kata Ibn Abbas R.Anhuma.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ لَمَّا جَاءَهُمْ ۖ وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ ﴿٤١﴾ لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ ۖ تَنزِيلٌ مِّنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ

MaksudnyaSesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar terhadap Al-Quran ketika sampainya kepada mereka, (akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi); sedang Al-Quran itu, demi sesungguhnya sebuah Kitab Suci yang tidak dapat ditandingi, Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.

Surah Fussilat (41-42)

Makna firman Allah SWT “لَّا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِن بَيْنِ يَدَيْهِ وَلَا مِنْ خَلْفِهِ” yang bermaksud “Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya;” sepertimana kata al-Qurtubi yang menukilkan daripada al-Suddi dan Qatadah, iaitu bahawa syaitan sekali-kali tidak mampu untuk mengubahkannya, menambahkannya, dan mengurangkannya (yakni al-Quran). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/5)

Al-Alusi mentafsirkan ayat di atas dengan maksud memisalkannya untuk mentasybihkannya dengan seseorang, nescaya dipelihara dari semua pihak. Justeru, tidak mungkin musuh-musuh Allah sampai kepadanya kerana ia adalah benteng yang amat teguh dari pemeliharaan Tuhan yang Haq lagi nyata. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 24/127)

Kami menutup perbincangan ini dengan menukilkan kenyataan Syeikh al-Maraghi yang berkata: Menurut tafsiran daripada Sa’id ibn Jubair dan al-Kalabiy ada menyatakan bahawa al-Quran tidak dapat menerima sedikit pun kebatilan dan mustahil ia dapat didustakan oleh kitab Taurat dan Injil atau kitab selepasnya.

Sedangkan menurut pendapat al-Zujaj, maksud ayat ini ialah, al-Quran itu terpelihara daripada sifat kekurangan dan kebatilan dari hadapannya. Malah al-Quran juga terpelihara daripada sifat penambahan, iaitu maksudnya al-Quran tidak diselubungi kebatilan dari arah belakangnya seperti pendapat Qatadah dan al-Suddi.

Kesimpulannya, semua isi al-Quran itu adalah benar; terpelihara daripada pengurangan dan penambahan, dan seluruh isinya sesuai berdasarkan kepada yang nyata, benar dan tidak bertentangan dengan apa yang berlaku. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 12/6081)

Kami berdoa kepada Allah SWT supaya menjadikan kita cinta kepada al-Quran dan suka membacanya.

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

MaksudnyaYa Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Back To Top