skip to Main Content

 

Dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّم menceritakan bahawa yang berkata-kata semasa masih bayi adalah seramai 3 orang, iaitu :

1- Nabi Isa – seperti yang Al-Quran rakamkan dalam Surah Āli Imrān (46)

2- Bayi dalam kisah Juraij, iaitu bayi yang merupakan anak kepada seorang penzina perempuan dengan penggembala kambing – Rujuk hadis riwayat Imam Muslim (2550)

3- Seorang bayi yang bersama dengan ibunya pada zaman Bani Israel – Kisahnya turut disebut dalam hadis riwayat Imam Muslim (2550)

Persoalan timbul, bukankah ada juga kisah seorang budak kecil yang berkata kepada ibunya dalam kisah Ghulām bersama seorang Raja yang zalim, dengan kata budak itu :

يَا أُمَّهِ اصْبِرِي فَإِنَّكِ عَلَى الْحَقِّ

Maksudnya : Wahai ibuku, bersabarlah kamu kerana sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang benar.

Riwayat Muslim (3005)

Jadi, bukankah keseluruhannya 4 orang dan bukan 3 ? Mari kita lihat jawapan Imam Al Nawawi terhadap persoalan tersebut :

أَنَّ ذَلِكَ الصَّبِيَّ لَمْ يَكُنْ فِي الْمَهْدِ بَلْ كَانَ أَكْبَرَ مِنْ صَاحِبِ الْمَهْدِ وَإِنْ كَانَ صَغِيرًا

Maksudnya : Budak kecil tersebut tidak berada dalam usia bayi, bahkan umurnya lebih dewasa berbanding seorang bayi, meskipun dia merupakan seorang anak kecil.

Rujuk Syarah Al Nawāwi ‘ala Muslim (16/106)

Sumber : Facebook Ustaz Muhammad Fahmi Rusli


Back To Top