skip to Main Content

 

Sangat bimbang mendengar pelbagai jenayah seksual yang berlaku di negara kita kebelakangan ini yang melibatkan pelbagai golongan.

Syahwat adalah antara fitnah paling besar menimpa ramai manusia. Hanya iman dan takwa sahaja yang mampu membendungnya.

Sekiranya syaitan sedang kuat membisikkan hasutannya kepada kita, ingatlah nasihat ini:

1. Allah Maha Melihat akan setiap apa yang kita lakukan.

أَلَمۡ يَعۡلَم بِأَنَّ ٱللَّهَ يَرَىٰ

“Tidakkah dia mengetahui bahawa Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?” [al-‘Alaq: 14].

Adakah kita berani untuk melakukan maksiat terkutuk itu sekiranya ada CCTV berdekatan? Tidakkah kita merasakan Allah Yang Maha Melihat sedang memerhatikan?

2. Menjauhi perkara-perkara yang mengundang syahwat, seperti menjaga pandangan dan pergaulan.

وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang sangat keji” [al-Isra’: 32].

Kebiasaannya syahwat akan sukar dibendung apabila ‘trigger’nya tidak dijaga. Seperti orang yang lalu di hadapan kedai Famous Amous atau Roti Boy, dari asalnya tiada niat untuk membeli, tapi sebab tak tahan bau, terus terbeli.

3. Ingat akan balasan Allah yang sangat ngeri bagi mereka yang menyalah gunakan nafsu seksualnya.

وَٱلَّذِينَ لَا يَدۡعُونَ مَعَ ٱللَّهِ إِلَـٰهًا ءَاخَرَ وَلَا يَقۡتُلُونَ ٱلنَّفۡسَ ٱلَّتِى حَرَّمَ ٱللَّهُ إِلَّا بِٱلۡحَقِّ وَلَا يَزۡنُونَ‌ۚ وَمَن يَفۡعَلۡ ذَٲلِكَ يَلۡقَ أَثَامً۬ا (*) يُضَـٰعَفۡ لَهُ ٱلۡعَذَابُ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ وَيَخۡلُدۡ فِيهِۦ مُهَانًا

“Dan mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak) dan tidak pula berzina dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya. Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat dan dia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan” [al-Furqan: 68-69].

Dalam banyak hadis menceritakan balasan bagi penzina di neraka kelak, iaitu mereka akan dipanggang di ketuhar panas, badan mereka berbau sangat busuk dan cecair yang sangat banyak dan busuk sehingga mengganggu penghuni neraka lain (lihat hadis riwayat al-Bukhari, Ahmad dan al-Nasai).

Jika sudah sedemikian dahsyatnya balasan buat penzina yang saling rela merelakan, apatah lagi yang meragut maruah seorang wanita muslimah secara paksa??

4. Beringat bahawa keseronokan syahwat itu sangat sebentar dan hanya sementara. Berbaloikah ia dibayar dengan hukuman berat baik di dunia atau di akhirat kelak?

Ingatlah, maut yang sangat menyakitkan boleh menjemput bila-bila masa sahaja.

Dalam sebuah hadis Hasan riwayat al-Tabarani: “Antara tanda kiamat ialah berlakunya banyak kematian mengejut”.

Bayangkan ketika kita sedang ‘berseronok’ dengan dosa, tiba-tiba maut datang ‘memberi salam’??

Semoga Allah pelihara kita semua dari segala fitnah dan bisikan jahat syaitan yang direjam.

Sumber : facebook Dr Kamilin Jamilin


Back To Top