skip to Main Content
HUKUM MEMULAKAN SOLAT SUNAT SEBAIK IQAMAH DILAUNGKAN

Soalan :

Assalamu’alaikum tuan, kalau saya agak terlewat untuk melaksanakan solat sunat subuh, bolehkah saya melakukannya sebaik sahaja muazzin iqamah ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Solat sunat sebelum subuh merupakan antara solat sunat ratibah yang amat dituntut untuk dibuat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنَ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا

Maksudnya : Dua rakaat fajar adalah lebih baik daripada dunia dan semua yang terdapat di dalamnya.

Riwayat Muslim (725)

Hadis di atas jelas dalam menggambarkan kelebihan mendirikan solat sunat sebelum subuh adalah amat besar dan menjadi tuntutan untuk kita sebagai umat Islam memelihara ibadah ini. Bahkan kata Ummu al-Mu’minin A’isyah R.A : ‘’Aku tidak pernah melihat bahawa Rasulullah S.A.W lebih bersegera ke arah mengerjakan solat-solat sunat melainkan dua rakaat sebelum subuh’’.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa telah tsabit larangan daripada syarak untuk seseorang itu memulakan solat sunat sebaik sahaja solat fardhu telah didirikan. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

إِذَا أُقِيمَتِ الصَّلاَةُ فَلاَ صَلاَةَ إِلاَّ الْمَكْتُوبَةُ

Maksudnya : Apabila solat telah didirikan maka tidak ada solat melainkan hanya solat fardhu.

Riwayat Muslim (710)

Maka berdasarkan hadis di atas, dapat difahami dengan dua maksud iaitu apabila imam telah mula mendirikan solat atau ketika iqamah telah dilaungkan, maka makruh untuk dimulakan kesemua solat sunat, sama ada solat sunat ratibah ataupun selainnya. Ini kerana, melaksanakan yang fardhu itu adalah lebih afdhal.

 

 

Imam Al-Nawawi rahimahullah dalam mengulas isu ini beliau berkata :

ولا يبتدىء نفلا بعد شروعه فيها

Maksudnya : Dan tidak boleh untuk seseorang itu memulakan solat sunat sebaik sahaja (muazzin) mula melaungkan iqamah. Rujuk Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (Hlm. 41).

Dalil yang menunjukkan bahawa larangan mendirikan solat sunat sebaik solat fardhu telah didirikan itu membawa kepada hukum makruh dan bukannya haram, adalah berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Malik bin Buhainah R.A beliau berkata :

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِرَجُلٍ يُصَلِّي وَقَدْ أُقِيمَتْ صَلاَةُ الصُّبْحِ فَكَلَّمَهُ بِشَىْءٍ لاَ نَدْرِي مَا هُوَ فَلَمَّا انْصَرَفْنَا أَحَطْنَا نَقُولُ مَاذَا قَالَ لَكَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ قَالَ لِي يُوشِكُ أَنْ يُصَلِّيَ أَحَدُكُمُ الصُّبْحَ أَرْبَعًا

Maksudnya : Rasulullah S.A.W pada suatu hari melewati seorang lelaki yang sedang mendirikan solat dalam keadaan solat subuh telah bermula untuk didirikan. Lalu baginda berkata sesuatu kepada lelaki tersebut namun kami tidak ketahui apa yang baginda katakan. Sebaik sahaja kami selesai, kami mengelilingi lelaki tersebut lalu kami bertanya : Apakah yang Rasulullah katakan kepada kamu ? Maka lelaki itu berkata : Baginda menyatakan, takut-takut salah seorang dari kamu melaksanakan solat subuh sebanyak empat rakaat.

Riwayat Muslim (711)

Maka hadis ini menunjukkan, sekiranya perbuatan tersebut adalah haram, nescaya Rasulullah S.A.W akan melarangnya serta menyuruh lelaki tersebut memberhentikan solat. Maka teralihlah hukum larangan daripada asalnya haram, kepada hukum makruh dalam isu ini.

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum seseorang itu memulakan solat sunat sebaik sahaja iqamah dilaungkan adalah makruh, sama ada ia merupakan solat sunat ratibah atau selainnya. Kami turut menyatakan, sekiranya anda merupakan seorang yang sentiasa melazimi solat sunat subuh, kemudian pada keadaan tertentu anda lewat dari mengerjakannya dan solat subuh telah pun didirikan, maka boleh sahaja anda melakukan solat sunat qabliyah subuh sesudah solat subuh selesai dilaksanakan. Ini kerana, perbuatan ini sabit daripada Rasulullah S.A.W bahawa baginda turut melakukan seperti itu.

Meskipun begitu, sekiranya seseorang itu telah pun berada di dalam solat sunat, kemudian iqamah dilaungkan, maka boleh untuk dia meneruskan solat sekiranya dia tidak risau akan terluputnya (tidak sempat) untuk solat berjemaah. Ini seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi :

فإن كان فيه أتمه إن لم يخش فوت الجماعة

Maksudnya : Sekiranya dia berada di dalamnya (solat sunat), hendaklah dia sempurnakannya sekiranya tidak dikhuatiri akan terlepasnya solat berjemaah. Rujuk Minhaj Al-Thalibin, Al-Nawawi (Hlm. 41).

Akhir kalam, kami berdoa semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

 


Sumber: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4027-al-kafi-1544-hukum-memulakan-solat-sunat-sebaik-iqamah-dilaungkan

Back To Top


Experience the unforgetable Experience


Copyright © BIZMILLA TRAVEL & TOURS [F]