SOALAN
Apakah keistimewaan al-Quran?
JAWAPAN
Oleh kerana al-Quran adalah kalam Allah, maka sudah tentu mempunyai pelbagai jenis keistimewaan dan mukjizatnya berbanding dengan kalam makhluk yang lain. Sebagai muqaddimah jawapan, kami menyebut beberapa ayat yang menunjukkan keistimewaan al-Quran, antaranya:
Pertama: Firman Allah SWT:
الر كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِنْ لَدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ
Maksudnya: Alif, Laam, Raa’. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu. (Susunan dan penjelasan itu) adalah dari sisi Allah Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
(Surah Hud: 1)
Kedua: Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِالذِّكْرِ لَمَّا جَاءَهُمْ وَإِنَّهُ لَكِتَابٌ عَزِيزٌ ﴿٤١﴾ لا يَأْتِيهِ الْبَاطِلُ مِنْ بَيْنِ يَدَيْهِ وَلا مِنْ خَلْفِهِ تَنزِيلٌ مِنْ حَكِيمٍ حَمِيدٍ
Maksudnya: Sesungguhnya orang yang kufur terhadap al-Quran ketika sampai kepada mereka, akan diazab. Dan sesungguhnya ia sebuah Kitab Suci yang mulia. Yang tidak dapat didatangi sebarang kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan dari Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.
(Surah Fussilat: 41-42)
Ketiga: Firman Allah SWT:
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ يَهْدِي لِلَّتِي هِيَ أَقْوَمُ وَيُبَشِّرُ الْمُؤْمِنِينَ الَّذِينَ يَعْمَلُونَ الصَّالِحَاتِ أَنَّ لَهُمْ أَجْراً كَبِيراً
Maksudnya: Sesungguhnya al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (Agama Islam), dan memberikan berita yang menggembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar.
(Surah Isra’: 9)
Keempat: Firman Allah SWT:
وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيداً عَلَيْهِمْ مِنْ أَنفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيداً عَلَى هَؤُلاء وَنَزَّلْنَا عَلَيْكَ الْكِتَابَ تِبْيَاناً لِكُلِّ شَيْءٍ وَهُدًى وَرَحْمَةً وَبُشْرَى لِلْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Dan (ingatkanlah tentang) hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka, dari golongan mereka sendiri; dan Kami datangkan (wahai Muhammad) untuk menjadi saksi terhadap mereka ini (umatmu); dan kami turunkan kepadamu al-Qurah menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang menggembirakan, bagi orang-orang Islam.
(Surah al-Nahl: 89)
Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya bertajuk Kaifa Nata’amal Ma’a al-Quran al-Azim? menyebut tujuh keistimewaan al-Quran iaitu:
- Al-Quran adalah kitab Ilahi
- Al-Quran adalah kitab mahfuz (terpelihara)
- Al-Quran adalah kitab mukjizat
- Al-Quran adalah penerangan dan kemudahan
- Al-Quran adalah kitab agama keseluruhannya
- Al-Quran adalah kitab zaman keseluruhannya
- Al-Quran adalah kitab insaniah keseluruhannya
Kami menukilkan pendapat al-Syahid Hasan al-Banna menyebut: “Al-Quran al-Karim adalah sebuat perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.”
Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللهِ تَعَالَى فَتَعَلَّمُوا مِنْ مَأْدُبَتِهِ مَا اسْتَطَعْتُمْ، إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، وَهُوَ النُّورُ الْمُبِينُ، وَالشِّفَاءُ النَّافِعُ، عِصْمَةُ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ، وَنَجَاةٌ لِمَنْ تَبِعَهُ، لاَ يَعْوَجُّ فَيُقَوَّمُ، لاَ يَزِيغُ فَيُسْتَعْتَبُ، وَلاَ تَنْقَضِي عَجَائِبُهُ، وَلاَ يَخْلَق عَنْ كَثْرَةِ الرَّدِّ فَاتْلُوهُ، فَإِنَّ اللهَ يَأْجُرَكُمْ عَلَى تِلاَوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرَ حَسَنَاتٍ، أَمَا إِنِّي لاَ أَقُولُ لَكُمْ الم حَرْفٌ، وَلَكِنْ أَلِفٌ عَشْرٌ، وَلاَمٌ عَشْرٌ، وَمِيمٌ عَشْرٌ
Maksudnya: “Al-Quran ini adalah hidangan Allah SWT. Oleh itu hadaplah hidangan Allah itu sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutinya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, maka akan memberikan kamu ganjaran jikan kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh. ganjaran. Saya tidak katakan Alif Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif sepuluh dan laam sepuluh dan miim sepuluh.”
Riwayat al-Hakim dalam Mustadrak
(1/555) dan Fadhail al-Quran oleh Ibn Kathir
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
27 Syawal 1436H bersamaan 12 Ogos 2015
Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1910-irsyad-fatwa-ke-68-keistimewaan-al-quran