skip to Main Content

Mahu tahu kisah kematian seorang ulama hadis yang dikenali sebagai Abu Zur’ah al-Razi?

Imam Al-Khatib Al-Baghdadi meriwayatkan kisah ini dengan sanadnya di dalam Tarikh Baghdad.

Abu Ja’far al-Tustariy berkata:

حَضَرْتُ أَبَا زُرْعَةَ ، يَعْنِي الرَّازِيَّ ، بِمَاشَهْرَانَ ، وَكَانَ فِي السَّوْقِ ، وَعِنْدَهُ أَبُو حَاتِمٍ ، وَمُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمٍ ، وَالْمُنْذِرُ بْنُ شَاذَانَ ، وَجَمَاعَةٌ مِنَ الْعُلَمَاءِ ،
Aku hadir menziarah Abu Zur’ah al-Razi di Maasyahraan. Ketika itu beliau dalam keadaan nazak. Bersama-sama beliau ialah Abu Hatim, Muhammad bin Muslim, Al-Munzir bin Syaazaan, dan sekumpulan ulama’.

فَذَكَرُوا حَدِيثَ التَّلْقِينِ وَقَوْلَهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ ” . قَالَ : فَاسْتَحْيَوْا مِنْ أَبِي زُرْعَةَ وَهَابُوا أَنْ يُلَقِّنُوهُ ،
Mereka berbincang tentang hadis talqin dan sabda baginda: Talqinkan mereka yang akan mati kalimah La Ilaaha Illa Allah. Abu Ja’far berkata: Mereka berasa malu kepada Abu Zur’ah dan terlalu menghormatinya untuk mentalqinkan beliau.

 

 

فَقَالُوا : تَعَالَوْا نَذْكُرُ الْحَدِيثَ ، فَقَالَ مُحَمَّدُ بْنُ مُسْلِمٍ : حَدَّثَنَا الضَّحَّاكُ بْنُ مَخْلَدٍ ، عَنْ عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحٍ ، وَجَعَلَ يَقُولُ ، وَلَمْ يُجَاوِزْ .
Lalu mereka berkata: Mari kita berbincang tentang hadis. Lalu Muhammad bin Muslim berkata: Ad-Dhahhak bin Makhlad menyampaikan kepada kami daripada ‘Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh. Muhammad bin Muslim tidak meneruskan (membaca sanad itu).

وَقَالَ أَبُو حَاتِمٍ : حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ ، قَالَ : حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ ، عَنْ عَبْدِ الْحَمِيدِ بْنِ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحٍ ، وَلَمْ يُجَاوِزْ . وَالْبَاقُونَ سَكَتُوا ،
Abu Hatim pula menyampuk: Bundar menyampaikan kepada kami bahawa Abu ‘Ashim menyampaikan kepada kami daripada ‘Abdul Hamid bin Ja’far daripada Soleh. Abu Hatim juga tidak meneruskan (membaca sanad itu). Ulama-ulama yang lain yang ada mendiamkan diri.

فَقَالَ أَبُو زُرْعَةَ ، وَهُوَ فِي السَّوْقِ : حَدَّثَنَا بُنْدَارٌ ، قَالَ : حَدَّثَنَا أَبُو عَاصِمٍ ، قَالَ : حَدَّثَنَا عَبْدُ الْحَمِيدِ بْنُ جَعْفَرٍ ، عَنْ صَالِحِ بْنِ أَبِي عَرِيبٍ ، عَنْ كَثِيرِ بْنِ مُرَّةَ الْحَضْرَمِيِّ ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ” مَنْ كَانَ آخِرُ كَلامِهِ لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ ” . .
Lalu Abu Zur’ah yang sedang berada dalam keadaan nazak berkata: Bundar telah menyampaikan kepada kami bahawa Abu ‘Ashim telah menyampaikan kepada kami bahawa ‘Abdul Hamid bin Ja’far telah menyampaikan kepada kami daripada Soleh bin Abi ‘Arib daripada Katsir bin Murrah al-Hadhramiy daripada Mu’az bin Jabal radiallahu ‘anhu, beliau berkata: Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: Sesiapa yang akhir kalamnya ialah Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah maka dia akan masuk syurga.

وَتُوُفِّيَ رَحِمَهُ اللَّهُ
Lalu Abu Zur’ah al-Razi rahimahullah pun meninggal dunia (selepas membaca hadis itu).

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada kita semua.

 


Sumber : Ust Mohd Masri Mohd Ramli

Back To Top