Mukadimah
Baru-baru ini, kami mendapat berita berkenaan isu seorang wanita yang mendakwa bahawa dirinya menjadi imam kepada suami dan juga ahli keluarganya. Kami merasa terpanggil untuk memberikan penjelasan dalam siri Bayan Linnas pada kali ini.
Tiada ungkapan yang paling baik melainkan ungkapan yang menyeru kepada Islam. Tidak ada usaha yang paling murni melainkan usaha menjelaskan kekeliruan umat terhadap isu-isu semasa yang melingkari hidup mereka.
رَبَّنَا افْتَحْ بَيْنَنَا وَبَيْنَ قَوْمِنَا بِالْحَقِّ وَأَنتَ خَيْرُ الْفَاتِحِينَ
“Ya Allah bukalah antara kami dan kaum kami dengan kebenaran. Sesungguhnya kamulah sebaik-baik Pembuka.”
Semoga penjelasan ini dapat memberikan keterangan yang jelas lagi nyata kepada semua masyarakat dan semoga dengannya juga dapat dijadikan iktibar.
Pertama: Keadilan Bagi Wanita
Lelaki dan wanita mempunyai rangka biologi yang tidak sama. Ketidaksamaan ini merupakan kehendak Allah Maha Pencipta yang berhak menentukan bentuk ciptaanNya. Perbezaan ini pasti mempunyai hikmat tersendiri kerana Allah bersifat Maha Bijaksana.
Perbezaan bentuk biologi inilah yang menjadikan hanya wanita yang layak untuk melahir dan menyusukan anak. Tugas ini merupakan tugas yang besar demi menjamin kelangsungan zuriat manusia. Dia terpaksa menanggung azab dan sengsara berbulan-bulan lamanya menanti kelahiran si kecil. Seterusnya bersengkang mata pula melayan kerenah si kecil yang mahukan susu dan belaian mesra.
Perbezaan biologi lelaki tidak mengizinkan mereka melakukan tanggungjawab tersebut, meskipun mereka menangis hingga keluar air mata darah dan merayu untuk melakukannya. Justeru mereka diberi tanggungjawab lain, iaitu menyediakan nafkah untuk isteri dan anak. Allah berfirman :
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “ Dan ke atas lelaki yang dilahirkan anak untuknya menyediakan nafkah rezeki dan juga memberi pakaian kepada mereka (iaitu wanita yang melahirkan anak) dengan cara yang baik”
(Al-Baqarah:233)
Inilah keadilan Islam. Keadilan tidak bererti memberikan kesamarataan melakukan kewajipan. Tetapi meletakkan sesuatu tanggungjawab dan kewajipan pada tempatnya yang layak.
Wanita tidak diberi tanggungjawab menyediakan nafkah keluarga kerana dia sendiri sudah mempunyai tanggungjawab besar yang amat berat iaitu melahirkan cahaya mata, penyeri suasana bagi keluarga. Namun, Islam membenarkan wanita untuk bekerja, berganding bahu dengan suami mencari nafkah. Mungkin dengan niat membantu suami. Dengan tambahan tugas bagi perempuan ini, keharmonian keluarga sudah tentu bergantung kepada kebijaksanaan suami dan isteri melayari perkahwinan setelah itu.
Kedua: Keistimewaan Wanita
Antara keistimewaan rangka biologi wanita ialah kecantikan dan keindahan yang dibekalkan oleh Allah hingga Al-Quran mengungkapkannya sebagai “perhiasan”. Perhiasan ini merupakan keistimewaan yang diberikan oleh Allah untuk memudahkan wanita menjalankan tanggungjawab berkeluarga sebagai penyeri kepada hubungan suami isteri yang akhirnya akan menjadi pemangkin kepada hubungan jenis yang menjamin kelangsungan zuriat manusia.
“Perhiasan” ini bukannya untuk tatapan sebarangan manusia. Ia khusus untuk suami yang tercinta yang menjadi pasangan melayari bahtera kehidupan yang bahagia. Namun hakikat ini amat sukar diterima oleh golongan yang mendakwa kononnya mereka adalah modenis yang mengikut perkembangan zaman. Bagi mereka apa salahnya orang luar, selain daripada suami mengecapi dan menikmati keindahan yang ada mereka. Maka berlakulah mukaddimah-mukaddimah zina yang akhirnya menjurus kepada zina yang terkutuk.
“Perhiasan” ini mampu menggoda insan-insan lain yang tidak berkaitan. Naluri tergoda dengan kecantikan wanita sememangnya naluri yang normal ada pada diri lelaki. Itulah pemangkin untuk mewujudkan hubungan jenis antara lelaki dan wanita hingga boleh melahirkan zuriat.
Justeru, perhiasan indah ini perlu dijaga dan dipelihara kerana ia merupakan sesuatu yang tak dapat dinilai dengan wang ringgit. Kerana itu, Islam meletakkan pelbagai peraturan untuk memelihara “perhiasan” ini daripada dicemari atau dirosakkan oleh mereka yang berjiwa kotor atau yang diistilahkan kini sebagai “pengganggu seks”.
Antara peraturan pemeliharaan tersebut ialah berpakaian menutup aurat, batasan hubungan antara lelaki dan perempuan dan adab berbicara antara lelaki dan perempuan.
Dalam solat pula, wanita diletakkan di belakang saf lelaki agar ia tidak menjadi tontotan lelaki yang pasti mengambil peluang menikmati keindahan “perhiasan” di hadapan matanya. Akibatnya, pemikirannya merayau kepada gambaran-gambaran seks. Tumpuan yang patut diberikan kepada Allah dalam solat telah beralih kepada yang lain.
Adakah wanita merasa selesa dengan keadaan ini? Naluri kewanitaannya menjadikan dirinya merasa malu menjadi bahan tontonan seumpama ini, apatah lagi di satu majlis ibadah yang bertujuan bermunajat kepada Allah. Inilah hikmah wanita diletakkan dibelakang. Apatah lagi sekiranya wanita menjadi imam solat. Ia tidak sewajarnya berlaku. Dan itulah yang telah ditetapkan oleh Syara’.
Inilah yang dikatakan oleh Dr. Yusuf Qaradhawi sebagai “Islam agama realiti”. Islam memahami realiti jiwa lelaki yang pasti tergoda dengan “perhiasan” wanita. Justeru keadaan ini perlu dipelihara terutama dalam ibadah seumpama solat.
Gerakan menuntut hak wanita bermula di negara barat. Rata-rata mereka beragama Kristian. Tapi, pernahkah wanita di dalam agama Kristian meminta untuk menjadi paderi yang mengetuai solat mereka setiap hari Ahad? Pernahkah wanita-wanita Hindu dan Buddha menuntut menjadi sami yang mengetuai sebarang uapacara keagamaan dalam kuil-kuil mereka?
Justeru, tindakan wanita Islam menuntut persamaan hak untuk menjadi imam solat kepada lelaki merupakan suatu yang memalukan. Ia pasti menjadi bahan ketawa wanita-wanita bukan Islam.
Ketiga: Logik Akal Atau Iman?
Ibadah khusus dalam Islam seperti solat, puasa, zakat dan haji diterima berdasarkan keimanan dan kepercayaan, bukannya berdasarkan logik akal yang dalam banyak keadaan amat terbatas kemampuan berfikir dan keilmuannya.
“Iman” bererti membenarkan dan membenarkan segala perkhabaran ghaib dari Allah dan Rasul menerusi Al-Quran dan Sunnah baginda. Pengesahan itu diungkapkan dengan lidah dan dibuktikan dengan tindakan menerusi kepatuhan kepada hukum-hakam dan peraturan.
Dia meyakini bahawa TuhanNya adalah Allah, Tuhan Yang Esa dan Muhammad Rasulullah sallallahu alaihi wasallam adalah utusanNya kepada umat manusia bagi menyampaikan risalah Tuhan.
Rentetan itu, dia juga meyakini bahawa Allah dan RasulNya telah menetapkan beberapa kewajipan beragama yang perlu dilakukan oleh setiap muslim sebagai tanda keimanan. Di sinilah ujian berlaku samada mampu ditaati atau diengkari. Bagi mereka yang berjaya mentaati segala perintah, ganjarannya adalah syurga. Sebaliknya bagi mereka yang gagal dengan engkar, balasannya ialah neraka.
Keempat: Antara Hak Dan Kewajipan
Hukum-hakam solat telah ditetapkan oleh Allah menerusi RasulNya Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Ia merupakan kewajipan setiap muslim yang mesti ditunaikan kepada Allah. Segala peraturan solat yang ditetapkan oleh Allah samada peraturan solat bersendirian atau solat berjemaah perlu ditunaikan sebagai satu kewajipan beragama. Ia bukannya persoalan hak manusia. Justeru tidak patut timbul persoalan hak wanita untuk mengimami solat sebagaimana yang didakwa oleh golongan ini.
Kedudukan lelaki sebagai imam solat lelaki dan wanita adalah kewajipan yang mesti ditunaikan oleh lelaki. Kewajipan itu tidak dibebankan kepada wanita. Apabila wanita ingin solat berjemaah bersama lelaki, lelaki diletakkan kewajipan untuk menjadi imam. Kenapa pula ada kalangan para wanita terhegeh-hegeh untuk meminta kewajipan itu dibebankan ke atas dirinya? Ini bukan persoalan hak lelaki atau wanita, tetapi persoalan kewajipan yang mesti ditunaikan kepada Allah. Kekeliruan dalam membezakan antara hak dan kewajipan mendorong golongan ini menuntut sesuatu yang bukan hak.
Kelima: Hukum Imam Wanita Kepada Lelaki
Walaupun sudah dibincangkan di dalam syarat-syarat imam dan makmum, tetapi di sini akan ditafsirkan perbincangan ini secara melebar, mengikut riwayat hadis dan juga pendapat ulama’ daripada kitab-kitab muktabar.
- Hadith Ibn Majah
Antaranya hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Majah:
لَا تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلًا
Maksudnya: Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam: “Perempuan jangan menjadi imam kepada seseorang lelaki”.
Riwayat Ibn Majah (1081)
- Hukum Hadis
Ulama’ berkata, sanad hadis ini wahin (lemah) kerana terdapat seorang rawi yang bernama Abdullah bin Muhammad al-‘Adawi daripada Ali bin Zaid al-Juda’an. ‘Adawi ini ditohmah oleh Waqi’ sebagai pendusta hadis, sedangkan syeikhnya dhaif (lemah). Walaupun begitu, terdapat jalan-jalan yang lain, padanya terdapat rawi yang bernama Abdul Malik bin Habib yang dia ditohmah mencuri hadis di samping menukarkan sanad-sanadnya. Justeru hadis ini dianggap sebagai dhaif.
Al-Imam Syauqani berkata : “Hadis Jabir ini terdapat sanad yang bernama Abdullah bin Muhammad al-Tamimi yang dianggap lemah.”
- Kata al-Imam al-Bukhari : Mungkar Hadis.
- Ibn Hibban pula berpendapat : Tidak harus berhujah dengannya.
- Waki’ pula berkata : Ia memalsukan hadis.
- Ibn Abd al-Bar berkata : bahawa Abdul Malik yang tersebut selemah-lemah sanad dalam hadis ini.
Telah thabit dalam kitab ramai di kalangan imam-imam Ahli Bait seperti Ahmad bin Isa, al-Mu’ayyad Billah, Abi Talib, Ahmad bin Sulaiman, al-Amir Hussein dan lain daripada mereka daripada Ali secara marfu’. Lihat (Nail al-Awtar 3/163)
- Hukum Feqah Daripada Hadis Ini
Imam al-San’ani di dalam Subul al-Salam (2/47) berkata: Hadis ini menunjukkan bahawa perempuan tidak layak menjadi imam kepada lelaki. Inilah mazhab Hadawiah, Hanafiah, Syafi’iyyah dan lainnya. Sedangkan al-Muzani dan Abu Thur mengharuskan imam perempuan kepada lelaki.
Begitu juga al-Tabari mengharuskannya pada solat tarawih selama mana tidak terdapat lelaki yang menghafaz al-Quran. Hujah mereka bersandarkan kepada hadis Ummu Waraqah.
Mereka juga menanggung bahawa larangan ini merupakan sekadar larangan tanzih sahaja atau mereka berkata bahawa hadis ini dhaif.
- Pendapat Fuqaha
Seterusnya dinaqalkan pendapat beberapa ulama’ yang mengatakan tidak harus imam perempuan ke atas lelaki.
i. Imam al-Syafie berkata di dalam kitabnya al-Umm (1/191)
وَإِذَا صَلَّتْ الْمَرْأَةُ بِرِجَالٍ وَنِسَاءٍ وَصِبْيَانٍ ذُكُورٍ فَصَلَاةُ النِّسَاءِ مُجْزِئَةٌ وَصَلَاةُ الرِّجَالِ وَالصِّبْيَانِ الذُّكُورِ غَيْرُ مُجْزِئَةٍ؛ لِأَنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ جَعَلَ الرِّجَالَ قَوَّامِينَ عَلَى النِّسَاءِ وَقَصَرَهُنَّ عَنْ أَنْ يَكُنَّ، أَوْلِيَاءَ وَغَيْرَ ذَلِكَ وَلَا يَجُوزُ أَنْ تَكُونَ امْرَأَةٌ إمَامَ رَجُلٍ فِي صَلَاةٍ بِحَالٍ أَبَدًا وَهَكَذَا لَوْ كَانَ مِمَّنْ صَلَّى مَعَ الْمَرْأَةِ خُنْثَى مُشْكِلٌ لَمْ تَجْزِهِ صَلَاتُهُ مَعَهَا وَلَوْ صَلَّى مَعَهَا خُنْثَى مُشْكِلٌ وَلَمْ يَقْضِ صَلَاتَهُ حَتَّى بَانَ أَنَّهُ امْرَأَةٌ أَحْبَبْت لَهُ أَنْ يُعِيدَ الصَّلَاةَ وَحَسِبْت أَنَّهُ لَا تُجْزِئُهُ صَلَاتُهُ؛ لِأَنَّهُ لَمْ يَكُنْ حِينَ صَلَّى مَعَهَا مِمَّنْ يَجُوزُ لَهُ أَنْ يَأْتَمَّ بِهَا.
Maksudnya: Apabila menjadi imam seorang wanita kepada kumpulan lelaki, wanita dan kanak-kanak lelaki, nescaya solat perempuan tadi sah dan memadai, manakala sebaliknya solat kumpulan lelaki dan kanak-kanak lelaki tidak sah dan memadai kerana Allah menjadikan lelaki-lelaki pemimpin bagi kaum wanita, juga kerana dihadkan wanita daripada menjadi wali, dan kerana sebab-sebab yang lain. Tidak harus juga perempuan menjadi imam kepada lelaki pada solat apa jua sekalipun. Dan begitulah, kalau sesiapa yang sembahyang bersama perempuan seperti khunsa musykil, nescaya tidak memadai solatnya bersama perempuan tadi. Kalau solat bersamanya khunsa musykil dan tidak selesai solatnya sehingga nyata bahawa ia perempuan, aku lebih suka baginya untuk dia mengulangi solat. Dan aku mengira bahawa tidak memadai solatnya itu kerana dia tidak tergolong di kalangan orang yang boleh berimamkan perempuan tersebut ketika dia mengerjakan solat tersebut.
ii. Iman al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmuk 4/96:
فلا تصح إمامة المرأة والخنثى للرجال، لا في فرض ولا في نفل. أما إن كان المقتدي نساء فلا تشترط الذكورة في إمامهن عند الشافعية والحنابلة، فتصح إمامة المرأة للنساء عندهم، بدليل ما روي عن عائشة وأم سلمة وعطاء: أن المرأة تؤم النساء، وروى الدارقطني عن أم ورقة: أنه صلّى الله عليه وسلم «أذن لها أن تؤم نساء دارها». ولا تكره عند الشافعية جماعة النساء، بل تستحب وتقف وسطهن
Maksudnya: Maka tidak sah imam perempuan dan khunsa kepada lelaki, samada sembahyang fardhu atau sunat. Adapun jika yang mengikuti itu perempuan, maka tidak disyaratkan lelaki untuk menjadi imam mereka di sisi Syafi’iyyah dan Hanabilah. Justeru, sah imam perempuan kepada perempuan sahaja di sisi mereka berdasarkan dalil apa yang diriwayatkan daripada Aisyah, Ummu Salamah dan ‘Ata’ “bahawa perempuan boleh menjadi imam kepada wanita-wanita”
Begitu juga sebagaiman riwayat al-Daruqutdni daripada Ummu Waraqah bahawa “Nabi s.a.w mengizinkannya untuk menjadi imam kepada wanita-wanita rumahnya (ahli keluarga)”.
Dan tidak makruh di sisi Syafi’iyyah berjamaah di kalangan wanita, bahkan sunat, dan imam hendaklah berdiri di hadapan tengah mereka (sekadar terkeluar ke hadapan sedikit daripada saf pertama)
iii. Begitu juga apa yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah di dalam kitabnya al-Mughni (1/202)
Katanya; “Diriwayatkan daripada Ahmad dua riwayat”.
iv. Mengikut di dalam al-Syarh al-Saghir 1/433:
ولا تصح إمامة النساء عند المالكية، وتشترط الذكورة في الإمام
Maksudnya: Dan tidak sah imam perempuan di sisi mazhab Maliki dan disyaratkan lelaki pada masalah menjadi imam.
v. Pendapat Hanafiah
يكره تحريماً جماعة النساء وحدهن بغير رجال ولو في التراويح، في غير صلاة الجنازة، فلاتكره فيها؛ لأنها فريضة غير مكررة، فإن فعلن وقفت الإمام وسطهن كما يصلى للعراة. ودليل الكراهة: قوله صلّى الله عليه وسلم: صلاة المرأة في بيتها أفضل من صلاتها في حجرتها، وصلاتها في مخدعها أفضل من صلاتها في بيتها
Maksudnya: Dan berkata ulama’ Hanafi: Makruh secara tahrim jamaah kalangan wanita sahaja tanpa disertai lelaki, sekalipun pada solat terawih. Berbeza dengan solat jenazah, tidak makruh berjamaah bagi wanita sahaja kerana ia fardhu yang tidak diulang-ulang. Kalau mereka lakukannya, hendaklah imam berdiri di tengah-tengah mereka pada saf hadapan sebagaimana keadaan solat orang-orang yang telanjang. Dan dalil makruh ialah sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bermaksud:
“Solat perempuan di rumahnya lebih afdhal daripada solatnya di biliknya dan solatnya di biliknya lebih afdhal daripada solatnya di rumahnya”.
ولأنه يلزمهن أحد محظورين: إما قيام الإمام وسط الصف، وهو مكروه، أو تقدم الإمام، وهو أيضاً مكروه في حقهن، فصرن كالعراة لم يشرع في حقهن الجماعة أصلاً، ولهذا لم يشرع لهن الأذان، وهو دعاء إلى الجماعة، ولولا كراهية جماعتهن لشرع.
Maksudnya: Dan kerana mereka berhadapan dengan salah satu daripada dua larangan, samada imam berdiri di tengah-tengah saf, hukumnya makruh, atau dikehadapankan imam, juga hukumnya makruh pada hak mereka. Justeru itu, sepertimana hukum orang-orang yang bertelanjang asalnya, tidak disyariatkan kepada mereka berjemaah. Kerana itulah juga tidak disyariatkan bagi mereka melaungkan azan sebagai seruan memanggil solat Jemaah. Kalau tidak kerana makruhnya mereka solat berjemaah, nescaya azan itu juga disyariatkan.
كما يكره عندهم حضورهن الجماعة مطلقاً ولو الجمعة والعيد والوعظ ليلاً، أما نهاراً فجائز إن أمنت الفتنة، على المذهب المفتى به كما بينا سابقاً، وتكره أيضاً إمامة الرجل لهن في بيت ليس معهن رجل غيره، ولا محرم منه كأخته أو زوجته، فإذا كان معهن واحد ممن ذكر، أو أمهن في المسجد، لا يكره، وهذا موافق لمذهب الحنابلة؛ لأنه صلّى الله عليه وسلم «نهى أن يخلو الرجل بالأجنبية» ولما فيه من مخالطة الوسواس.
Maksudnya: Demikian juga dimakruhkan di sisi mereka, hadirnya perempuan berjemaah secara mutlak walaupun solat jumaat, hari raya dan peringatan atau majlis pengajaran waktu malam. Adapun siang hari hukumnya harus jika selamat daripada fitnah mengikut mazhab yang difatwa dengannya sebagaimana kami nyatakan sebelumnya. Dan makruh juga seorang lelaki mengimamkan wanita-wanita sahaja di rumah yang tiada bersama mereka lelaki lain. Juga lelaki itu tak ada mahram seperti sedara perempuannya atau isterinya. Jika bersama mereka seorang daripada lelaki atau dia adalah mahram salah seorang wanita di situ atau diimamkan di masjid, nescaya tidaklah makruh. Ini berbetulan dengan mazhab Hanbali kerana Nabi sallallhu alaihi wasallam “melarang berkhalwat seorang lelaki dengan wanita ajnabiah”. Juga kerana percampuran dan pergaulan lelaki dan perempuan membawa kepada was-was.
vi. Juga Pendapat Hanafiah
لا يجوز للرجال أن يقتدوا بامرأة. وذلك للخبر: (( ألا ولا تؤمن امرأة رجلا )) وكذلك الخبر: (( أخروهن من حيث أخروهن الله )). وهذا يدل على وجوب تأخير المرأة في الصلاة. وهو نهي عن الصلاة خلفها وإلى جانبها أيضا، والنهي يقتضي فساد المنهي؛ ولأن في تأخيرها صيانة للصلاة عن الفساد
Maksudnya: Adapun Hanafiah mereka berpendapat : Tidak harus bagi lelaki mengikut imam wanita berdasarkan : ‘Ketahuilah, tidak boleh wanita menjadi imam kepada lelaki’. Begitu juga khabar (hadis) : “Letakkan mereka di barisan akhir sebagaimana Allah meletakkan mereka di barisan akhir.” (Hadis riwayat Abdul Razak) Ini menunjukkan bahawa wajib meletakkan wanita di barisan akhir ketika solat. Ia juga tegahan bagi lelaki solat di belakang dan di sisi wanita. Dan larangan tersebut membawa kepada apa yang dilarang. Tambahan lagi dengan meletakkan wanita di belakang boleh menjaga solat daripada rosak.
(Al Baniyah 2/328-329, Tuhfatu al-Fuqaha’ 1/359-360)
vii. Pendapat Malikiah
وأما المالكية فقالوا: يشترط لصحة الجماعة جملة شروط، من أهمها أن يكون الإمام رجلا. فلا تصح إمامة المرأة ولا خنثى مشكل في الفريضة ولا النافلة. سواء كان المأموم رجالا أو نساء، في الحضر أو السفر
Maksudnya: Adapun mazhab maliki berpendapat disyaratkan berjamaah dengan beberapa syarat. Antara yang utamanya bahawa hendaklah seorang imam lelaki. Justeru, tidak sah imam wanita dan khunsa musykil samada dalam solat fardhu atau sunat samada makmum itu lelaki-lelaki atau wanita-wanita ketika musafir atau tidak.
(Ashalu al-Madarik 1/ 241, Bulghatu al-Salik ‘ala Syarh al-Dardir 1/156)
viii. Pendapat Hanabilah
وأما الحنابلة فقالوا: لا تصح إمامة المرأة أو الخنثى برجال أو خناثي مطلقا
Maksudnya: Adapun Hanabilah mereka berpendapat: Tidak sah imam perempuan atau khunsa kepada lelaki atau khunsa dengan lelaki atau sesama khunsa.
(Ghayah al-Muntaha 1/197, al-Qawaid al-Nurainiah al-Fiqhiyyah hlm. 76)
ix. Pendapat Syafi’iyyah
وأما الشافعية فقالوا: لا يجوز للرجل بحال أن يصلي خلف المرأة أو الخنثى المشكل، سواء في ذلك صلاة الفريضة أو النفل. ولو صلى خلفها وهو لا يعلم أنها امرأة، ثم علم فيما بعد، لزمه الإعادة، وهو ما قاله أهل الظاهر.
Maksudnya: Adapun ulama’ Syafi’iyyah berkata : tidak harus bagi lelaki dalam apa jua keadaan pun solat di belakang (imam) perempuan atau khunsa musykil sama ada solat fardhu atau sunat. Kalau dia solat dibelakangnya sedangkan dia tidak tahu bahawa dia perempuan, kemudian baru tahu selepas solat, nescaya wajiblah ia ulangi. Inilah apa yang dikata oleh Ahli Zahir.
(Al-Majmu’ 4/255, al-Muhalla 4/219)
x. Pendapat Ulama’ Hadis
ولا نجد في مثل هذا الخبر ما يدل على صحة إمامة المرأة للرجل. والصحيح أن أم ورقة كانت تؤم النساء فقط. وفي هذا أخرج الدارقطني بإسناده عن أم ورقة أن رسول الله صلى الله عليه وسلم “أذن لها أن يؤذن لها ويقام وتؤم نساءها.
Maksudnya: Dan kami tidak dapati pada seumpama khabar ini yang menunjukkan sah imam perempuan kepada lelaki. Dan yang sahih bahawa hadis Ummu Waraqah yang menjadi imam hanya untuk perempuan sahaja.
(Al-Daruqutni 1/279, Sunan Abu Daud 1/161)
xi. Pendapat Imam al-Nawawi
Imam Nawawi berkata : “inilah yang dikeluarkan oleh al-Daraqutni dengan sanadnya daripada Ummu Waraqah bahawa Rasulullah sallalahu alaihi wasallam mengizinkan azan, iqamah an mejadi imam kepada wanita-wanita.
(Raudhahal-Talibin 1/145)
فَإِنْ كَانَ رَجُلًا، صَحَّ اقْتِدَاءُ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ بِهِ، وَإِنْ كَانَتِ امْرَأَةٌ، صَحَّ اقْتِدَاءُ النِّسَاءِ بِهَا، وَلَمْ يَصِحَّ اقْتِدَاءُ الرِّجَالِ وَلَا الْخُنْثَى.
Maksudnya: Jika imam seorang lelaki nescaya sah lelaki-lelaki dan perempuan beriman dengannya. Sebaliknya jika imam itu seorang perempuan hanya sah golongan perempuan sahaja mengikutinya dan tidak sah lelaki-lelaki dan juga khunsa mengikutinya.
Begitu juga yang dinaskan pada 1/352:
وَمِنْهَا لَوِ اقْتَدَى بِمَنْ ظَنَّهُ رَجُلًا، فَبَانَ امْرَأَةً أَوْ خُنْثَى، وَجَبَتِ الْإِعَادَةُ
Maksudnya: Antaranya kalau seseorang mengikuti imam yang disangkanya lelaki tetapi nyata sebenarnya perempuan atau khunsa maka wajiblah diulangi solat.
(Raudhah al-Talibin 1/352)
xii. Pendapat Imam Abu Ishak al-Syirazi
ولا يجوز للرجل أن يصلي خلف المرأة
Maksudnya: Dan tidak harus bagi lelaki solat dibelakang wanita (sebagai imam).
(Al- Muhazzab 1/184)
xiii. Pendapat Imam al-Kuhaji
ولا تصح قدوة رجل ولا خنثى بامرأة ولا خنثى لأن الأنثى ناقصة والخنثى المأموم يجوز أن يكون رجلا والإمام أنثى. وقد قال صلى الله عليه وسلم: “لن يفلح قوم ولو أمرهم امرأة
Maksudnya: Dan tidak sah lelaki dan khunsa mengikut imam perempuan dan juga kerana perempuan mempunyai kekurangan dan khunsa yang mejadi makmum berkemungkinan adalah lelaki sedangkan imam perempuan. Sesungguhnya Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda : “Tidak bahagia satu-satu kaum jika rakyat melantik perempuan sebagai ketua mereka.”
(Zad al-Muhtaj bi Syarh alMinhaj 1/270)
xiv. Pendapat Imam Abu Bakar bin Muhammad al-Husaini
Dan tidak boleh lelaki berimamkan dengan perempuan. Tidak sah lelaki megikut perempuan berdasarkan firman Allah Taala :
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
(Surah al-Nisa : 34)
Dan sabda Rasulullah sallallahu alaihi wassalam.
أَخِّرُوهُنَّ حَيْثُ أَخَّرَهُنَّ اللَّهُ
Maksudnya: “Letakkan mereka di barisan kemudian sebagaimana Allah letakkan mereka di barisan kemudian.”
Begitu juga dengan sabda Nabi Sallalahu alaihi wassallam :
أَلَا لَا تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلًا
Maksudnya: “ketahuilah tidak boleh perempuan menjadi imam kepada lelaki.”
Begitu juga dengan sabda Nabi Sallallahu alaihi wassalam:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً
Maksudnya: Tidak berbahagia sesuatu kaum yang melantik urusan mereka seorang wanita.
Ini kerana wanita merupakan aurat dan pada masalah menjadi imamnya kepada lelaki boleh membawa fitnah.
Keenam: Ringkasan Permasalahan Hukum Ini
Setelah dinyatakan hadis dan juga nas-nas para fuqaha’ daripada kitab masing-masing dapatlah dibahagikan hukum ini kepada dua pendapat :
- Harus seperti yang dipelopori oleh Imam al-Muzani dan Abu Thur. Begitu juga Imam al-Tabiri pada solat tarawih.
- Tidak Harus bahkan batal makmum lelaki yang berimamkan kepada perempuan.
Inilah pendapat majority ulama seperti Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad bin Hanbal.
Begitu juga dengan pengikut mazhab masing-masing yang dikenali sebagai Hanfiah, Malikiah, Syafi’iyyah dan Hanabilah. Termasuk juga pendapat ahli zahir atau mazhab zahiriah.
Ketujuh: Dalil-Dalil
- Dalil Pendapat Yang Mengharuskan:
Mereka hanya mengemukakan dalil hadith Ummu Waraqah R.Anha:
أن النبي صلى الله عليه وسلم وَأَمَرَهَا أَنْ تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا
Maksudnya: Dari Ummu Waraqah radiyallalhu anha bahawasanya Nabi sallallahu alaihi wassalam telah mengarahkannya mengimami ahli rumahnya.
Riwayat Abu Daud (592)
Daripada hadis ini menunjukkan Rasulullah sallallahu alaihi wassalam mengizinkan Ummu Waraqah menjadi imam.
- Dalil majoriti Fuqaha’
Mereka bersandarkan kepada banyak dalil. Antaranya:
i. Ayat al-Quran dalam Surah al-Nisa : Ayat 34
الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ
Maksudnya: “Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita.”
Al–Syeikh al-Alusi berkata: Keadaan mereka yang bertanggungjawab ke atas wanita-wanita ialah dalam mendirikan perwalian dan amanah ke atas rakyat sama ada dengan arahan atau larangan dan seumpama demikian itu.
Seterusnya beliau berkata : dan sesungguhnya telah datang daripada khabar yang wanita-wanita bersifat kurang aqal dan agama. Berlainan pula dengan lelaki-lelaki. Justeru dikhususkan lelaki-lelaki dengan kerasulan dan kenabian. Dan mengikut pendapat yang paling masyhur dengan pemerintahan besar atau kecil, mendirikan segala syiar-syiar agama seperti azan, iqamah, khutbah Jumaat takbir-takbir hari tasyriq di sisi imam kita (Hanafi).
(Ruh al-Maa’ni 5/32)
Al-Sobuni menaqalkan kenyataan Abu al-Su’ud tentang kelebihan lelaki,katanya : dan kelebihan bagi lelaki kerana kesempurnaan aqalnya, baik urusan tadbirnya, tajam dan dalam pandangannya serta tambahan kekuatan. Dan yang demikian itu dikhususkan dengan kenabian, pemerintah, perwalian, syahadah penyaksian,jihad dan lain-lain.
(Safwah al-Tafsiri 1/274)
ii. Hadith riwayat al-Bukhari al-Tirmizi dan al-Nasaie:
لَنْ يُفْلِحَ قَوْمٌ وَلَّوْا أَمْرَهُمُ امْرَأَةً
Maksudnya: “tidak beroleh kemenangan mana-mana kaum yang melantik urusan mereka dikalangan wanita.”
Jika sekiranya urusan kenegaraan tidak dibolehkan perempuan menjadi ketua seperti raja dan presiden begitu juga tidak dibolehkan dalam urusan solat kerasa ia memimpin menuju ke akhirat.
iv. Hadith riwayat Ibn Majah:
أَلَا لَا تَؤُمَّنَّ امْرَأَةٌ رَجُلًا
Maksudnya: Janganlah menjadi imam orang perempuab kepada orang lelaki.
Secara jelas dan terang menunjukkan imam kepada lelaki mestilah lelaki tidak harus bagi perempuan mejadi imam kepada lelaki. Inilah pendapat al-Mawardi sebagaimana yang dinaqalkan oleh Khatib al-Syarbini di dalam Mughni al-Muhtaj 1/240.
v. Hadis Abi Hurairah
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا، وَخَيْرُ صُفُوفِ النِّسَاءِ آخِرُهَا، وَشَرُّهَا أَوَّلُهَا
Maksudnya: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata bahwasanya Rasulullah sallallahu alaihi wassalam telah bersabda “sebaik-baiknya barisan saf lelaki-lelaki adalah awalnya dan sebutuk-buruknya adalah yang terakhir. Sebaik-baik barisan saf perempuan adalah di akhir dan seburuk-buruknya adalah diawalnya.
Riwayat Muslim (440)
Hadis ini menunjukkan yang kedudukan saf perempuan mestilah dibelakang saf lelaki. Justeru secara aqlinya bagaimana mungkin perempuan mejadi imam kepada lelaki.
Kelapan: Perbincangan Dan Jawapan
Pendapat pertama yang mengatakan boleh menolak pendapat majoriti ulama dengan hujah bahawa hadith riwayat Ibn Majah itu adalah lemah dengan sanadnya yang lemah seperti yang telah dibincangkan.
Adapun hujah-hujah lain yang dibawa oleh majoriti ulama tidak dijawab. Boleh jadi mereka beranggapan dalil-dalil yang dibawa oleh majoriti ulama bersifat umum, sedangkan kaharusan menjadi imam seperti dijelaskan oleh Ummu Waraqah adalah bersifat khusus. Justeru beramal dengan dalil yang khusus hendaklah didahulukan.
Jumhur fuqaha’ menjawab: Bahawasanya hadith Ummu Waraqah yang dibuat hujah oleh pendapat pertama ini hanya khusus kepada solat para wanita sahaja tanpa disertai oleh makmum lelaki. Ini dikuatkan dengan kenyataan hadis riwayat Daraqutni bahawa Ummu Waraqah diarah mengimami solat para wanita sahaja.
Disamping hujah hadith-hadith lain seperti kedudukan saf wanita yang berada dibelakang lelaki menjadi dalil menunjukkan wanita tidak layak menjadi imam kepada lelaki. Inilah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Hurairah.
Kesembilan: Tarjih
Setelah mengkaji dalil-dalil dan bentuk pengambilan hukum masing-masing, kami berpendapat yang pandangan majoriti fuqaha’ iaitu perempuan tidak harus menjadi imam kepada lelaki merupakan pendapat yang paling kuat dan rajih. Dan itulah yang diamalkan sepanjang sejarah Islam.
Ini kerana pertikaian hanya berkisar kepada hadith Ummu Waraqah seperti yang dikeluarkan oleh Abu Daud al-Hakim dan ditashihkan oleh Ibn Khuzaimah.
Antaranya :
أمرها أن تَؤُمَّ أَهْلَ دَارِهَا فِي الْفَرَائِضِ
Maksudnya: Rasulullah sallallahu alaihi wassalam memerintahannya untuk menjadi imam kepada ahli rumahnya pada solat fardhu.
Begitu juga apa yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad daripada jalan al-Walid bin Abdullah bin Jami’ katanya : telah menceritakan aku oleh nendaku Ummu Waraqah yang menghafal al Quran di mana Nabi Sallallahu alaihi wasaalam memerintahkannya untuk mengimami solat bagi ahli keluarganya dan beliau mempunyai seorang muezzin.
Al- Syarbashi melalui kitabnya, Yas’aluunaka fi al-Din (1/60-61) berkata : Tetapi jumhur fuqaha menolak pendapat ini dengan berhujah bahwa hadith ini tidak jelas. Ia tidak menerangkan sama ada muazzin solat tersebut juga mengerjakan solat dibelakang Ummu Waraqah. Boleh jadi dia hanya azan kemudian pergi ke masjid dan solat bersama lelaki-lelaki.
Kebarangkalian ini dikuatkan lagi oleh riwayat hadis lain seperti hadith yang menyebut daripada Ummu Waraqah bahawa beliau menjadi imam untuk wanita-wanita kami. Begitu juga boleh dikatakan kes ini khas untuk Ummu Waraqah kerana dia telah berusia dan menghafal al-Quran. Justeru tidak wajar dijadikan dalil dan hujah bagi kes-kes lain.
Kaedah menyatakan:
إن قضايا الأعيان لا تصلح دليلا للعموم
Maksudnya: Sesungguhnya perkara-perkara yang khusus (tertentu) tidak harus menjadikan dalil untuk umum
Dengan erti kata lain, kes Ummu Waraqah termasuk dalam kes-kes pengecualian.
Syeikh Ahmad al-Syarbashi menambah : …dan juga kerana perbuatannya mengimami solat terhad dirumahnya yang tidak disertai oleh mana-mana lelaki ajnabi.
Bagi melengkapi lagi jawapan dalam tarjih ini dinyatakan kenyataan Sa’di Abi Jayb :
اتفقوا على أن المرأة لا تؤم الرجال في فرض ولا نافلة فإن علموا أنها امرأة فصلاتهم فاسدة بالإجماع
Maksudnya: Mereka sepakat bahawa perempuan tidak layak menjadi imam kepada lelaki sama ada sembahyang fardhu atau sunat. Jika mereka (makmum lelaki) mengetahu bahwa perempuan menajdi imam maka solatnya jadi rosak (batal) dengan ijma’ ulama.
Inilah pendapat yang kuat dan rajih InsyaAllah.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Sesungguhnya Allah banyak memberi anugerah dan kelebihan kepada kita umat Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam. Antara kelebihannya ialah solat. Apatah lagi dilakukan secara berjemaah. Pahala jamaah yang sempurna akan terhasil sekiranya seseorang itu dapat sembahyang bersama imam bermula daripada takbiratul ihram sehingga selesai salam bersama imam dengan meraikan segala rukun, sunat dan adab-adab solat disamping menghadirkan hati dengan khusyuk sudah tentu solat yang mempunyai mutu seperti ini akan diterima oleh Allah SWT.
Antara syarat-syarat solat jamaah ialah wujudnya hubungan diantara imam dan makmum bersyaratkan imam lelaki jika sekiranya makmum lelaki sebgaimana pendapat yang terpilih dan rajih yang menjadi ijma` dikalangan ulama.
Berdasarkan kepada dalil-dalil naqli dan aqli sebenarnya perempuan tidak layak dan tidak berhak menjadi imam kepada lelaki.
Dengan penjelasan ini dapatlah merungkai kemelut permasalahan yang berlaku dewasa ini. Mencari kebenaran dan kembali kepadanya merupakan tuntutan agama yang semestinya dijunjung seperti nasihat Sayyidina Umar dalam risalahnya kepada gabenor-gabenornya. Antara lain katanya :
الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل
Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”
Wallahu a`lam.
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
17 Mei 2017 bersamaan 20 Sya’ban 1438H
Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/850-bayan-linnas-siri-ke-91-lelaki-berimamkan-wanita-di-dalam-solat