Ketika membaca karangan para Qurra’ (Ulama’ Al Quran), kita perlu memahami istilah di dalam karangan tersebut dengan kacamata mereka di zaman itu. Sebagai contoh : Kalimah IKHFA’.
🔹 Hari ini, kita memahami Ikhfa’ adalah pertemuan Nun Mati atau Tanwin dengan 15 huruf Ikhfa’ iaitu ص ذ ث ك ج ش ق س د ط ز ف ت ض ظ. Rumuznya seperti yang disebut Al Jamzuri ialah :
صِفْ ذَا ثَنَا كَمْ جَادَ شَخْصُ قَدْ سَمَا
دُمْ طَيِّبًا زِدْ فِی تُقًی ضَعْ ظَالِمَا
🔹 Tetapi jika kita membaca tulisan Ulama’ Iraq generasi awal seperti karangan Imam Ali bin Hamzah Al Kasaie(wafat 189H), Fadl bin Syazan (wafat 290H) , Abu Bakar Ibn Mujahid (wafat 324 H), dan selain mereka, maka Ikhfa’ di sisi mereka bermaksud ‘Setiap yang kekal padanya ghunnah(dengung)’.
Maka bagi Ulama’ Madrasah Iraq ini semua yang diwajibkan dengung akan dinamakan Ikhfa’. Justeru, Ikhfa’ hakiki, Ikhfa’ Syafawi, Iqlab, Idgham Maal Ghunnah dan Nun dan mim bersabdu semuanya dipanggil IKHFA’.
🔹 Imam Abu Amru Ad Dani menaqalkan di dalam Tahdidnya kata-kata Al Imam Abu Nasr As Syazzaie:
المُخْفٰى كُلُّ مَا تَبْقَى مَعَهُ غُنَّةٌ
Yang (dipanggil) ikhfa’ ialah semua yang kekal bersamanya Ghunnah(dengung).
Tulisan ini dipetik dari huraian Syeikh Dr Adil bin Ibrahim Abu Sya’r.
Sumber : Ust. Hanif Azmir Hassim