skip to Main Content

 

Soalan : Apakah hukum membuang, menggunakan sebagai alas, menggunakan sebagai pembalut atau membakar bahan bacaan khususnya surat khabar dan majalah yang di dalamnya terdapat kalimah Allah, Nabi Muhammad SAW, keratan ayat-ayat al-Quran, keratan-keratan sunnah dan pelbagai artikel yang berkaitan dengan Islam? Apakah cara terbaik untuk melupuskan surat khabar atau majalah lama yang mengandungi perkara tersebut?

Jawapan:

Daripada Abi Ruqayyah bin Aus al-Dariy RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيْحَة، قُلنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّه، وَلكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلأئِمَّةِ المُسْلِمِيْنَ وَعَامَّتِهِمْ

 

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Untuk siapa?” Sabda baginda: “(Mereka yang ikhlas) kepada Allah, (mereka yang tunduk dan patuh) kepada Kitab-Nya, Rasul-Nya, kepada para pemimpin orang Islam dan masyarakat keseluruhannya.”

Riwayat Muslim (no: 55), Abu Daud (no: 4946), dan al-Nasaie (no: 4197)

Adapun nasihat kepada kitab-Nya ialah membaca, memahami, tadabbur seterusnya mengamalkannya sama ada suruhan ataupun larangan. Dalam Majmu’ al-Fatawa oleh guru kami Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin berkata: “Tidak syak bagi kita bahawa Allah telah mensifatkan al-Quran al-Karim dengan sifat-sifat yang agung seperti bijaksana, mulia dan agung.

Justeru, menghormati ayat al-Quran serta hadith merupakan sebahagian daripada lambang keimanan seseorang. Walaupun cebisan ayat-ayat itu terdapat pada akhbar atau surat yang sudah lusuh, sewajarnya ia dihormati. Dikatakan dalam sejarah bagaimana seorang sufi yang menyucikan nama Allah SWT ketika jatuh ke tanah, lantas dia telah diubah dalam kehidupannya menjadi manusia yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT.

 

 

Antara cara yang terbaik untuk melupuskan bahan-bahan yang mempunyai kehormatan tersebut ialah dengan membakarnya. Sebahagian yang lain berkata, hendaklah dibakar dan dikumpulkan abunya dan dibuang ditempat yang selamat seperti di laut atau ditanam ke dalam tanah. Sebahagian orang meletakkan pada gua-gua yang dijaga dengan elok seperti yang berlaku di Pakistan.

Walaupun begitu, saya mencadangkan supaya dikumpulkan setempat dan dibakar serta menanamnya selepas itu. Hal ini berdasarkan tindakan khalifah Islam ketiga Uthman bin Affan RA, ketika menyatukan umat Islam di atas satu mushaf, beliau membakar mushaf-mushaf lain yang menyalahinya. Perbuatan tersebut dilakukan dengan disaksikan oleh para sahabat R.Anhum. Ibn Batthal mengatakan, bahawa perintah Uthman RA supaya dibakar helaian-helaian dan mushaf-mushaf al-Quran sewaktu isu mengumpulkan al-Quran, menunjukkan bahawa kitab-kitab yang tertulis nama-nama Allah SWT boleh dibakar, dengan tujuan untuk memuliakannya, menjaganya dari dipijak oleh kaki-kaki manusia, dan memeliharanya dari dibuang di atas tanah.

Akhukum Fillah

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

Sumber : https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/2051-12

Back To Top