skip to Main Content

1. Gelaran atau panggilan hakikatnya berbalik kepada tradisi masyarakat masing-masing yang memanggil seseorang dalam bentuk menghormati.

2. Gelaran ‘ustaz’ atau ‘tuan guru’ juga begitu, kerana ia tidak mempunyai sebarang kriteria atau anugerah tertentu, tidak seperti panggilan ilmiah ‘Dr’ bagi yang telah lulus pengajian Ph.D atau pengamal sains perubatan, tidak juga seperti ‘Profesor’ buat pensyarah yang dinaikkan gred pangkat kerana telah melaksanakan KPI tertentu di universiti, tidak juga seperti Tan Sri atau Dato’ Seri yang mendapat anugerah dari sang raja atau sultan.

3. Panggilan ‘ustaz’ dalam tradisi masyarakat kita biasanya ditujukan kepada mereka yang tercalit dengan unsur agama, sama ada dari sudut pengajaran atau ilmu atau penampilan. Ia bukan gelaran kesarjanaan, cuma sekadar penghormatan luaran, kerana masyarakat kita agak sinonim dengan sikap hormat-menghormati.

4. Kita sukar untuk menyamakan budaya kita dengan budaya arab yang meletakkan ‘ustaz’ sebagai gelaran kepada Profesor atau kepada ilmuan yang dihormati, kerana budaya panggilan dan gelaran di negara masing-masing berbeza.
Misalnya kita ni kalau tengok orang arab berjanggut atau berserban atau orang alim, kita terus akan panggil dia ‘syeikh’, sedangkan kalau dalam ilmu hadis dulu-dulu, panggilan ‘syeikh’ ni boleh jadi ditujukan pada perawi yang lemah dan sangat sedikit hadisnya.5. Orang arab ini mudah sahaja, cukup sekadar panggil ‘ana-anta’ sahaja tak kira apa usia atau pangkat sekalipun. Cuma raikan sedikit dhamir khitab, contoh kalau kita hormatkan seseorang, kita tukar dhamir ‘anta’ jadi ‘antum’.
Kalau nak kelihatan mesra sikit, boleh memanggilnya dengan panggilan kun-yah, seperti Abu Fulan, Ummu Fulan. Tapi bila tengah bersembang, jadi ‘ana-anta’ balik.

 

 

6. Tapi orang kita ni, salah panggil sikit dah sentap. Kalau makcik dipanggil akak atau salah sebut encik, cik, tuan, puan, Datuk, Datin atau tersilap membahasakan diri awak, kamu, kau, demo, hang, kome, saya, aku, kawe, kume, kita, semua pun boleh dianggap tidak hormat dan boleh jadi isu. Kalau kita tak tau usia atau latar belakang orang yang kita sedang bercakap, nak panggil apa pun jadi runsing.
Sebab itu kadang-kadang kita panggil sahaja apa-apa yang nampak seperti menghormati. Saya kalau menyapa abang polis atau pakcik yang nampak kemas bergaya gitu yang saya tak kenali, saya panggil je Datuk supaya berbunga hatinya. Anak murid saya pun ada yang saya panggil ustaz atau syeikh sebagai doa dan galakan. Istilahnya biar lebih, jangan terkurang.

7. Saya sendiri pula sebenarnya memang tidak suka dipanggil sebagai ‘ustaz’ walaupun saya ada sikit-sikit berkongsi faedah agama, kerana merasakan saya langsung tidak layak. Ilmu tiada, penampilan tiada, amal pun sangat kurang dan bahasa arab pun tahu “kayfa haluka” gitu-gitu sahaja.
Sekadar menyampaikan sepotong dua ayat atau hadis yang saya tahu sahaja ikut pesan Nabi ﷺ.

8. Apapun kita dituntut untuk saling menghormati. Namun yang perlu dijauhi adalah mencari-cari penghormatan yang hakikatnya kita tidak miliki. Bak kata Nabi ﷺ:

الْمُتَشَبِّعُ بِمَا لَمْ يُعْطَ كَلاَبِسِ ثَوْبَىْ زُورٍ
“Orang yang mendakwa dengan sesuatu yang tidak diberikan kepadanya bagaikan orang yang memakai dua pakaian palsu (dusta)” [hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

 


Sumber : Dr. Kamilin Jamilin

Back To Top