
Matlamat hidup kita adalah untuk sentiasa beribadah kepada Allah. Untuk merealisasikan tujuan ini kita memerlukan pertolongan dan bantuan. Begitu juga matlamat dakwah bukan untuk meraih populariti, penerimaan makhluk, kerusi pemerintahan, jawatan mahupun pangkat kebesaran.
Lihat contoh Nabi Musa alaihissalam ketika baginda berdoa memohon kepada Allah supaya membantunya dengan menyertakan Harun alaihissalam dalam misi dakwahnya, baginda tidak memohon supaya diberikan kedudukan seperti Firaun atau seumpamanya. Namun Nabi Musa alaihissalam berdoa dengan merendah diri:
كَيْ نُسَبِّحَكَ كَثِيرًا . وَنَذْكُرَكَ كَثِيرًا
” Supaya kami sentiasa bertasbih (beribadat dan menyucikanMu.Dan (supaya) kami sentiasa menyebut dan mengingatiMu “
[ Taha: 33-34 ]
Kata Mujahid:
لَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنَ الذَّاكِرِينَ اللَّهَ كَثِيرًا، حَتَّى يَذْكُرَ اللَّهَ قَائِمًا وَقَاعِدًا وَمُضْطَجِعًا.
Tidaklah seorang hamba itu termasuk dari kalangan golongan yang banyak mengingati Allah sehinggalah dia sentiasa mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan berbaring. [ Rujuk Tafsir Ibnu Kathir ]
Kata Imam Burhanuddin Al-Biqa’ie Al-Syafi’i rahimahullah (wft:885H):
فَأفْصَحَ عَنْ أنَّ المُرادَ بِالمُعاضَدَةِ إنَّما هو لِتَمْهِيدِ الطَّرِيقِ إلَيْهِ سُبْحانَهُ.
Maka jelas (ayat ini) menyatakan bahawa tujuan bantuan dan pertolongan (dalam dakwah) hanyalah bertujuan bagi melancarkan jalan (untuk menuju) kepadaNya subhanah
[ Nazm al-Durar fi Tanaasub al-Ayaat wa Al-Suwar 12/285 ]
Dalam doa Musa alaihissalam tekandung pengajaran terbesar iaitu betapa pentingnya sokongan dan pertolongan dalam misi dakwah, demikian juga matlamat utama dakwah bukanlah untuk mencari pengikut, penerimaan makhluk, pangkat dan jawatan namun untuk menjadi hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam ibadah dan sentiasa mengingatiNya.
Sumber : Ust. Mohd Fashan