SOALAN
Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Di sebelah surau di tempat saya tinggal sedang dijalankan sebuah projek pembangunan yang kebanyakan waktu mengeluarkan bunyi yang sangat bising sehingga tidak kedengaran suara imam ketika solat berjemaah, malah suara saya sendiri juga tidak kedengaran. Soalan saya, adakah sah jika saya tidak mendengar bacaan saya sendiri dalam solat?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT memuji golongan yang beriman dan mendirikan solat dalam keadaan yang khusyuk dengan menjanjikan kejayaan kepada mereka. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia.
(Surah al-Mu’minun: 1-2)
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa khusyuk itu diperoleh dengan mengosongkan fikiran daripada perkara lain ketika mendirikannya, hanya sibuk dengan perbuatan dan bacaan di dalam solat sahaja dan mengutamakan solat sebagai perkara pertama berbanding perkara-perkara yang lain. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 5:461)
Justeru itu, kita sepatutnya mendirikan solat dalam keadaan tenang dan khusyuk. Terdapat banyak cara dan kaedah yang boleh kita lakukan untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat. Kami telah huraikan berkenaannya secara panjang lebar dalam Bayan Linnas Siri Ke-82 : Khusyuk Solat, Hukum Dan Cara Mendapatkannya. Antara cara yang kami sebutkan di dalam artikel ini ialah solat di tempat yang tiada gangguan. Untuk mencapai khusyuk di dalam solat, kita hendaklah mendirikannya di tempat yang tenang, lapang, bersih dan tiada perkara yang menganggu bacaan dan perbuatan solat kita.
Disamping itu juga, kita harus menyedari bahawa terdapat 5 bacaan rukun qauli seperti menyebut takbiratul ihram, membaca surah al-Fatihah, yang antara syaratnya adalah hendaklah didengari oleh pembaca itu sendiri mengikut pandangan jumhur ulama. Hal ini disebutkan dalam kebanyakan kitab fiqh, antaranya:
القَوْلِيَّة، وَهِيَ خَمْسَةٌ: تَكْبِيرَةُ الإِحْرَام أَوَّلُ الصَّلَاة، وَقراءة الفاتحةِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ وَقِرَاءَةُ التَشَهُّد وَالصَّلَاةُ عَلَى النَّبِي والسَّلامً آخِر الصَّلاة، ثلاثتها فِي القَعدةِ الأَخِيرَةِ
Maksudnya: (Rukun) Qauliah, mempunyai lima: Takbiratul Ihram pada awal solat, membaca surah al-Fatihah pada setiap rakaat, tasyahud dan selawat ke atas Nabi SAW serta salam, ketiga-tiganya pada duduk yang terakhir. (Rujuk kitab Safinat al-Solah: 44)
شُرُوطُ الفَاتِحَةِ: اثْنَا عَشَرَ… التَاسِعُ أَن يُسْمَعَ نَفْسهُ القِرَاءَة لأَنَّهَا رُكْنٌ قَوْلِيٌّ
Maksudnya: Syarat-syarat sah membaca al-Fatihah di dalam solat, ada dua belas perkara.. Yang kesembilan, hendaklah bacaan al-Fatihah tersebut didengari oleh dirinya sendiri, ini kerana ia adalah rukun qauli. (Rujuk al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah: 216)
Begitu juga disebutkan di dalam kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Arba’ah bahawa:
فَالجَوَابُ عَنْهُ أَنَّ ثَلَاثَةَ مِن الأَئِمَّة اتَّفَقُوا عَلَى أَنَّه إِذَا لَم يُسْمَع نَفْسُه بِالقِرَاءَةِ فَإِنَّهُ لَا يُعْتَبَرُ قَارِئًا
Maksudnya: Jawapan bagi persoalan (adakah seseorang itu disyaratkan untuk mendengar bacaan al-Fatihahnya) adalah, tiga daripada para imam mujtahid bersepakat bahawa jika sekiranya sekiranya seseorang itu tidak mendengar bacaannya, maka ia tidak dianggap sebagai membacanya. (Rujuk al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 1:201)
Jika sekiranya seseorang itu tidak mampu untuk mendengar suaranya sendiri seperti mempunyai masalah pendengaran, pertuturan atau disebabkan oleh gangguan bunyi sebagai contoh, maka hendaklah dia menggerakkan kedua-dua bibir dan anak tekaknya sekadar yang termampu. Hal ini seperti yang disebutkan di dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie:
أَن يُسْمَعَ نَفْسُهُ إِذَا كَانَ صَحِيحُ السَّمع، وَلَا عَارِضٌ عِنْدَهُ مِن لَغَطٍ أَو غَيْرِهِ، فَإِن كَانَ بِلِسَانِهِ خَبَل (فساد) أو خَرس، حَرَّکَه بِمَا يَقْدِرُ عَلَيه، وَيُحَرِّكَ شَفَتَيه وَلهاته بِالتَكْبِير بِقَدَرِ الإِمْكَان
Maksudnya: Hendaklah dia mendengar (apa yang dibaca) dirinya sendiri, sekiranya mempunyai pendengaran yang baik, dan tidak ada padanya gangguan bunyi dan sebagainya. Sekiranya mempunyai masalah pada lisannya (pertuturan) atau bisu, maka hendaklah digerakkan apa yang termampu baginya. Digerakkan kedua bibirnya dan anak tekaknya dengan kadar yang termampu. (Rujuk kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafie, 1:241).
Disamping itu juga, mazhab Maliki mengatakan bahawa tidak wajib seseorang itu mendengar bacaannya sendiri, bahkan memadai dengan sekadar menggerak-gerakkan lidahnya sahaja. Sheikh Abdul Rahman al-Jazairi menukilkan pendapat tersebut dengan berkata bahawa:
المَالِكِيَّةُ قَالوا : لَا يَجِب عَلَيهِ أَنْ يُسْمَعَ بِهَا نَفْسه. وَيَكْفِي أَن يُحَّرِكَ بِهَا لِسَانُهُ وَالأَوْلَى أَن يُسْمَعَ بِهَا نَفْسه مُراعاةً للخِلَاف
Maksudnya: Para ulama’ Malikiyyah mengatakan bahawa tidak wajib keatas orang yang solat tersebut untuk mendengar bacaannya sendiri. Memadai untuk dia menggerak-gerakkan lidahnya sahaja. Namun, adalah lebih baik sekiranya dia mendengar bacaannya sendiri sebagai langkah menghindari khilaf. (Rujuk al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah: 1:201)
Kesimpulan
Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, dapatlah difahami bahawa jumhur ulama’ daripada Syafi’iyyah, Hanafiyyah dan Hanbaliyyah bersepakat bahawa bacaan di dalam solat hendaklah didengari oleh pembaca itu sendiri. Jika sekiranya dia mampu tetapi tidak menyebutnya sehingga dapat didengari, maka ia tidak dikira sebagai satu bacaan. Walaubagaimanapun, para ulama’ Malikiyyah tidak mewajibkannya, bahkan berpendapat bahawa jika dia menggerakkan mulutnya untuk membaca, maka ia sudah memadai.
Justeru itu, kami menasihati saudara yang bertanya dan umat Islam sekelian untuk berusaha membaca bacaan di dalam solat sehingga mampu didengari oleh diri sendiri walau dalam keadaan apa sekalipun sebagai langkah keluar daripada khilaf. Namun, jika tidak berkemampuan juga untuk mendengar bacaan sendiri kerana berada di tempat yang sangat bising dan sebagainya, maka tidak mengapa untuk kita membacanya tanpa mendengar dengan menggerakkan kedua-dua bibir dan anak tekak sekadar yang termampu, maka solatnya adalah sah. Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
فَاتَّقُوا اللَّـهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ
Maksudnya: Oleh itu, bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.
(Surah al-Taghabun: 16)
Selain itu juga, kita hendaklah memastikan solat yang didirikan tersebut dalam keadaan yang khusyuk dan tenang. Maka sebaiknya kita memilih tempat yang tenang dan aman untuk kita melaksanakan solat. Semoga Allah SWT sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya untuk kita melaksanakan ibadah kepada-Nya dengan ikhlas dan sempurna. Amin.
WaAllahu a’lam
Sumber: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/3719-al-kafi-1386-solat-di-tempat-yang-bising-sehingga-tidak-dengar-suara-sendiri