
Malam tadi kami Qiyam juzuk 10 seiring dengan malam ke 10 Ramadhan. Antara Tafsir ayat pilihan yang bagus kita perhatikan adalah:
وَإِذْ زَيَّنَ لَهُمُ الشَّيْطَانُ أَعْمَالَهُمْ وَقَالَ لَا غَالِبَ لَكُمُ الْيَوْمَ مِنَ النَّاسِ وَإِنِّي جَارٌ لَكُمْ فَلَمَّا تَرَاءَتِ الْفِئَتَانِ نَكَصَ عَلَى عَقِبَيْهِ وَقَالَ إِنِّي بَرِيءٌ مِنْكُمْ إِنِّي أَرَى مَا لَا تَرَوْنَ إِنِّي أَخَافُ اللَّهَ وَاللَّهُ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Ertinya: Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu”. Maka apabila kedua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab seksa-Nya” (al-Anfal 8:48).
Ayat ini menceritakan hasutan Iblis kepada orang Mekah agar bersungguh-sungguh memerangi Rasulullah SAW. Biar Islam yang baru berputik subur di Madinah dipijak-injak sampai mati tunasnya sebagaimana yang pernah mereka lakukan di Mekah selama 13 tahun. Hasutan berbentuk “gelombang idea jahat dalam minda” manusia sudah biasa dilakukan Iblis dan konconya tanpa perlu muncul secara fizikal. Itulah kepakaran mereka:
يَعِدُهُمْ وَيُمَنِّيهِمْ وَمَا يَعِدُهُمُ الشَّيْطَانُ إِلَّا غُرُورًا
Ertinya: Syaitan sentiasa menjanjikan mereka (janji indah) serta memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong; dan apa yang dijanjikan oleh Syaitan itu tidak lain hanyalah tipu daya semata-mata (al-Nisa’ 4:120).
Bagaimana pula dengan penjelmaan fizikal? Ia jarang kita dengar melainkan dalam cereka sensasi cerita hantu. Adakah bangsa jin atau Iblis mampu menjelma secara fizikal? Menurut sebuah riwayat tentang ayat 48 surah al-Anfal di atas yang disandarkan kepada sepupu Nabi, Abdullah bin ‘Abbas RA, Iblis laknatullah memang menjelma secara fizikal dalam rupa pembesar Kabilah Bani Mudlij, Suraqah bin Malik bin Ju’syum. Bahkan dia tidak berseorangan tetapi turut disertai bala tentera syaitan yang lain. Mereka muncul untuk mengapikan kafir Quraysh melawan nabi. Setelah perang tercetus, Iblis dan tenteranya berpatah balik kerana gerun melihat tentera malaikat yang berjuang bersama nabi SAW (Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran surah al-Anfal 8:48).
Pun begitu, ada yang mempertikai riwayat ini kerana ia seakan bercanggah dengan hadith kelebihan Ramadhan yang biasa kita dengar:
إِذَا دَخَلَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتْ الشَّيَاطِينُ
Ertinya: Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan para syaitan dibelenggu (Sahih al-Bukhari, hadith no 1766 & 3035).
Mana mungkin Iblis dan syaitan bergerak bersama Musyrikin Mekah sedangkan perang Badar berlaku dalam bulan Ramadhan? Lalu dijawab pihak yang mempertahankan kisah Iblis dan jelmaan Suraqah, perang Badar berlaku pada tahun kedua Hijri dan Ramadhan masih baru usianya di bumi. Ini kerana Puasa Ramadhan disyariatkan Allah pada bulan Sya’ban tahun kedua Hijri iaitu kira-kira sebulan sebelum tercetusnya perang Badar (al-Sirah al-Nabawiyah Fi Daw’ al-Quran Wa al-Sunnah, Dr Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah, jil 2. Hal 106). Mungkin hadith pembelengguan Syaitan dalam bulan Ramadhan belum diucapkan Baginda pada waktu itu.
Apa pun, jangan pula salah memahami isu sebenar firman Allah di atas! Isu utama ayat di atas bukan tentang “penjelmaan hantu Iblis secara fizikal”, tetapi umat Islam perlu sentiasa berhati-hati menghadapi serangan mental Iblis dan konco-koconya yang tak akan berhenti merosakkan anak Adam sehingga kiamat. Semoga Allah selamatkan kita semua daripada hasutan dan gangguan mereka.
Sumber: facebook Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.