
Surah Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ia diturunkan sebanyak dua kali. Ia adalah surah yang teragung di dalam Al-Qur’an.
Keseluruhan isi kandungan Al-Qur’an secara ringkas berada di dalam Surah Al-Fatihah ini. Kerana itulah ia dinamakan Ummul Qur’an. Maksud/Dakwa Surah Al-Fatihah ini terdapat di dalam ayat: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ.
Tiga ayat pertama Surah Al-Fatihah ini adalah puji-pujian kepada Allah ﷻ. Ayat keempat pula adalah antara kita dan Allah ﷻ. Ayat seterusnya adalah untuk kita sahaja. Ini kita dapat tahu daripada satu Hadith Qudsi berkenaan surah ini yang akan kita bincangkan nanti.
Surah ini dinamakan al-Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dengan al-Fatihah itu juga dibukakan bacaan di dalam solat.
Ia juga disebut Ummul Kitab, as-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan al-Qur-anul Azhim.
Ia juga disebut dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi ﷺ ada meriwayatkan firman Allah ﷻ dalam hadith Qudsi: “Aku membahagi solat antara diri-Ku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah ﷻ berfirman; Aku telah dipuji oleh hamba-Ku.”
Surah ini juga dipanggil ash-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat.
Ia juga disebut dengan nama asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadith: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”
Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadith yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi ﷺ bersabda: “Dari mana engkau mengetahui bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”
Abu Hurairah pernah meriwayatkan satu hadith dari Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Qur’an, maka solatnya itu tidak sempurna, tidak sempurna, tidak sempurna.”
Ini adalah Hadith Qudsi yang telah disebut sebelum ini:
Abu Hurairah رضي الله عنه berkata lagi: “Kami berada di belakang imam.” Beliau menambah: “Bacalah al-Fatihah itu di dalam hatimu, kerana aku pernah mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah ﷻ berfirman: “Aku telah membahagi solat menjadi dua bahagian antara diri-Ku dengan hamba-Ku. Dan bagi hamba-Ku apa dia minta: Jika dia mengucapkan الْحَمْدُ ِللهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ, maka Allah ﷻ berfirman: “Hamba-Ku telah memuji-Ku. Dan jika dia mengucapkan: الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ, maka Allah ﷻ berfirman: Hamba-Ku telah menyanjung-Ku. Jika dia mengucapkan مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ, maka Allah ﷻ berfirman: Hamba-Ku telah memuliakan-Ku. Dan jika dia mengucapkan إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ maka Allah ﷻ berfirman: “Inilah bahagian antara diri-Ku dan hamba-Ku, dan untuk hamba-Ku apa yang dia minta. Dan jika dia mengucapkan اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ maka Allah ﷻ berfirman: “Ini untuk hamba-Ku dan bagi hamba-Ku pula apa yang dia minta.”
Ayat 1:
بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ
In the name of Allah Most Gracious Most Merciful.
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani
Kata basmallah ini adalah satu lafaz yang amat hebat. Ia tidak diberikan kepada agama-agama lain. Tidak diberikan kepada orang Yahudi dan tidak diberikan kepada agama Kristian.
بِسْمِ اللهِ
Dengan Nama Allah;
Apabila kita kata ‘dengan’, sepatutnya ada ayat sebelum itu. Ada ulama’ yang berkata ayat sebelum itu adalah “aku mula membaca Al-Qur’an ini adalah….” disambung: ‘dengan nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim’.
Namun yang mengajar kita menyebut kalimat بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ini adalah Tuhan sendiri. Jadi adakah Tuhan menyuruh kita baca atau Tuhan yang baca? Jawapannya adalah: Tuhan menyuruh kita baca.
Jadi, ayat yang penuh adalah: “Katakanlah, aku membaca surah ini dengan menyebut nama bagi Allah.”
Huruf بِ ‘ba’ dalam بِسْمِ itu adalah sesuatu yang menjadi perbincangan ulama’. Apakah yang dimaksudkan olehnya? Huruf ‘ba’ itu mempunyai banyak kegunaan dalam bahasa Arab. Ulama’ mengatakan terdapat 20 makna yang boleh diambil apabila ada penggunaan ‘ba’ itu.
Perbincangan ulama’ mengatakan bahawa ‘ba’ dalam basmallah ini membawa dua maksud: ba’ musaahabah dan ba’ istiaanah.
Ba’ musaahabah bermaksud mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Bermaksud kita hendak mendekatkan diri ‘dengan’ Allah ﷻ supaya perbuatan yang kita buat itu mendapat keberkatan dari Allah apabila kita membaca basmallah. Ini kerana segala usaha tidak akan membuahkan hasil jika Allah ﷻ tidak mengizinkannya.
Hanya apabila Allah ﷻ mengizinkannya barulah perkara tersebut berlaku. Kalau Allah ﷻ tidak mengizinkan kita makan, maka kita tidak dapat hendak menyuapkan makanan ke dalam mulut pun.
Kita mengharapkan keberkatan daripada bacaan basmallah sampai kepada usaha kita itu. Dengan berkat Allah ﷻ, perkara yang sedikit boleh menjadi banyak. Sebagai contoh, kalau Allah ﷻ memberi berkat kepada makanan itu, walaupun ia sedikit sahaja, tetapi kita akan kenyang dengan makanan yang sedikit itu dan ia akan memberi tenaga yang banyak kepada kita.
Ba’ istiaanah pula bermaksud kita mengharapkan pertolongan dari Allah ﷻ. Semoga dengan izin dan pertolongan Allah ﷻ, usaha kita itu akan berjaya. Kita sebagai manusia yang hina, memang amat mengharapkan pertolongan dari Allah ﷻ. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu tanpa ada pertolongan dari Allah ﷻ.
Daripada dua makna itu, dapat kita menzahirkan di dalam diri kita bahawa Allah ﷻlah sumber barakah dan pertolongan, dari awal-awal lagi sebelum kita dapat memulakan usaha tersebut pun.
Nama dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah ﷻ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala bentuk sifat.
Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah merujuk kepada sifat Pemurah Allah ﷻ sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu hanyalah menyentuh tentang sifat Allah ﷻ memberi rezeki sahaja. Akan tetapi apabila kita gunakan nama Allah ﷻ – ia merangkumi semua sifat-sifat Allah ﷻ itu.
Nama Allah ﷻ merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diri-Nya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui dari kata apa nama itu berasal. Maka di antara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah ﷻ itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar.
Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal dari kata dasar – ar-Rahmah.
الرَّحْمَٰنِ
yang Maha Pemurah
Kalimah ar-Rahman diibaratkan seperti kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Seorang ayah sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi ke sekolah.
Ayah itu sanggup melakukan pelbagai cara untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anaknya itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah sanggup melihat anaknya yang nakal dimasukkan ke dalam penjara hanya kerana menginginkan yang terbaik untuk anak itu. Supaya semoga dalam penjara dapat mengubah sikap anaknya itu.
Sifat Rahman Allah ﷻ itu sanggup melihat hamba-Nya bersusah payah di dalam ibadat. Contohnya, kita diwajibkan solat lima waktu setiap hari. Kita di Malaysia tidak perlu menghadapi masalah yang besar untuk mengerjakan solat pada bila-bila masa pun.
Namun cuba bayangkan di negara-negara yang beriklim sejuk. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mengambil wudhu’ dan sebagainya. Bayangkan mereka yang perlu berpuasa di kutub utara di dalam kesejukan dan masa yang sangat panjang kerana tempoh masa waktu siang mereka yang panjang. Jadi seolah-olah nampak seperti mereka terseksa di dalam melakukan ibadat.
Allah ﷻ sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah di dalam menyampaikan agama-Nya. Sehinggakan ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia sahaja.
Namun kepada mereka di akhirat kelak, lain pula keadaan mereka nanti. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang telah mereka alami semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia.
Sifat Rahman Allah ﷻ ini diberikan kepada seluruh makhluk-Nya, walaupun yang mukmin ataupun tidak. Lihatlah bagaimana Allah ﷻ telah memberikan segala nikmat-Nya kepada penduduk dunia. Tidak kira sama ada mereka kafir atau tidak.
الرَّحِيمِ
yang Maha Mengasihani
Kalimah ar-Raheem diibaratkan seperti kasih sayang seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya susah. Walaupun anaknya itu adalah seorang penagih dadah. Si ibu tidak akan sanggup melihat anaknya dimasukkan ke dalam penjara. Dia sanggup berbuat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab.
Kalau di dunia, sifat Rahman Allah ﷻ sanggup melihat hamba-Nya kepayahan dalam menjaga agama, tetapi apabila di akhirat nanti, Allah ﷻ yang bersifat Raheem tidak sanggup melihat hamba-Nya yang Dia sayang itu mendapat penyeksaan.
Apabila Dia sudah mengampuni dosa-dosa hamba-Nya, Dia tidak akan bertanya lagi akan kesalahan dan dosa yang pernah mereka telah lakukan. Semuanya akan diampunkan dan dimasukkan hamba itu ke dalam syurga.
Kalau kita sebagai manusia, walaupun kita sudah memaafkan seseorang, kita masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita itu. Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah lakukan terhadap kita. Namun Allah ﷻ tidak begitu. Tidak sama kasih kita dengan kasihnya Allah ﷻ.
Sifat Raheem ini dikatakan oleh ulama’ dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, kita tidak dapat merasa nikmat Raheem Allah ﷻ ini.
Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh melihat bagaimana Allah ﷻ memulakan penggunaan nama-Nya dari bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifat-Nya.
Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah ﷻ yang diberikan kepada seluruh makhluknya (mukmin ataupun tidak). Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Raheem – sifat pemurah Allah ﷻ yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Allah ﷻ ini.
Para ulama’ telah sepakat mengatakan bahawa basmalah adalah salah satu ayat daripada Surah an-Naml tetapi mereka berbeza pendapat sama ada basmallah itu ayat yang berdiri sendiri pada awal setiap surah atau sebahagian daripada surah itu.
Ataukah ia salah satu daripada setiap surat, atau sebahagian daripada surah Fatihah sahaja. Atau adakah basmalah yang ditulis di awal setiap surah itu hanya sebagai pemisah antara surah semata-mata dan bukan sebahagian daripada ayat.
Di antara ulama’ yang mengatakan bahawa basmalah adalah ayat daripada setiap surat adalah Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat bahawa basmalah itu bukan termasuk Surah Al-Fatihah dan tidak juga surah-surah lainnya.
Bagi mereka yang mengatakan bahawa basmalah bukan sebahagian dari Surah Al-Fatihah, maka mereka tidak membacanya secara jahr (kuat) di dalam solat. Memang ada juga hadith yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ tidak membaca basmallah di awal surah.
Namun tidaklah terjadi perbezaan pendapat kerana semua ulama’ telah sepakat bahawa solat orang yang membaca basmallah dengan kuat atau dengan perlahan adalah sah. Maka boleh pilih sama ada hendak membaca basmallah dengan jahr atau sirr, atau tidak dibaca langsung. Boleh buat kajian dan pilih mana pendapat yang dirasakan paling kuat.
Bacaan basmallah dianjurkan untuk dibaca dalam setiap perbuatan kita. Salah satu kehebatan basmallah adalah: ia adalah satu perkataan yang tidak lengkap. Bagaimana pula satu perkara yang tidak lengkap adalah satu kebaikan? Apakah yang dimaksudkan ia tidak lengkap?
Ayat yang lengkap sepatutnya ada subjek dan predikat. Sebagai contoh, apabila ayat berbunyi “saya mahu pergi…”, ia adalah tidak lengkap kerana timbul persoalan, pergi ke mana? Jadi susunan basmallah tidak lengkap. Apabila kita sebut “dengan nama Allah”, ia seperti tergantung.
Itu adalah supaya ia boleh digunakan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, “dengan nama Allah, aku hendak makan”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan solat ini”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan membaca Qur’an ini” dan sebagainya. Itulah kehebatan basmallah.
Juga, apabila kita menyebut basmallah sebelum memulakan sesuatu, ianya seperti pernyataan dari kita bahawa kita berbuat sesuatu itu *hanya* dengan nama Allah ﷻ. Tidak ada nama tuhan yang lain. Tidak dengan nama entiti yang lain.
Jadi, ada elemen ikhlas di situ, di mana kita hanya menggunakan nama Allah ﷻ sahaja. Ini melatih diri kita untuk keluar dari syirik. Ini kerana kalau kita merasakan perbuatan kita itu ditolong atau dibantu oleh entiti lain, itu adalah satu perbuatan yang syirik.
Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang lain. Jangan kita katakan, sebagai contoh, “demi rakyat, kita melakukan ini dan itu”, atau kita kata, “dengan berkat tok syeikh ini dan itu, kita berjaya sampai ke sini dan sebagainya”. Itu adalah kata-kata yang salah.
Begitu juga, kalau kita faham makna basmalah ini, kita akan sedar bahawa setiap kali kita sebut basmallah ketika ingin memulakan sesuatu, kita sebenarnya berdoa kepada Allah ﷻ. Maka, ia adalah satu perkara ibadat kerana doa adalah ibadat.
Ia adalah juga satu bentuk zikir kerana kita sentiasa ingat Allah ﷻ dalam kita memulakan sesuatu. Walaupun pada zahirnya, perbuatan yang kita lakukan itu bukanlah satu bentuk ibadat yang khusus. Kalau solat, sememangnya ia adalah ibadah yang khusus. Namun bagaimana dengan makan, naik kenderaan, keluar rumah dan sebagainya?
Dengan menyebut basmallah, kita telah memasukkan elemen zikir ke dalam amalan kita. Dengan sentiasa menyebut basmallah, kita telah melakukan zikir kepada Allah ﷻ kerana kita ingat kepada Allah ﷻ pada waktu itu. Oleh itu, semasa kita menyebutkan basmallah, hendaklah kita lahirkan dalam hati kita dan sepenuh pemahaman bahawa kita sedang menyebut nama Allah ﷻ di situ.
Apabila kita sedar tentang perkara ini, secara automatik kita akan menilai sama ada perbuatan yang kita hampiri buat itu adakah halal ataupun tidak. Sebagai contoh, tidak ada orang yang memulakan menghisap rokok dengan basmalah. Tidak ada orang yang menyebut basmallah sebelum berzina.
Mereka sendiri mengetahui bahawa perbuatan-perbuatan tidak bermoral itu bukanlah perbuatan yang mulia atau baik, maka mereka tidak menyebut basmalah sebelum memulakannya.
Maka, sepatutnya, apabila kita sudah selalu menyebut bismillah dalam setiap perbuatan kita, kita akan rasa canggung apabila tidak dapat menyebut basmallah dalam perbuatan kita yang lain. Maka, sekurang-kurangnya itu dapat menghindari diri kita daripada melakukan perbuatan maksiat.
Dengan sentiasa menyebut basmallah, akan timbul perasaan yang semakin sayang kepada Allah ﷻ kerana kita sedar bahawa hanya dengan pertolongan Allah ﷻ lah segala usaha kita akan membuahkan hasil.
Rujukan : https://celiktafsir.net/2013/05/03/fatihah-ayat-1-2/