skip to Main Content

 

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada kali ini, sekali lagi kami ditanya berkenaan dengan isu tiupan sangkakala. Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan Tiupan Sangkakala Pada Hari Kiamat. Semoga ia menambahkan lagi keimanan kita kepada Allah dan hari Akhirat yang menatijahkan ketakwaan dan amalan soleh untuk kita lakukan sebagai persediaan hamba kepada Tuan-nya.

 

Beriman kepada Hari Kiamat

Beriman kepada hari Akhirat merupakan salah satu rukun dari rukun iman, dan salah satu ‘aqidah dari ‘aqidah Islam yang asas. Ini kerana masalah kebangkitan pada hari akhirat merupakan landasan berdirinya ‘aqidah setelah permasalahan keesaan Allah SWT.

Beriman kepada terhadap segala perkara yang berlaku pada hari Akhirat dan tanda-tandanya merupakan keimanan terhadap perkara ghaib yang tidak dapat dijangkau oleh akal, dan tidak ada jalan untuk mengetahuinya kecuali melalui nas Ilahi atau Nabawi.

Betapa pentingnya hari yang agung ini, kita dapati (di dalam al-Quran) bahawa Allah SWT kerap kali menghubungkan iman kepada-Nya dengan beriman kepada hari Akhirat. (Lihat Asyrat al-Sa’ah (terj.), oleh Yusuf al-Wabil, hlm. 17-19)

Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu daripada rukun Iman serta dituntut oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

لَّيْسَ الْبِرَّ أَن تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَـٰكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Maksudnya: Bukanlah perkara kebaikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebaikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat.” 

Surah al-Baqarah (177)

Maka, hari kiamat itu akan terjadi setelah kesemua tanda-tandanya muncul dan apabila Allah SWT menitahkan malaikat-Nya untuk meniupkan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluknya.

 

 

Peristiwa Tiupan Sangkakala

Tiupan sangkakala ini telah dinyatakan di dalam al-Quran melalui firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۚ وَكُلٌّ أَتَوْهُ دَاخِرِينَ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.

Surah al-Naml (87)

Al-Maraghi berkata: “Wahai Rasul, ingatkanlah kepada mereka keadaan yang amat mengerikan ketika sangkakala ditiup. Saat itu, semua makhluk yang ada di langit dan di bumi berada dalam ketakutan melihat hari kebangkitan dan hari dikumpulkan seluruh makhluk kecuali orang yang mempunyai hati yang teguh terhadap Allah SWT.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4/5085)

Perkataan الصُّور yang disebutkan di dalam ayat ini telah dijelaskan maknanya melalui hadith Baginda SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr’ R.Anhuma:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ مَا الصُّورُ قَالَ ‏ “‏ قَرْنٌ يُنْفَخُ فِيهِ ‏”‏

Maksudnya: “Telah datang seorang Badwi kepada Nabi SAW, lalu berkata: “Apakah al-Sur?” Jawab Baginda: “(Semacam) tanduk yang digunakan untuk meniup.”

Riwayat al-Tirmizi (2430)

Sebahagian ulama’ menafsirkan tanduk dengan terompet. Para ulama’ berpendapat, alat tiupan tersebut ditaklifkan kepada malaikat Israfil untuk meniupkannya tanpa diketahui kadar besarnya alatan tersebut. (Lihat Mausu’ah al-Akhirahhlm. 78)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyatakan tiupan sangkakala ini akan ditiupkan oleh malaikat yang bernama Israfil dan hampir keseluruhan ulama’ tidak menolak bahawa malaikat Israfil yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk meniupkan sangkakala. (Lihat Fath al-Bari, 11/368)

Malaikat Israfil sentiasa bersedia menanti arahan daripada Allah SWT sejak detik penciptaan lagi. Hal ini telah dinukilkan oleh Syeikh al-Hulaimi secara ijma’. Begitu juga berdasarkan hadith Wahab bin Munabbih yang menyebut secara nyata. (Lihat Mausu’ah al-Akhirahhlm. 79)

Kejadian tiupan sangkakala ini berlaku sebanyak dua peringkat mengikut pendapat kebanyakan ulama’, iaitu:

  • Pertama, tiupan sangkakala akan menggegarkan hingga mematikan seluruh makhluk melainkan yang termaktub dalam kalangan mereka yang terkecuali.
  • Kedua, sesuai dengan kehendak Yang Maha Esa, ditiupkan sekali lagi oleh Malaikat Israfil dengan tiupan yang membangkitkan manusia. Hal ini sebagaimana yang diterangkan oleh Allah SWT di dalam kitabnya:

وَنُفِخَ فِي الصُّورِ فَصَعِقَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ ۖ ثُمَّ نُفِخَ فِيهِ أُخْرَىٰ فَإِذَا هُمْ قِيَامٌ يَنظُرُونَ

Maksudnya: Dan sudah tentu akan ditiup sangkakala, maka pada waktu itu matilah makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali sesiapa yang dikehendaki Allah (terkemudian matinya); kemudian ditiup sangkakala sekali lagi, maka dengan serta merta mereka bangun berdiri menunggu (kesudahan masing-masing).

Surah al-Zumar (68)

Imam al-Qurtubi dalam menjelaskan ayat di atas berkata: Ibn Abbas R.Anhuma menyebut bahawa dimaksudkan dengan tiupan sangkakala pertama ialah ketikamana matinya semua makhluk. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 10/27)

Kemudian, perkara ini diperkuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا بَيْنَ النَّفْخَتَيْنِ أَرْبَعُونَ ‏”‏‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ يَوْمًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ شَهْرًا قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ أَرْبَعُونَ سَنَةً قَالَ أَبَيْتُ‏.‏ قَالَ ‏”‏ ثُمَّ يُنْزِلُ اللَّهُ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً‏.‏ فَيَنْبُتُونَ كَمَا يَنْبُتُ الْبَقْلُ لَيْسَ مِنَ الإِنْسَانِ شَىْءٌ إِلاَّ يَبْلَى إِلاَّ عَظْمًا وَاحِدًا وَهْوَ عَجْبُ الذَّنَبِ، وَمِنْهُ يُرَكَّبُ الْخَلْقُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: Antara dua tiupan (sangkakala) adalah 40. Maka, (ada yang bertanya kepada Abu Hurairah) adakah 40 hari? Abu Hurairah berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 bulan? Beliau berkata: “Aku enggan menjawab”. Adakah 40 tahun? “Aku enggan menjawab” Kemudian Abu Hurairah berkata: Lalu (selepas itu) Allah SWT menurunkan hujan. Kemudian (mayat-mayat) akan tumbuh (hidup) kembali seperti tumbuhnya sayuran, tiadalah pada manusia itu sesuatu melainkan reput semuanya kecuali satu bahagian tulang iaitu tulang punggung. Daripada tulang ini akan bercantum semula (manusia itu) pada hari kiamat.”

Riwayat al-Bukhari (4651) dan Muslim (2955)

Imam al-Nawawi mengatakan sebab Abu Hurairah RA mengulangi pendirian enggan menjawab soalan yang ditanyakan itu, kerana 40 itu hanyalah sebagai ringkasan kepada pengkhabaran. (Lihat al-Minhaj, 18/91)

Baginda Nabi SAW turut mengkhabarkan bahawa Baginda adalah orang pertama yang akan dibangkitkan pada tiupan yang kedua, seperti yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنِّي أَوَّلُ مَنْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ بَعْدَ النَّفْخَةِ الآخِرَةِ

Maksudnya: Sesungguhnya aku adalah orang yang terawal yang mendongak kepalaku setelah tiupan yang terakhir”

Riwayat al-Bukhari (337)

Al-Qastalani menyebut: Hadis di mana Rasulullah SAW mendapati Nabi Musa sedang bergantung di Arasy maka sabda Nabi, aku tidak ketahui adakah keadaan itu berlaku sebelum dia mati ketika tiupan pertama atau dia masih hidup selepas tiupan kedua sebelumku. Inilah yang dinyatakan oleh al-Karmani. Al-Dawudi berkata sebagaimana dihikayatkan daripada al-Safaqisi ucapannya, adakah demikian itu hingga akhir adalah waham. Ini kerana Nabi Musa telah dikuburkan dan akan dibangkitkan selepas tiupan. Maka bagaimana mungkin berlaku sebelumnya. Lantas dijawab bahawa hadis Abi Hurairah yang terdahulu berkenaan beberapa orang, maka manusia semua mati pada hari Kiamat dan aku juga mati bersama mereka kecuali akulah orang yang pertama bangkit. Maka didapati Musa memegang di tepi Arasy. Aku tidak ketahui sama ada dia juga mati dan bangkit sebelumku atau termasuk di kalangan yang dikecualikan oleh Allah. Perkataan sa’iq dimaksudkan dengan pengsan tatkala mendengar suara atau melihat sesuatu yang menggerunkan. Dan inilah yang berlaku dengan jelas berdasarkan riwayat ini berkaitan jaga atau sedar selepas tiupan kedua. (Lihat Irsyad al-Sari Syarh Sahih al-Bukhari, 11/30)

Sebahagian ulama’ berpendapat, tiupan sangkakala sebanyak tiga kali. Antaranya Ibn al-‘Arabi dan Ibn Kathir. Mereka menghujahkan nas:

وَيَوْمَ يُنفَخُ فِي الصُّورِ فَفَزِعَ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَمَن فِي الْأَرْضِ إِلَّا مَن شَاءَ اللَّـهُ

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah – gerun gementar – makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah.”

Surah al-Naml (87)

Ayat ini menunjukkan tiga tiupan:

  • Tiupan al-faza’
  • Tiupan al-sa’iq
  • Tiupan al-ba’s

Akan tetapi, hadis-hadis menunjukkan secara nyata bahawa ia dikira dengan dua tiupan sahaja iaitu tiupan al-Sa’iq (tiupan mematikan) dan keduanya tiupan al-Ba’s (tiupan membangkitkan manusia) daripada kubur. (Lihat Mausu’ah al-Akhirahhlm. 80)

 

 

Siapakah yang Dikecualikan oleh Allah Daripada Menerima Kematian Ketika Tiupan Sangkakala?

Para ulama’ telah khilaf, siapakah yang dikecualikan oleh Allah kepada beberapa pendapat:

  • Imam Ahmad berpendapat, mereka yang di dalam syurga dari kalangan bidadari dan al-wildan. Sebahagian muridnya menambah, penjaga syurga iaitu Ridhwan dan penjaga neraka, iaitu Malik.
  • Muqatil dan sebahagian ulama’ berpendapat, mereka adalah Jibril, Mika’il, Israfil dan Malakul Maut. Sebahagian mereka menambah, malaikat yang menanggung Arasy.
  • Abu al-Abbas al-Qurtubi memberi pendapat yang berlainan dengan katanya: Dikehendaki (dengan yang dikecualikan ialah) semua orang yang telah mati kerana mereka tiada kesan dan rasa. Justeru, mereka tidaklah ada lagi kematian ketika itu.

Tarjih: Imam al-Qurtubi berpendapat dengan menukilkan pandangan gurunya Abu al-Abbas, bahawa yang sahih adalah tiada sebarang nas yang sahih yang menentukan mereka yang terselamat daripada tiupan sangkakala dengan kebinasaan. Semua nas menunjukkan sifat muhtamal (andaian). (Lihat al-Tazkirah oleh Imam al-Qurtubi, hlm. 167)

 

Bagaimana Keadaan Manusia Ketika Tiupan Sangkakala?

Hal ini telah diterangkan dalam al-Quran al-Karim. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ

Maksudnya“Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.

Surah al-Hajj (1-2)

Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru. Firman Allah SWT:

فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ

Maksudnya“Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

Surah Yasin (50)

Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165)

Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya.

Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya. Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu.

Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?

Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.

Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)

Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.

Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak Nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk. Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal.

Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)

 

Penutup

Berdasarkan apa yang kami yang telah kami huraikan di atas, hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala ini seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith.

Beriman dengan hari kiamat ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya.

Semoga kisah-kisah berkaitan dengan hari kiamat ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Amin.

 


Sumber : https://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/3615-bayan-linnas-siri-ke-204-tiupan-sangkakala-pada-hari-kiamat

Back To Top